WhatsApp Web Bakal Tampil Dua Ciri Baru - Mod PIP Dan Balas Secara Peribadi

Umum sudah mengetahui WhatsApp mempunyai dua platform pemesejan berasingan iaitu, aplikasi di peranti mudah alih dan satu lagi di halaman web.

Setelah pelbagai perubahan dilakukan terhadap versi aplikasi, kini tiba masanya syarikat itu mengemaskini platform web pula. WhatsApp dilapor akan menambah dua ciri baru pada WhatsApp Web, mod Picture-in-Picture dan ciri balas secara peribadi.

Mod Picture-in-Picture ini membolehkan pengguna untuk terus menaip teks pesanan sambil menggunakan fungsi panggilan video. Akan ada ikon tetingkap panggilan video dan apabila ditekan, mod PIP akan diaktifkan. Tetingkap itu juga boleh diubah-ubah saiznya.



Satu lagi ciri dipanggil sebagai balas secara peribadi yang akan berfungsi di dalam grup. Dengan ciri ini, anda boleh membalas teks kepada rakan yang terpilih di dalam grup tersebut. Ini bermaksud, ahli grup yang lain tidak akan menerima mesej yang dihantar.



Sebagai informasi tambahan,  versi Android beta menghadirkan ciri yang mana memudahkan pengguna menyahsekat (unblock) kenalan, semudah sentuh pada nama rakan dan nyahsekat.

Terdapat juga ciri "Invite via Link"  pada bahagian maklumat grup tetapi hanya terlihat oleh pentadbir sahaja. Ciri ini sudah pun ditawarkan pada iOS.

Sumber: WABetaInfo