(Reaksi Awal) Samsung Galaxy Z Flip5 Dan Fold5 - 5 Generasi Untuk Lengkapkan Lipatan

Aku bukanlah yang pertama, tapi akulah trendsetter...

Bila kita bercakap soal telefon boleh lipat, dalam kepala setiap insan biasa pasti menyebut Samsung. Mereka bukanlah pertama dalam industri yang memperkenalkannya tetapi Samsung boleh dianggap sebagai pencetus idea dalam menjadikan telefon boleh lipat ini popular.

Tahun demi tahun, Samsung dilihat cukup selesa dalam pasaran ini dan tanpa sedar, sudah 4 generasi berlalu. Biarpun sudah lama bertapak, jenama dari China yang baru berjinak-jinak dalam segmen ini memberi satu signal atau wake up call kepada Samsung - "macam ni kalau nak buat telefon lipat".

Tahun 2023, Samsung sudah sampai ke generasi kelima bagi telefon boleh lipat mereka menerusi Galaxy Z Flip5 dan juga Galaxy Z Fold5.

Jadi, cukup power dah ke lepas 5 generasi? Apa yang baru? Anda datang ke tempat yang betul kerana saya akan berkongsikan kepada anda pengalaman saya dan segala yang baharu ditawarkan dalam dua peranti boleh lipat tersebut.

Bukan itu sahaja, saya selitkan juga Galaxy Watch6 dan Watch6 Classic serta barisan tablet Galaxy Tab S9 daripada Samsung.

Oleh itu, mari bersama-sama saya dan teruskan membaca.

Samsung Galaxy Z Flip5




Saya mulakan dengan Galaxy Z Flip5 terlebih dahulu. Jikalau anda pernah membaca ulasan serta pendapat saya sebelum ini, saya lebih cenderung memilih Fold berbanding Flip. Namun disebabkan jenis Flip ini lebih popular, kita lihat dahulu apa yang syok sangat dengan Flip5 kali ini.

Sebenarnya, apa yang ditawarkan Flip5 sudah boleh dijangka. Yalah, motorola Razr+ dan OPPO Find N2 Flip telah 'mendefinisikan' semula apa itu 'telefon flip'.

Kalau motorola dan OPPO, mereka memperlihatkan skrin sekunder atau cover screen lebih daripada widget atau notifikasi semata-mata. Oleh yang demikian, agak ketinggalan sekiranya Samsung tidak berbuat demikian.



Dalam Flip5, skrin depannya sudah lebih besar yang mana seluas 3.4" berpanelkan Super AMOLED 60Hz. Dengan skrin yang telah diperbesarkan ini, lebih banyaklah kita boleh buat dan berinteraksi. Samsung menggelarnya Flex Window.

Sekiranya anda pernah melihat motorola Razr+, sebegitu jugalah apa yang Flip5 tawarkan kepada pengguna.

Melaluinya, kita boleh swipe screen untuk paparkan notifikasi, widget, kamera swafoto serta beberapa aplikasi yang menyokongnya.

Dulu, sudah ada pun pratonton pada skrin ini ketika kita mahu mengambil gambar swafoto tetapi dengan saiz kecil, memang tak puas. Akan tetapi, skrin kali ini memang lebih puas ketika mahu mengambil swafoto sama ada gambar sendiri atau berkumpulan.



Semuanya ada tetapan termasuklah mod potret atau video (panggilan video boleh dilakukan). Selain itu, kali ini ia bukan sahaja memaparkan widget dan notifikasi mesej masuk semata-mata kerana ia juga boleh membuat kiriman balas mesej.

Ya, balas mesej daripada aplikasi mesej Samsung itu sendiri dan juga WhatsApp. Lagi penting, reply mesej ini bukanlah ada preset mesej yang kita telah cipta tetapi akan ada pop-up papan kekunci penuh QWERTY, seperti mana yang kita biasa buat.

Kapsyen: Papan kekunci


Apa yang saya perasan, WhatsApp sudah dioptimumkan untuk paparan sebegini kerana saya boleh juga melakukan carian untuk menghantar mesej dan sebagainya. Tidak terhenti di sini, aplikasi YouTube turut menyokong skrin bersaiz 3.4" ini. Maknanya, nak tonton video, membuat carian atau apa sahaja di YouTube, memang boleh.

Setakat ini, belum banyak lagi aplikasi pihak ketiga yang menyokong dalam flex window tetapi Samsung akan bekerjasama dengan lebih banyak pembangun untuk mengoptimumkannya kelak.

Malah, dalam flex window ini juga, ada ciri untuk multi-tugas (multitask) dimana Samsung menggelarnya map view. Di sini, bolehlah kita lihat halaman atau aplikasi yang kita sudah buka.

Untuk flex mode pula, ia sudah diperkemaskan dengan latar belakang lut sinar dan lebih banyak maklumat yang akan dipaparkan.



Bergerak kepada rekaan Flip5, tidak banyak perbezaan dengan Flip4 sebenarnya. Paling ketara yang saya beritahu tadi, cover screen tersebut dan lagi satu adalah hinge pada peranti ini.

Benar, Flip5 kali ini berjaya untuk mengurangkan jurang skrin apabila kita lipat untuk tutup. Tidak nampak gap besar seperti model terdahulu.



Macam mana dengan spesifikasinya? Sama ke atau lain?

Saya cakap di sini siap-siap, mungkin anda akan rasa kecewa sangat sebabnya spesifikasinya sama sahaja dengan pendahulunya - Flip4. Bezanya adalah cip yang digunakan, Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy sahaja. Cip yang sama digunakan dalam barisan Galaxy S23.

Kapsyen: Flipsuit case warna biru


Bab cip, tak apalah sebabnya inilah cip paling pantas untuk peranti Android buat masa sekarang. Namun, kalau anda mengharapkan peningkatan lain, minta maaf, tiada.

Maknanya, kamera pada cover screen, kamera swafoto, kadar segar semula, bateri dan lain-lain itu sama sahaja dengan Flip4.

Sebelum saya akhiri Flip5, terdapat empat pilihan warna diberikan - graphite, lavender, cream dan warna terbaru mint. Untuk aksesori pun, banyak yang hampir sama dengan Flip4 tetapi ada yang baharu menarik perhatian saya, iaitu Flipsuit Case.

Sarung pelindung tersebut akan menjadikan cover screen mengikut warna pada casing ini. Buat masa sekarang, hanya ada dua warna sahaja - biru dan ungu. Mungkin akan ada lagi pada masa akan datang.

Samsung Galaxy Z Fold5




Bagi saya, telefon jenis Fold ini mempunyai peminat yang tersendiri. Mungkin bagi orang dalam bidang pemasaran, perniagaan atau jual insuran ke, lebih gemarkannya. Ini kerana, ia ibarat telefon dengan tablet disatukan.

Dalam Fold5, rekaannya tampak sama juga persis abangnya Fold4. Cuma pada bahagian kamera belakangnya, kedudukan flash berubah pada bahagian atas berbanding bawah sebelum ini.



Seperti Flip4 yang apabila dilipat, gap berjaya 'dihilangkan', Fold5 ini pun sama yang mana Samsung berjaya mengurangkan jurang apabila skrin dilipat.

Ini disebabkan hinge baharu digunakan padanya. Oleh itu, ia kelihatan lebih kemas dan lebih nipis apabila kita lipat untuk menutupnya.

Malah, dengan teknologi baharu itu juga, ia secara tidak langsung turut mengurangkan crease atau garis lipatan yang kalau sebelum ini ketara dilihat. Saya boleh memuji Samsung menerusi Flip5 dan Fold5 kerana garis crease itu tidak seteruk seperti dahulu.

Namun, pengalaman saya dalam mencuba telefon boleh lipat, peranti dari OPPO yang benar-benar membuatkan crease itu "hilang" dari pandangan.

Bercakap tentang rekaan lagi, Samsung menggunakan pelindung kaca Gorilla Glass Victus 2 serta armor aluminium, sama yang digunapakai Galaxy S23 Ultra. Secara tidak langsung, Fold5 kali ini jauh lebih premium, lebih tahan lasak berbanding Fold4 kerana tidak banyak peranti menggunakan pelindungan Victus 2.

Bahkan, skrin untuk melindung paparan ultra thin glass (UTG) dan film yang digunakan juga kali ini lebih baik dan tahan lasak menurut Samsung.

Walaupun telefon ini agak besar semasa kita membukanya, jangan risau kerana macam saya cakap tadi, ia lebih nipis dan paling penting lebih ringan berbanding Fold4 yang mana beratnya kini hanya 253g sahaja dengan ketebalan 13.4mm.

Disebabkan saiz sebegini juga, tiada slot untuk S Pen kerana Samsung mengatakan ia akan menebalkan peranti itu nanti. Tak mengapa, ada aksesori S Pen baharu yang boleh dibeli dan digunakan sekiranya anda mahu.



Selain itu, skrin dalamnya mungkin akan nampak sama sahaja dengan Fold4. Namun, nanti dahulu kerana kecerahan baginya sudah dipertingkatkan sama seperti Galaxy S23 Ultra dengan 1200 nits (HBM) dan puncak kecerahan apabila dalam situasi outdoor pula adalah 1750 nits (peak).



Spesifikasi lain, sama seperti yang saya katakan dalam Flip5 tadi, iaitu sama sahaja. Baik bateri, kelajuan mengecas dan lain-lain. Kamera swafoto 10MP, kamera bawah skrin 4MP, kamera belakang 12MP (ultra lebar), 50MP (utama) dan 10MP (tele 3x). Bezanya di sini adalah cip, iaitu Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy.

Dari segi perisian, ia lebih dipertingkatkan pengalaman penggunaannya. Namun, ada juga ciri baharu lain seperti fungsi drag and drop. Ciri ini membolehkan kita salin (copy) gambar dengan pinch dengan dua jari dan boleh bawa ke aplikasi lain seperti Notes.

Oh, dalam aplikasi Notes juga, Samsung menawarkan ciri live update. Nak diceritakan, fungsinya ibarat kita guna perisian Google docs dan lain-lain dimana setiap kemas kini yang dibuat, rakan-rakan lain boleh melihat kemas kini dibuat secara langsung.



Ciri popular lain dalam Fold5 semestinya flex mode. Samsung mengatakan ia lebih optimum dan mereka juga memberitahu bahawa mereka sendiri yang akan mengoptimumkan aplikasi bagi fungsi dalam flex mode ini.

Bagi saya, inilah kelebihan Samsung kerana dari segi perisian untuk telefon boleh lipat, mereka jauh ke hadapan berbanding pesaingnya yang lain.

Saya simpulkan di sini, Galaxy Z Fold5 adalah peranti foldable yang lebih matang dan lagi sedap digunakan. Pasti penggemar Fold akan menyukainya.

Samsung Galaxy Watch6 dan Watch6 Classic




Selain telefon boleh lipat, Samsung turut membawa masuk barisan jam tangan pintar mereka, iaitu Galaxy Watch6 dan Watch6 Classic.

Apa bezanya dua jam tangan pintar ini dengan siri Watch5? Buat pengetahuan anda, Watch6 adalah pengganti Watch5. Sementara Watch6 Classic pula pengganti bagi Watch4 Classic yang sudah lama. Kalau anda kata "nak tunggu Watch6 Pro lah", saya boleh kata lupakan kerana tiada model itu.

Siapa yang sedang menggunakan Watch5 Pro, jangan jual kerana tidak banyak perbezaan ketara. Malah, binaannya juga daripada Titanium. Anda boleh baca ulasan Watch5 Pro di SINI.



Kedua-dua siri Watch6 hadir dengan binaan aluminium yang mana sebanyak 20% peningkatan dari segi saiz skrin, puncak kecerahan 2000 nits dan bezel lebih nipis. Saiz jam bagi Watch6 Classic juga ditawarkan 43mm dan 47mm, lebih besar. Sementara saiz Watch6 adalah 40mm dan 44mm.

Kapsyen: One click band


Salah satu rekaan baharu diterapkan Samsung dalam siri Watch6 adalah adanya one click band. Apa tu? Ia seperti yang kita lihat dalam barisan jam tangan Apple dimana membolehkan kita menukar tali jam dengan mudah.

Walaupun mudah tapi pengalaman peribadi saya, tidak semudah Apple. Ini kerana, siri Apple Watch, tali jam itu boleh slide masuk atau keluar kalau mahu tukar tali jam. Untuk Samsung punya, ia perlu menolak atau tarik tali jam itu.

Namun begitu, ini hanyalah subjektif kerana susah senang itu bergantung kepada penggunanya sendiri. Apa-apa pun, langkah yang bagus meletakkan fungsi tersebut dalam rekaan.

Berita baik kepada pemakai jam tangan pintar Samsung, kali ini ia sudah menyokong papan kekunci untuk kita balas mesej WhatsApp dan sebagainya. Jadi, tak adalah kita hanya baca notifikasi je bukan?



Selain ciri kesihatan sedia ada ditawarkan seperti ECG, tekanan darah, ada yang baharu, iaitu body compositionCiri ini membolehkan kita memasukkan muscle mass, body fat, BMI dan sebagainya yang bertujuan untuk kita mendapat badan yang ideal atau dalam erti kata lain - body goals idaman.

Ciri kesihatan lain yang saya suka, ada dua, iaitu personalized heart rate zone dan advanced sleeping coach. Untuk heart rate, terdapat 5 zon yang ditawarkan.

Mudah kata, ia membolehkan kita mencapai objektif semasa melakukan senaman. Contohnya, saya mahu bakar lemak, kadar degupan jantung saya sepatutnya dalam nilai tertentu.



Kalau tak sama, mungkin ada salah silap dalam senaman yang saya lakukan. Sama juga jika saya mahu membuat aktiviti kardio ke, membuat lateral raise di gim ke dan sebagainya. Senang cerita, saya dapat memantau degupan jantung supaya ia optimum dengan kemahuan atau goals yang saya mahukan.

Ciri kesihatan lain adalah sleeping coach, kalau tadi untuk aktiviti bersukan, ini adalah untuk berehat pula. Ini kiranya seperti coach kita untuk tidurlah.

Contohnya, saya mahu cukupkan tidur sehari 7 jam, saya boleh setkan pukul berapa untuk tidur dan jam berapa saya mahu bangun. Setelah itu, jam ini akan mengingatkan saya seperti kurangkan main telefon, matikan lampu dan sebagainya.

Lain-lain, hampir tidak banyak perbezaan yang saya lihat dalam siri Galaxy Watch6 kali ini. Ia lebih kepada pengalaman penggunaan yang baik.

Siri Samsung Galaxy Tab S9




Tak lengkaplah acara Galaxy Unpacked kalau saya tak sebut barisan tablet. Jujur saya katakan, tablet Android yang betul-betul berkuasa dan mahu lawan tablet Apple adalah Galaxy Tab.

Tiga model dibawa masuk ke Malaysia, Galaxy Tab S9, S9+ dan S9 Ultra. Walaupun rekaannya tidak ada perbezaan sangat dengan siri Tab S8 tetapi skrinnya pasti membuatkan anda teruja.



Tiada kasta, kesemua siri Tab S9 kali ini menggunakan panel Dynamic AMOLED 2x. Panel ini sama digunakan bagi telefon lipat terbaru Samsung dan juga barisan Galaxy S23. Maknanya, warna dihasilkan lebih 'kaya', memukau dan tepat.

Dalam siri Tab S9 ini juga, kecerahannya lebih optimum kerana ada algoritma pintar untuk memastikan kecerahan yang kita lihat itu sedap dalam apa jua situasi terutama di bawah cahaya matahari atau outdoor.

Tambahan lagi, paparannya juga lebih kurang cahaya biru. Sebanyak 70% kurang cahaya biru apabila ditetapkan dalam 'light mode' dan 78% dalam keadaan 'dark mode'. Benda ini tak perlu pening-pening untuk kita tetapkan kerana ia dilakukan secara automatik dan adaptive mengikut penggunaan kita.



Bahkan, Samsung turut mengatakan barisan tablet ini adalah pertama dalam siri Galaxy Tab yang menerima penarafan kalis air dan debu IP68.

Kalau dalam Fold5 tadi kita ada ciri drag and drop, dalam siri Tab S9 pun ada juga. Akan tetapi, ada ciri tambahan lain bagi melengkapkan ekosistem Samsung, iaitu fungsi continuity app (multi control).

Pada pendapat saya, fungsi sebegini sudah jadi satu kewajipan dalam mana-mana tablet untuk ekosistem sesebuah jenama. Pada Xiaomi Pad 6, saya tidak berkesempatan untuk mencuba ciri tersebut.

Namun untuk Tab S9, saya perasan yang ia sangatlah lancar. Kita boleh menggerakkan cursor dari tablet ini untuk menavigasi telefon pintar. Ia termasuk juga dengan penggunaan papan kekunci jika kita mahu menulis atau membalas mesej dan sebagainya.

Dengan ciri ini lagi, ia juga boleh menggunakan telefon Samsung pada siri Tab. Sebanyak 3 telefon Galaxy boleh disambungkan dalam satu-satu masa bersama Galaxy Tab ini. Jangan risau, ia menyokong dari siri telefon Galaxy A34 dan ke atas.

Usah khuatir lagi sebabnya fungsi ini boleh digunapakai bermula dari Galaxy Tab S7 FE dan ke atas melalui kemas kini yang akan dilancarkan nanti.

Apabila kita bercakap tentang tablet, saya amat mementingkan aplikasi yang menyokongnya. Ini kerana, saya tak mahulah ia umpama menggunakan aplikasi telefon dalam bersaiz lebih besar sahaja semata-mata.



Terdapat empat aplikasi yang sudah diprapasang dalam tablet ini. Clip studio paint, Lumafusion, arc site (CAD) dan Goodnotes. Ya, buat pertama kalinya, aplikasi popular dari Apple berjaya masuk ke tablet Android.

Kelebihan apabila menggunakan siri Tab S9, akan ada diskaun sekiranya mahu membeli aplikasi seperti Lumafusion (suntingan video) dan Goodnotes. Jadi, jimatlah untuk membeli aplikasi kerana ia agak mahal juga tetapi yang penting, sekali bayar sahaja.

Melalui aplikasi yang tersedia ini juga, sekaligus ia membuka ruang untuk barisan tablet Android lain.

Untuk aksesori, lebih kurang sama juga dengan sebelum ini tetapi S Pen terbaru ini mempunyai penarafan IP68 dan menyokong bi-directional charging. Maknanya, boleh cas pen itu walaupun mata pen itu terbalik atas atau bawah. Sebelum ini, ia hanya boleh dicas dalam satu arah sahaja.



Bukan itu sahaja, ada juga versi S Pen Creator Edition yang mana ia sesuai buat anda yang suka melukis kerana genggamannya lebih grip dan lebih sensitif terhadap tekanan.

Apa yang saya minat dengan S Pen dari Samsung ini adalah, ia tetap boleh digunakan meskipun sudah kehabisan bateri. Jika stylus tablet lain, saya tidak boleh berbuat demikian.

Seperkara lagi, anda tak perlu risau pun untuk beli S Pen kerana ia sudah tersedia dalam kotak kecuali S Pen Creator Edition yang dijual secara berasingan.

Untuk aksesori papan kekunci juga, Samsung ada menjual variasi dengan papan kekunci (sedikit mahal) dan variasi tanpa papan kekunci.

Kesimpulan


Apa yang saya boleh katakan dalam acara Galaxy Unpacked untuk Flip tahun ini, ia lebih kepada mematangkan produk Samsung sedia ada.

Saya terasa sedikit kecewa kerana tidak banyak sangat pembaharuan yang dibawa. Ia lebih kepada membawa pengalaman sempurna dalam penggunaan telefon boleh lipatnya dan produk lain.

Paling saya tertarik, semestinya Galaxy Z Flip5 kerana cover screen jauh lebih function dan orang kata up to date mengikut peredaran zaman.

Walau apa pun, ini hanyalah tanggapan pertama dan reaksi awal saya sahaja. Mungkin pengalaman saya berbeza apabila menggunakannya nanti.

Oleh itu, sama-sama kita tunggu untuk ulasan penuh bagi peranti-peranti terbaru yang baru dilancarkan ini terutama barisan telefon boleh lipat Samsung.