Sudah sampai masanya untuk kita mengetahui adakah Reno7 Pro dan Reno7 ini hanya cantik di luar sahaja atau sebaliknya.
Siri OPPO Reno7 telah pun dilancarkan pada 22 Februari lalu di Malaysia dengan harga jualan RM1,999 untuk Reno7 dan RM2,999 untuk Reno7 Pro.
Seperti biasa dengan jenama OPPO, kamera dan rekaan yang menjadi perhatian utama. Namun setiap nama ada cerita, artikel kali ini mari kita lihat ulasan mengenai Reno7 Pro dan Reno7 yang terbaharu ini.
Spesifikasi
Reno7 Pro
- Dimensi: (158.2 x 73.2 x 7.5)mm, 180g
- Skrin: AMOLED, 6.55 inci (1080 x 2400), 20:9, 90Hz, HDR10+, Corning Gorilla Glass 5
- Cip pemprosesan: 6nm MediaTek Dimensity 1200 MAX (Mali-G77 MC9)
- Memori: RAM 12GB, Storan 128GB (UFS 3.1)
- 3 kamera belakang: 50MP(f/1.8) Utama + 8MP(f/2.2) Sudut Lebar + 2MP(f/2.4) Makro
- Swafoto: 32MP(f/2.4)
- Bateri: 4,500mAh (USB Type-C) dengan 65W
- Perisian: ColorOS V12 berasaskan Android 11
- Varian: 12GB,256GB – RM2999
Reno7
- Dimensi: (160.6 x 73.2 x 7.8)mm, 173g
- Skrin: AMOLED, 6.43 inci (1080 x 2400), 20:9, 90Hz, HDR10+, Corning Gorilla Glass 5
- Cip pemprosesan: 6nm MediaTek Dimensity 900 (Mali-G68 MC4)
- Memori: RAM 8GB, Storan 256GB (UFS 2.2)
- 3 kamera belakang: 64MP(f/1.7) Utama + 8MP(f/2.2) Sudut Lebar + 2MP(f/2.4) Makro
- Swafoto: 32MP(f/2.4)
- Bateri: 4,500mAh (USB Type-C) dengan 65W
- Perisian: ColorOS V12 berasaskan Android 11
- Varian: 8GB,256GB – RM1999
Rekaan
Jika Reno6 menggunakan sisi rata dan Reno6 Pro pula sisi melengkung, tahun ini OPPO terbalikkan kedua-dua – Reno7 gunakan sisi melengkung manakala Reno7 Pro pula sisi rata.
Satu perkara yang saya tidak nafikan adalah kualiti kemasan atau rupa luaran OPPO semestinya tidak mengecewakan.
Dengan Reno7 Pro, selain sisi rata, ia dilengkapi dengan kemasan matte bersama-sama modul kamera lebih petak dari Reno6 sebelum ini. Ia nampak premium, mewah dan kemas ditambah dengan sisi rata aluminium yang sejuk dengan belakang kaca.
Reno7 adalah sedikit downgrade dari Reno7 Pro namun masih lagi menyertakan baju baharu yang cantik. Baik sisi atau belakangnya, kedua-duanya menggunakan plastik. Tiada langsung pengalaman premium memegangnya. Ia tidaklah salah namun mungkin jadi persoalan jika anda membayar RM1,999 tetapi kualiti binaannya hanya sekadar rupa dan bukannya bahan itu sendiri.
Skrin
Reno7 Pro
Berbeza dengan Reno6 Pro yang mempunyai skrin melengkung, skrin Reno7 Pro kali ini adalah rata. Pada pendapat kami, ia dilakukan adalah untuk lebih kena dengan tema sisi rata telefon. Berbanding tahun lepas, skrin Reno7 Pro boleh dikatakan sama sahaja baik dari segi ukuran dan juga kemampuan.
Bersaiz 6.55 inci AMOLED FHD+ dengan kadar segar semula 90Hz serta perlindungan Gorilla Glass 5, boleh dikatakan ini adalah skrin yang sama pada Reno6 Pro. Skrinnya cukup baik menawarkan kecerahan secukupnya di bawah cahaya matahari.
Warnanya juga pop, sudut melihat yang baik, dan keseluruhan panel yang selayaknya untuk telefon premium. Pun begitu, mungkin tidak keberatan jika meminta agar skrinnya sedikit lebih terang setanding dengan telefon andalan lain.
Reno7
Reno7 pun sama sahaja, tiada naik taraf berbanding Reno6 tahun lalu. Berbekalkan skrin 6.43 inci AMOLED juga FHD+ pada 90Hz ia sedikit lebih kecil berbanding Reno7 Pro.
Jika dibandingkan sebelah menyebelah, skrin Reno7 sedikit lebih malap, namun ia bukan kelemahan memandangkan harganya pun lebih rendah.
Namun dari segi warna dan juga darjah melihat, Reno7 masih lagi menyertakan kualiti yang baik.
Kamera
Reno7 Pro
Sebagai sebuah telefon baharu, saya menjangkakan sistem kamera yang baharu namun kelihatannya tidak.
Pada Reno7 Pro, ia masih lagi menggunakan sensor utama Sony IM766, namun bukan itu sahaja – OPPO rupanya telah membuang lensa telefoto khusus yang sebelum ini terdapat pada Reno6 Pro.
Pendek kata jika Reno6 Pro ada 4 lensa, Reno7 Pro ada 3 sahaja. Tetapi pembuangan lensa telefoto ini agak terasa memandangkan zum pada Reno7 Pro hanya secara digital sahaja.
Untuk 2 lagi lensa tambahan adalah 8MP sudut lebar dan juga 2MP makro.
Pun begitu, sensor Sony IMX766 50MP untuk kamera utamanya masih lagi merupakan sensor yang bagus dengan hasil butiran yang tinggi. Saya menyukai elemen pemprosesan warna yang bagi saya secukup rasa, tidak terlalu pekat, tenang-tenang sahaja.
Kamera sudut lebarnya bagi saya hanya biasa-biasa sahaja. Walaupun waktu cerah, gambar kurang memuaskan kerana gelap tambahan jumlah megapixel yang kecil hanya 8MP sahaja. Oh lupa, baru perasan yang sebelum ini Reno6 Pro menggunakan lensa sudut lebar 16MP, tiba dekat Reno7 Pro, hanya guna 8MP sahaja. Yang ini pun saya tak faham.
Satu lagi fungsi yang mula diperkenalkan dari siri Reno6 kini kembali lagi iaitu Portrait Flare Bokeh. Saya bukanlah peminat ciri ini namun saya faham jika ada menggemarinya kerana gambar kelihatan fun dan fancy.
Swafoto masih lagi menggunakan lensa 32MP – sama seperti Reno6 Pro. Butiran dan hasil gambar bagi saya sangat baik namun shutter gambar mengambil masa agak lama jadi gambar mudah kabur.
Reno7
Seperti abangnya, adiknya juga ada perangai sama iaitu menggunakn sistem kamera yang sama tiada langsung perbezaan dengan Reno6 sebelum ini. Dari kamera utama 64MP, sudut lebar 8MP, makro 2MP, malah swafoto 32MP pun sama juga.
Secara keseluruhan, hasil gambar sudah tentu tidak sebaik Reno7 Pro, namun Reno7 secara kendirinya tidaklah mengecewakan terus. Satu perkara yang saya perasan adalah gambar Reno7 lebih kepada typical post processing dengan warna yang sedikit pekat. Butiran itu masih boleh dipuji, tetapi elemen lain agak lemah seperti kontras yang kurang.
Prestasi
Reno7 Pro
Kali ini Reno7 Pro dipasang cip MediaTek Dimensity 1200 MAX. Ini merupakan situasi terbalik pada tahun lepas kerana Reno6 Pro dimuatkan dengan cip Snapdragon (870), bukannya MediaTek. Difahamkan cip Dimensity 1200 MAX ini adalah cip Dimensity 1200 yang ditala khas untuk Reno7 Pro. Melalui apa yang diperkatakan oleh OPPO, varian MAX ini lebih dioptimasikan untuk kerja khusus seperti fotografi dan bukannya kelajuan prestasi. Ini bermakna atas kertas, tiada bezanya cip ini dengan Dimensity 1200 yang biasa.
Bermula dengan sesi ukur aras, saya mendapati cip ini sebenarnya sedikit lebih perlahan dari OPPO Reno6 Pro (Snapdragon 870). Ini boleh dibuktikan melalui skor Geekbench 5. Namun begitu prestasi grafiknya boleh dikatakan setanding dengan Snapdragon 870 tersebut.
Memainkan permainan PUBG Mobile, tidak mengejutkan ia menyokong tetapan sehingga Smooth Extreme pada 60fps. Untuk HDR Ultra pula sekitar 40fps. Tiada suhu kurang selesa dikesan malah permainan lancar tanpa gangguan.
Untuk Genshin Impact, secara default telefon diletakkan pada tetapan Medium 30fps. Saya menaikkan tetapan lebih tinggi iaitu Medium 60fps dan mendapati telefon hanya mampu untuk bermain pada sekitar 45fps sahaja. Menurunkan kepada tetapan Low 60fps memperlihatkan fps lebih baik iaitu pada 50fps. Saya turut mendapati permainan lebih lancar dan stabil. Namun ketika ini, suhu dirasakan sedikit lebih panas berbanding bermain permainan PUBG Mobile tadi.
Reno7
Reno7 pula dikuasakan oleh MediaTek Dimensity 900. Sebenarnya ini adalah cip yang sama telah digunakan pada Reno6 sebelum ini. Jadi jika diikut dari segi prestasi, tak ada beza pun berbanding dengan Reno6 tahun lepas.
Jika dibandingkan dengan MediaTek Dimensity 1200 MAX tadi, sudah tentu ia berbeza, namun jangan lupa bahawa Dimensity 900 masih lagi menggunakan CPU dari Cortex A78 bermakna prestasinya lebih kurang sama sahaja dengan Reno7 Pro.
Ini sememangnya dapat diperhatikan melalui ukur aras Geekbench dengan markah CPU menghampiri Reno7 Pro tadi.
Bermain PUBG Mobile, agak mengejutkan kerana ada sokongan Smooth Extreme pada 60fps. Selain itu untuk HDR Ultra pula ia mampu bermain sekitar 40fps.
Untuk Genshin Impact, secara default permainan diletakkan pada Low 30fps, ia agak stabil dan lancar tanpa sekat-sekat ketara. Saya kemudiannya menaikkan tetapan kepada Low 60fps namun mendapati paling tinggi pun ia hanya mampu mencapai sekitar 50fps sahaja. Purata adalah 40fps dan boleh jatuh kepada 30fps pada sesetengah situasi.
Berbanding Reno7 Pro, suhu dirasakan sedikit lebih panas sedikit secara keseluruhan mungkin disebabkan sistem penyejukan kurang efisien atau faktor cip dan lain-lain. Namun ia tidaklah mengganggu sesi bermain walaupun sedikit lebih panas.
Prestasi Seharian
Prestasi seharian kedua-dua telefon adalah berada pada tahap memuaskan. Kedua-dua Reno7 Pro dan Reno7 menjalankan ColorOS 12 V12 yang berasaskan Android 11. Jadi disebabkan itu tiada ciri-ciri Android 12 yang kelihatan. Untuk Reno7 Pro, sokongan RAM maya adalah sehingga 7GB manakala pada Reno7 hanya setakat 5GB.
Antara beberapa ciri unik untuk ColorOS yang menarik minat saya adalah elemen pengubahsuaian Personalizations. Di sini pengguna boleh mengubah latar belakang, tetapan Always On Display, tema, ikon, Quick Setting, warna antaramuka, pilihan font, animasi imbasan cap jari, serta Edge lighting.
Breathing Light merupakan ciri yang diketengahkan oleh OPPO. Namun saya merasakannya hanya sekadar gimik – benda yang sama pada RGB telefon gaming. Ia secara default diaktifkan jika mengecas namun pengguna ada tetapan untuk turut menggunakannya sebagai notifikasi LED atau ketika menerima panggilan.
Baik Reno7 Pro mahupun Reno7, kedua-dua telefon mempunyai hayat bateri yang memuaskan dengan purata sekitar 2 hari. Namun seperti biasa sudah tentu anda boleh menjangkakan penggunaan lebih lama jika menurunkan tetapan kadar segar semula skrin.
Sejak dari dahulu OPPO sudah menyediakan pengecasan berkelajuan 65W. Saya rasa ini satu ciri yang agak underrated memandangkan telefon-telefon lain jarang yang ada pengecasan berkelajuan ini.
Ia laju hanya mengambil masa sekitar 1 jam sahaja untuk mengecas kedua-dua telefon.
Rumusan
Saya tak nafi ada rasa teruja untuk menggunakan Reno7 Pro dan Reno7 kerana mungkin saya tewas dengan pandangan rupanya. Namun setelah menggunakannya agak lama, saya mendapati bahawa Reno7 Pro dan Reno7 ini sebenarnya tidak jauh beza dan secara asasnya masih lagi Reno6 Pro dan Reno6 tahun lepas.
Naik taraf yang saya nampak signifikan untuk memanggilnya sebagai telefon baharu pun tak nampak. Sistem kamera yang sama, ciri baharu dalam sistem operasi pun tiada, lagi teruk yang buang lensa telefoto tu dah kenapa?
Jangan salah faham, saya bukanlah mahu mengatakan bahawa kedua-dua telefon Reno7 Pro dan Reno7 ini telefon yang tidak baik. Melihat kepada penggunaan, prestasi, dan bateri kedua-dua telefon bagi saya sangat memuaskan, tetapi ini adalah benda yang sama sebenarnya pada Reno6 tahun lepas.
Saya pun agak keliru jika siri Reno7 tiada perubahan berbanding siri Reno6 tahun lepas, apakah yang dijual hanya rupa semata-mata?
Bagi saya, Reno7 Pro dan Reno7 adalah telefon yang baik, namun ia tidak lebih dari sekadar Reno6 dan Reno6 Pro yang bersembunyi di sebalik baju baharu sahaja.