OPPO Watch Free ialah salah sebuah produk jam tangan penjejak kesihatan yang baru dilancarkan bulan lalu pada tanda harga RM449.
Dilengkapi skrin AMOLED segi empat tepat berukuran 1.64 inci dengan 280 x 456 piksel, OPPO Watch Free dimuatkan dengan lebih 100 mod dan sukan, sokongan penyukatan SpO2, pemantauan degupan jantung, tidur dan lain-lain yang biasa ada pada penjejak kesihatan.
Ia juga turut dilengkapi perlindungan kalis air 5ATM serta mampu bertahan sehingga 14 hari.
Paparan
Dengan skrin AMOLED segi empat memanjang seperti penjejak kesihatan kebanyakan di pasaran, ia menampilkan piksel dan warna yang sangat baik. Bukan sahaja skrin gelapnya yang benar-benar gelap tetapi paling memuaskan hati ialah pikselnya yang tidak nampak pecah seperti penjejak kesihatan yang murah, sesuai dengan harganya.
Dengan ketumpatan piksel setinggi 326 ppi, ia menggunakan kaca melengkung 2.5D tahan calar serta seberat 32g (hanya 20g tanpa tali).
Animasinya juga lancar, tidak perlu tekanan yang kuat daripada jari untuk menatal dan menavigasikannya. Warnanya terang dan piksel dihasilkan sesuai untuk sebuah penjejak kesihatan.
Untuk muka jamnya, pengguna boleh dapat lebih daripada 40 muka jam tersedia melalui HeyTapHealth dan juga mencipta muka sendiri menggunakan gambar dari galeri.
Dengan AI Smart Watch Face 2.0, OPPO mengatakan bahawa muka jam ini akan ditetapkan mengikut gaya pemakaian pengguna.
Tali jam
Cara memakainya agak unik, tidak seperti jam tangan konvensional yang mana tali jam dimasukkan semula ke seutas lagi tali.
Akan tetapi, ini adalah bahagian yang saya kurang gemar untuk OPPO Watch Free. Lihat sahaja secara dekat tanpa menyentuhnya juga membuatkan seseorang boleh meneka tekstur yang ada pada talinya.
Keliatannya membuatkannya berasa diperbuat daripada getah namun mempunyai corak seakan-akan kulit dan terasa seperti PVC. Campuran tekstur ini bukan kombinasi yang baik untuk sebuah penjejak kesihatan berharga RM449.
Namun, di sebalik kekurangan itu, antara kelebihan tali ini ialah ia ringan dan tidak terasa membebankan ketika memakainya kerana hanya seberat 12g.
Bateri dan Pengecasan
Daripada penggunaan biasa dengan mod tidur dan pemantauan Sp02 dihidupkan sentiasa, saya mendapat ketahanan bateri selama sekitar 8 hari dengan kapasiti bateri sebanyak 230mAh. Mengikut spesifikasinya, ia boleh bertahan sehingga 14 hari namun kerana saya menghidupkan hampir kesemua ciri automatik, tidak pelik jika baterinya bertahan kurang daripada 14 hari.
Antara yang diaktifkan sejak hari pertama ialah pemantauan denyutan nadi setiap 6 minit (kekerapan paling kurang), amaran kadar degupan jantung tinggi, penyukatan Sp02 dalam masa nyata dan semasa tidur, pemantauan tidur REM, pengesanan automatik jika sedang melakukan senaman atau sukan serta auto pause.
Dengan teknologi flash charging, ia mengambil sekitar 1 jam 10 minit untuk penuh dari 0% hingga 100%. Menurut OPPO, pengecasannya selama 5 minit boleh membuatkan jam bertahan selama sehari manaka 20 minit untuk seminggu.
Namun, apa yang agak saya kurang gemar ialah pengecasan magnetiknya yang mudah tertanggal disebabkan reka bentuk pada tip magnet pengecasnya.
Selain itu, jam ini juga memaparkan notifikasi seperti SMS, aplikasi seperti WhatsApp dan lain-lain, notifikasi panggilan, kebolehan untuk menolak panggilan, pemasa (timer), penggera, cuaca, kawalan muzik, cari telefon serta notifkasi mengingatkan anda untuk bangun jika terlalu lama duduk.
HeyTapHealth
Aplikasi untuk ditambah dengan penjejak kesihatan ini ialah HeyTapHealth yang boleh dimuat turun di gedung aplikasi platform masing-masing. Dalam aplikasi ini, semua butiran tentang aktiviti yang direkodkan dapat dianalisis melaluinya,
Ciri dan Fungsi
Antara ciri yang saya cuba ialah pemantauan tidur. Pengguna boleh menghidupkan ciri REM Sleep Monitoring melalui HeyTapHealth. Selain itu, pengguna juga boleh menetapkan jadual tidur. Bukan itu sahaja, malah ia juga memantau pernafasan dan dapat mengesan jika anda berdengkur semasa tidur. Analisis terperinci ini tersedia di aplikasinya.
Dalam analisis tersebut, ia akan memaparkan waktu anda bangun dan tidur, fasa tidur seperti deep sleep dan light sleep, kandungan oksigen dalam darah dan lain-lain berkaitan kesihatan dan kualiti tidur pengguna.
Jika anda menggunakan telefon OPPO, maka anda juga akan menerima notifikasi menjelang waktu tidur, “It’s getting late. Time for bed.”
OPPO bersama-sama Universiti Tsinghua bekerjasama dalam meneroka teknologi pemantauan tidur dengan beberapa kajian telah dijalankan bersama.
Dengan lebih 100 mod sukan, seperti biasa pengguna boleh pilih sama ada berjalan, joging, lari dan lain-lain dengan mudah melalui skrin jam.
Graf denyutan nadi juga boleh dilihat terus daripada jam tanpa perlu membuka HeyTapHealth.
Seperti disebut di atas, ia juga mempunyai ciri penyukatan oksigen dalam darah di mana sangat penting dalam era pandemik ini.
Selain pemasa, pengguna turut boleh menetapkan penggera di mana jam akan bergetar (vibrate) apabila tiba masanya.
Antara ciri tambahan yang menarik iaitu kebolehan menekan butang perakam daripada jam. Ya, ia turut berfungsi pada peranti iOS.
Kesimpulan
Perkara yang saya paling gemari tentang OPPO Watch Free ini ialah paparannya yang tajam dan hitam legap kerana penggunaan skrin AMOLED. Ciri dan fungsi kesihatannya tidak jauh berbeza berbanding penjejak lain. Pemantauan jantung, Sp02, pemantauan tidur, mod sukannya berfungsi sama seperti model yang ada di pasaran hari ini.
Menariknya, semua data pemantauan ini boleh terus dilihat daripada jam tanpa perlu hubungkannya dan teliti di HeyTapHealth terlebih dahulu. Data yang dipaparkan tidaklah hanya kasar namun ada juga keperinciannya membuat pengguna berasa mudah menggunakannya.
Kelebihannya ialah pada skrin manakala tali jam yang terasa antipremium ini menambah garam pada luka.
Namun, dengan harga RM449 tanpa fungsi GPS, ia mungkin kurang munasabah memandangkan lambakan penjejak kesihatan lain yang turut boleh melakukan perkara yang sama. Misalnya, Amazfit Bip Pro, GTS 2 Mini, HUAWEI Watch Fit.
Jika anda mahukan fungsi asas sebuah penjejak kesihatan tanpa GPS, mungkin model lain seperti HONOR Band, Mi Band, OPPO Band, Galaxy Fit2 lebih sesuai dengan harga bawah RM200.
Baca juga: