Xiaomi Kata Kamera Moto G5s Plus "Murah"

Mi A1 dan Moto G5s Plus merupakan dua buah peranti kelas pertengahan yang dilengkapi dengan sistem dwi kamera utama. Buat masa sekarang, hanya Mi A1 sahaja yang ditawarkan di dalam pasaran tempatan, di mana penawarannya sudah pun bermula minggu lalu.

Berbeza pula dengan negara jiran, Indonesia, Xiaomi dan Moto masing-masing telah membawa masuk kedua-dua model ini untuk peminat disana dan ia dilancar secara rasmi pada 19 September(Moto) dan 20 September (Xiaomi).

Pada acara perasmian peranti Xiaomi yang berlangsung di Jakarta semalam, Donovan Sung selaku Pengarah Pemasaran Global Xiaomi telah berpendapat dwi kamera yang digunakan pada Moto G5s Plus lebih murah berbanding Mi A1.
“Itu (Moto G5S Plus) dwi kameranya lebih murah. Konfigurasi dwi kamera kami lebih mahal. Dwi kamera banyak, tetapi semuanya berbeza-beza," ujar Donovan.

Menjawab kritikan daripada Xiaomi, Pengurus Kumpulan Niaga Lenovo dan Mudah Alih Motorola Indonesia,Adrie R. Suhadi pula menjelaskan, beliau tidak tahu teknologi dwi kamera mana yang menelan kos penghasilan lebih tinggi dan menambah bahawa ia adalah rahsia syarikat masing-masing.
"Ini merupakan cara pemasaran yang tidak beretika kerana menjatuhkan pesaing secara black marketing." tegas Adrie.

Walaupun kedua-dua model hadir dengan sistem dwi kamera, Moto G5s Plus dan Xiaomi Mi A1 mempunyai perbezaan dari segi ia berfungsi. Moto G5s Plus menggunakan gabungan dua sensor, warna dan monokrom, mirip seperti teknologi dwi kamera Huawei P9.

Bagi Mi A1 pula, mereka menggunapakai gabungan antara lensa lebar, dan telefoto seakan-akan iPhone 7.

Sumber: Kompas