(Ulasan) Nothing Phone (2) - Kedua Pasti Lebih Baik, Aku Yakin Itu

Nothing Phone (2) sudah berusia hampir sebulan usianya sejak dilancarkan. Begitu juga ia di tangan kami.

Seperti anda tahu, Phone (2) dijana Snapdragon 8+ Gen 1 dan bukan cip terkini 8 Gen 2. Tak mengapa, kita tinggalkan itu sekejap.

Sebelum mulakan ulasan ini, perlu saya beritahu saya antara yang 'hater' Phone (1) ketika pelancarannya dulu kerana faham Glyph di belakang hanyalah gimik dan tiada apa-apa yang menarik. Cip pun bukan flagship, tapi harga bukan main.

Tapi, apakah saya masih kekal dengan pendirian ini untuk Phone (2)?

Rekaan dan Glyph


Kami pertama kali diberikan Phone (2) di kedai Yes di Bukit Bintang, sekitar seminggu sebelum ia rasmi. Sejak pertama kali lihat di depan mata dan kemudian memegang Phone (2), perasaan saya berbeza daripada saat melihat Phone (1) tahun lalu.

Kapsyen: Phone (2) sebelah kiri, Phone (1) sebelah kanan.


Saya terus jatuh hati dengan warna kelabu dan lengkung panel belakangnya kerana beri rasa lebih selesa ketika di tangan. Ia berbeza dengan Phone (1) yang bucunya terlalu tajam dan berkotak.

nothing phone 1 vs phone 2 - 1 Kapsyen: Phone (2) sebelah kiri, Phone (1) sebelah kanan.


Ia hanya sedikit panjang daripada Phone (1) tapi rekaan panel melengkung jadi sebab utama saya jauh lebih selesa menggunakannya.



Rekaan Glyph di belakang kali ini hadir dengan lebih banyak fungsi dan juga antara perkara yang saya gemar. Bila saya laraskan volume, sebuah jalur akan turut menyala mengikut tahap kelantangan.

Bukan itu saja, malah ia juga kini hadir dengan sensor yang akan laraskan kecerahan lampu Glyph mengikut pencahayaan persekitaran. Seperti kecerahan skrin, anda boleh set untuk ia dilaraskan secara automatik atau tetapkan pada tahap tertentu.

Integrasi lain seperti dengan pemasa, Uber dan sebagainya bukanlah dalam penggunaan harian saya tetapi saya berpendapat ia sangat menarik dan turut membantu pengguna.

Audio


nothing phone (2)

Pembesar suara telefon ini bukanlah satu hal yang membanggakan. Ia kuat, lantang tetapi seolah-olah terasa kosong.

Senang kata, kuat tetapi cukuplah untuk buat dengar, bukan kepuasan sebenar.

Audionya tidaklah terlalu pecah bila dilantangkan tetapi memang tidak terasa 'bass' atau sebagainya yang boleh buatkan anda angguk 'sedap'. Tak perlu percubaan kali kedua untuk sahkan pembesar suaranya biasa-biasa saja.

Bahkan, speaker Infinix Note 30 daripada JBL jauh lebih sedap berbanding telefon berharga RM2,999 ini.

Sistem operasi


nothing phone (2)

Nothing Phone (2) ialah kelahiran semula Nothing OS. Terlalu banyak peningkatan dan ciri ditawarkan berbanding ketika awal kemunculannya tahun lalu.

Kita pun tahu kerana waktu itu, Nothing OS dibina pihak ketiga. Kini, ia disambung oleh pasukan Carl Pei sendiri dan hasilnya membanggakan.

nothing phone (2)

Nothing OS sekarang sangat lancar,  pantas, kemudian ada ciri-ciri tambahan yang saya tidak pernah terfikir akan ada pembuat telefon akan tawarkan.

Misalnya, butang quick setting di skrin utama, ikon folder aplikasi dengan simbol dan emoji, widget interaktif (sudah ada pada OS lain) di skrin utama dan lockscreen, saiz ikon boleh diubahsuai dan macam-macam lagi.





Antara perkara yang sangat praktikal ialah kewujudan butang quick setting di lockscreen. Ia memudahkan saya untuk menghidup/mematikan Wi-Fi, data, hotspot dan lain-lain tanpa perlu nyahkunci telefon.

Selain kelancarannya, seperkara lagi yang saya mahu puji ialah konsistennya rekaan/tema visual pada keseluruhan antara mukanya.



Dot untuk aksara, gabungan warna hitam-putih-merah, tema monokrom dan lain-laian antara tema yang diteruskan dan konsisten.

Animasi ketika dicas juga sangat menarik kerana ia subtle, tidak mengganggu penggunaan telefon. Hanya ombak dot sekali lalu dengan bunyi 'futuristik'. Sangat berbeza dengan kebanyakan jenama China yang mengambil keseluruhan skrin untuk beritahu "Ha, charge dah masuk ni, fast charging. Ni percentage tengah naik".

Nothing OS 2.0 secara rasmi jadi OS paling saya suka selepas Pixel UI dan One UI. Pantas, lancar, banyak ciri tambahan eksklusif dan konsisten. Terasa vanila/android stok, tetapi ada sentuhan Nothing dan lebih banyak ciri eksklusif.

Kamera


Keseluruhannya, prestasi kameranya memang tidak setanding atau tidak patut bagi sebuah peranti kelas andalan atau flagship.  Saya sedar, anda mungkin akan membenci atau membangkang saya kerana ada yang kameranya memuaskan hati. Tak mengapa, khilaf adalah rahmat.



Tapi, gambar siang dan dalam pencahayaan yang baik, memang nampak cun. Warnanya agak pekat, butiran imej boleh diterima. Cumanya, ia tidak setanding model andalan seperti HONOR Magic5 Pro. Namun, memuaskan.



Ya, jika anda mahu lebih detail, gunakan lensa 50MP tetapi lensa 12MP utamanya tidak mencapai tahap atasan seperti model lain daripada pesaing.





Untuk mod ultralebar 0.6X, antara kelemahan terbesarnya ialah HDR. Gambar jadi overexposed, langit akan kelihatan langsung putih, objek lain juga turut terkesan. Keseluruhan foto nampak pelik. Isu distortion akan menjadi ketara dalam beberapa situasi tapi boleh diterima. Jadi, mod sudut lebar juga bukanlah satu kekuatan untuk telefon ini. Aanda perlu tap skrin dulu sebelum tekan butang shutter.







Bagi pencahayaan rendah atau waktu malam pula, sekali lagi ia seperti kamera telefon kelas pertengahan tetapi tidaklah teruk kerana noise-nya tidak ketara, warna juga tidak lari banyak. Isunya cuma dari segi ketajaman.



Selain itu, tiada isu silau jika ada lampu dalam gambar, ini perkara yang perlu saya puji. Tetapi, ada objek menjadi kabur ketika ambil gambar sewaktu malam.



Bab potret pula, ia hit and miss, tetapi kebanyakannya tidak memuaskan hati. Anda perlu berhati-hati kerana bila saya ambil dengan santai, sekali lalu walaupun dengan keadaan statik, kesan bokehnya nampak tidak kemas. Namun, butiran pada subjek tajam.





Senang kata, kameranya okey tetapi saya teguh dengan pendapat bahawa ia bukan untuk kelas andalan dan agak mengecewakan.

Anda boleh dapat kualiti sama pada telefon kelas pertengahan yang menumpukan terhadap kemampuan kamera.

Bateri


Dengan kemas kini terbaru, tempoh baterinya kembali normal dengan penggunaan 7 jam sekali caj.

Semasa awal-awal menggunakannya, prestasi baterinya agak teruk sebelum kemas kini Nothing OS 2.0.1. Ditinggal tak berusik (idle mode), peratusan bateri turun dengan pantas seolah-olah digunakan untuk kegunaan ringan.



Misalnya, bateri turun 10% setelah ditinggalkan selama 2 jam sedangkan tidak digunakan pun selain sambungan selular.

Jadi, jika anda beli telefon ini kelak, terus saja kemas kini sehinggalah ke versi Nothing OS terbaru kerana masalah bateri ini akan selesai.



Pengecasan maksimum 45W juga antara faktor kenapa telefon ini saya katakan tidak cukup 'flagship' walaupun S23 Ultra mempunyai kelajuan sama. Tetapi bagi saya, ia sudah cukup. Ia ambil sekitar sejam untuk bateri penuh.

Kesimpulan


Keseluruhannya, Phone (2) adalah antara peranti yang saya gemar dalam tahun 2023 dan ia akan kekal sehingga Phone (3) nanti. Ya, ia jauh lebih bagus daripada Phone (1) tetapi tidak sehandal pesaing-pesaingnya secara keseluruhan.

nothing phone (2)

Bagi saya, Phone (2) sebenarnya adalah kelahiran semula Nothing OS dan itu sangat mustahak. Bahkan, inilah punca utama kenapa saya memuji dan menikmati masa dengannya. Bab ini, sememangnya banyak pesaing yang kalah kecuali siri Galaxy S23.

Sistem operasi ialah jantung kepada apa-apa peranti kerana apabila kita menggunakan telefon, kita sebenarnya menggunakan sistem operasinya.

nothing phone (2)

Masukkanlah apa-apa spesifikasi yang berkuasa sekalipun, tapi kalau antara muka dan OS tidak cekap dan nampak murah, saya akan tinggalkannya. Contohnya, Magic5 Pro. Kamera, skrin, baterinya memang berkuasa tetapi MagicOS? Aduh.

Pun begitu, saya tidak akan membelanjakan RM3,000 untuk Phone (2). Eh, kenapa? Bukankah saya sangat sukakannya? Jawapannya kerana kameranya.

nothing phone (2)

Kamera antara fungsi utama yang saya titik beratkan untuk sesebuah peranti utama (daily driver) selain OS. Walaupun Nothing OS 2.0 ini telah berjaya memikat hati saya, tapi disebabkan kameranya yang biasa-biasa, saya minta maaf, ia hanya boleh dijadikan peranti kedua.

nothing phone (2)

Nothing Phone (2) -- naik taraf yang bermakna daripada model pertama, telefon dengan OS dan software yang sangat bagus, rekaan yang unik tetapi kureng dari segi kamera.

Kata Acha Septriasa, "Berdua denganmu, pasti lebih baik, aku yakin itu." Bagi Phone (2), benar saya yakin model kedua lebih baik berbanding Phone (1) tetapi tidak rugi untuk anda pertimbang model daripada jenama lain.

Jadi, itulah pendapat saya tentang telefon kedua Nothing. Pastinya ada antara anda yang mungkin berbeza pendapat. Sudi-sudikanlah kongsikan pandangan di ruangan komen dengan berhemah untuk kita sama-sama kongsi buah fikiran.

Jika anda berminat, boleh belinya daripada laman rasmi Nothing di Shopee.

{suggest}