(Ulasan) Xiaomi Pad 6 - Memang Kena Dengan Harga Dan Prestasi

2 tahun lalu, Xiaomi secara rasminya membawa masuk tablet mereka setelah sekian lama menerusi Xiaomi Pad 5. Dengan tanda harga bermula RM1,399, ia merupakan sebuah tablet Android yang paling berprestasi dan mampu dimiliki untuk setiap lapisan masyarakat.

Bermula dari situ, pasaran tablet Android tumbuh seperti cendawan, masing-masing mengeluarkan tablet tersendiri. Dari yang mampu milik, sehinggalah bersaing ke tablet premium. Jika terdahulu, tablet dari Android sering didominasi Samsung. Akan tetapi kali ini, pengguna mempunyai banyak lagi pilihan. Perkara ini bagus sebenarnya, terutama untuk pengguna seperti anda dan saya.

2 tahun sudah berlalu, tahun 2023 ini Xiaomi kembali lagi dengan pengganti Pad 5 menerusi Xiaomi Pad 6. Mungkin tahap keterujaan orang ramai tidak segah Xiaomi Pad 5 tetapi jujur saya katakan, Pad 6 wajar diberi tumpuan terutama bagi anda di luar sana yang masih tercari-cari tablet untuk kegunaan harian.

Kalau dahulu, saya sudah memberi pandangan jujur terhadap Xiaomi Pad 5 yang mana saya sememangnya menegaskan ia sebuah tablet paling kena dengan prestasi serta harga yang ditawarkan. Sekiranya anda mahu mengetahuinya atau terlepas pandang, bolehlah rujuk artikel INI terlebih dahulu sebelum bergerak lanjut bagi menghadam pendapat saya terhadap Xiaomi Pad 6.

Sama-sama kita membuang masa, jom kita teruskan.

*Lihat spesifikasi penuh di SINI

Rekaan


Terasa jauh lebih premium



Semasa saya menggunakan Xiaomi Pad 5 dulu, ia memang terasa sebuah tablet bajet meskipun spesifikasinya cukup mengancam. Mengapa saya mengatakan begitu sebabnya Pad 5 mempunyai binaan aluminium pada bahagian sisinya sementara panel belakang adalah daripada plastik sahaja.

Sebaliknya, Xiaomi Pad 6 kali ini menggunakan aluminium sepenuhnya. Ini merupakan langkah yang bijak daripada Xiaomi kerana kebanyakan tablet premium berstatus andalan (flagship) memang akan menggunakan rekaan sebegini. Jadi, tak adalah terasa tablet murah apabila kita memegangnya.

Kapsyen: Xiaomi Pad 5 vs iPad Pro 11"


Tinggi dan lebar Pad 6 ini lebih kurang sama sahaja dengan Pad 5 tetapi ketebalannya sedikit nipis dengan 6.51mm dan paling penting Xiaomi berjaya mengurangkan sedikit beratnya daripada 511g kepada 490g sahaja.



Bukan itu sahaja, Xiaomi menyeragamkan rekaan modul kamera belakangnya seiring dengan siri Xiaomi 13. Mungkin ada yang rasa janggal melihatnya tetapi saya suka kerana ia tampak lebih anggun, moden dan premium. Malah, sambungan pin untuk papan kekuncinya pun sudah berada pada bahagian bawah panel belakang. Tidak seperti sebelum ini, di bahagian sisi.



Bercakap tentang premium, ia secara tidak langsung kehilangan bicu audio, slot mikroSD untuk storan tambahan. Lebih mendukacitakan, Xiaomi Pad 6 juga tiada ciri NFC serta pengimbas cap jari pada butang kuasa mahupun pada skrin.



Maknanya, untuk nyahkunci peranti (sekiranya anda berbuat demikian), anda boleh gunakan imbasan wajah sahaja (selain pin atau pattern). Namun, bagi saya, imbasan wajah untuk nyahkunci peranti jauh lebih selesa dan mudah terutama untuk peranti bernama tablet.

Bagaimanapun, ada berita baik yang saya ingin bagi tahu. Xiaomi Pad 6 dilengkapi port USB-C 3.2. Ini merupakan naik taraf penting bagi saya. Hal ini kerana, kebanyakan orang yang ingin membeli tablet, pasti ada aksesori lain untuk disambungkan sebagai contoh untuk memindahkan fail dan lain-lain.



Melalui USB-C 3.2 ini lagi, sekaligus proses pemindahan fail jadi lebih laju. Bahkan, bolehlah sambungkannya untuk monitor atau TV beresolusi 4K dengan menggunakan kabel HDMI type-C.

Akhir sekali, tidak lengkap sebuah tablet kalau saya tidak sebutkan pembesar suaranya betul? Ia masih tampil dengan 4 pembesar suara stereo dengan sokongan Dolby Vision Atmos. Sama seperti yang ditawarkan Xiaomi Pad 5.

Paparan


Cukup cantik setanding flagship



Saya pasti ramai dalam kalangan anda apabila memiliki sebuah tablet, mesti mementingkan kualiti paparannya. Apa yang anda rasa itu, memang betul. Bagi saya, sesebuah tablet itu seharusnya menawarkan paparan yang baik. Ini kerana, kebanyakan orang akan lebih banyak menghabiskan masa untuk menikmati kandungan hiburan berbanding produktiviti lain.

Xiaomi Pad 6 cukup kaya dengan ciri-ciri yang anda mahukan. Ia hadir dengan skrin bersaiz 11 inci, 1 bilion warna, HDR10, Dolby Vision, 99% DCI-P3 dan kecerahan 550 nits.



Peningkatan yang dilakukan Xiaomi terhadap Pad 6 berbanding Pad 5 adalah resolusinya dipertingkat kepada 2880x1800, kadar segar semula 144Hz dan ada pelindungan kaca Corning Gorilla Glass 3.

Mesti ada yang mempertikaikan mengapa Xiaomi menggunakan panel IPS dan bukannya OLED atau sekurang-kurangnya mini-LED?

Sekiranya Xiaomi berbuat demikian, tak akanlah saya meletakkan tablet ini mampu milik. Kita tidak boleh nak kata "telefon bawah RM1000 pun pakai OLED". Ini kerana jika OLED digunapakai pada peranti bersaiz besar, kosnya akan jadi lebih tinggi.



Mungkin Pad 6 boleh letakkan OLED atau mini-LED, tetapi spesifikasi lain harus dikorbankan demi memastikan harga jualannya berada dalam bajet yang kita mahukan.

Biarpun Pad 6 menggunakan panel daripada IPS, tetapi jujur saya katakan ia cukup cantik. Seolah-olah panel OLED. Tidak keterlaluan juga untuk saya bagi tahu yang mana ia setanding dengan tablet andalan lain. Malah, saya sendiri yang menggunakan iPad Pro juga memuji kualiti yang diberikan Xiaomi Pad 6 ini.

Kapsyen: Skrin IPS Pad 6 vs iPad Pro 11"


Apabila sedang menonton video atau kandungan yang disajikan Netflix, ia sudah cukup memuaskan. Paparannya tidaklah terasa washed out (kelabu) sangat. IPS bukanlah OLED atau mini-LED. Akan tetapi, warna yang dihasilkan secukup rasa.

Apa yang saya boleh katakan, memang puas sekiranya anda menikmati kandungan HDR, video, drama, filem dan sebagainya. Memuaskan lagi pengalaman menonton kandungan seperti video, semestinya pembesar suara yang hadir pada peranti ini.



Kualiti audio yang dikeluarkannya seperti yang saya sudah jangka, ia memang lantang, jelas dan mengasyikkan. Walaupun saya mengaharapkan ia ditala daripada jenama audio lain seperti JBL atau Harman Kardon tetapi sebenarnya sudah cukup memadai.

Pengalaman UI Dan Aksesori


Xiaomi semakin serius untuk tablet



Selain rekaan menarik, paparan cantik serta audio sedap, perkara lain yang perlu dititikberatkan dalam sebuah tablet semestinya pengalaman menggunakannya, iaitu sistem operasi itu sendiri dan juga aksesori yang disokong bersama.

Sebelum bercerita lanjut berkaitan antara muka (UI), kita lihat dahulu aksesori yang disokong Xiaomi Pad 6 ini. Dua aksesori yang saya gunakan dan ramai orang yang akan berbuat benda sama juga, iaitu stylus dan juga papan kekunci.

Kali ini, Xiaomi memperkenalkan Smart Pen generasi kedua. Dari segi rupa luarannya, masih lagi sama dengan generasi pertama. Namun, ia tetap ada beberapa peningkatan lain. Paling ketara sekali adalah jangka hayatnya yang mana Xiaomi mengatakan ia mampu bertahan selama 150 jam.



Kalau generasi pertama, ia hanya bertahan selama 8 jam sahaja. Tambah mereka, dengan 1 minit pengecasan, ia boleh memberikan masa penggunaan sehingga 7 jam untuk kerja-kerja menulis nota dan sebagainya.

Bagi saya, tidak perlu pening-pening pun dengan bateri pen tersebut kerana sekiranya tidak digunakan, ia tetap boleh dicas secara magnetik pada bahagian sisi kanan peranti.



Selain itu, latency semasa menggunakannya pun sudah lebih baik. Saya tidak mengalami isu lag atau tidak tepat semasa mencatit nota atau melukis. Malah, ia juga pressure-sensitive. Maksudnya di sini, ia boleh mimikkan seolah-olah kita menggunakan pensil sebenar.



Apabila kita tekan dengan kuat, garisan yang kita buat itu akan jadi tebal. Saya boleh katakan, bagi pelukis-pelukis di luar sana, anda pasti menyukai menggunakannya.

Ciri lain dalam pen ini, tetap masih sama dengan generasi sebelumnya. Butang bahagian bawah apabila ditekan, aplikasi notes akan terbuka untuk kita menulis. Butang di atas pula untuk mengambil tangkap layar. Malah, pen ini juga ada kesan khas atau animasi hover. Sama juga seperti pen generasi pertama. Tetapi, tiadalah air gesture seperti yang ada pada pen daripada Samsung.



Setakat penggunaan saya dengan pen ini, semuanya sempurna tetapi pernah juga ia mendatangkan sedikit masalah. Apabila saya ingin menulis dan melukis, tiba-tiba ia tidak berfungsi. Palm rejection juga hilang. Jadi, saya terpaksa sambungkannya semula ke sisi peranti untuk ia boleh digunakan kembali.

Saya tidak pasti sama ada masalah ini berpunca daripada pen itu sendiri atau pun perisian MIUI. Saya berpendapat, isu ini berpunca daripada perisian itu sendiri. Atau mungkin saya seorang sahaja yang kurang bernasib baik.

Aksesori seterusnya adalah papan kekunci. Ini sebuah aksesori wajib sekiranya anda mahu "menggantikan" komputer riba anda atau ketika mahu membuat kerja di luar seperti di kedai kopi dan sebagainya.

Pad 6 boleh dipadankan dengan Pad 6 keyboard dengan mudah sekali kerana semuanya magnetik. Lekatkan sahaja dan boleh terus guna.



Travel key papan kekunci ini sedap untuk digunakan semasa menaip. Tidak terasa murah. Kekurangannya adalah ia tiada pencahayaan atau backlit. Jadi, nak gunakannya perlu ada lampu persekitaran.

Selain itu, Xiaomi juga ada menyediakan butang "command" atau Xiaomi menggelarnya function key dan ia akan memaparkan beberapa pintasan (short cut) yang tersedia. Jika anda taip secara terus pada papan kekunci ini juga, aplikasi Google akan terus dilancarkan.

Ia ibarat carian pantas dan memudahkan kerana tidak perlu untuk membuka aplikasi terlebih dahulu sebelum memulakan carian.



Kesemuanya berjalan lancar apabila menggunakannya tetapi ada yang saya kurang suka. Saya ambil contoh apabila menggunakan aplikasi YouTube. Secara fitrah manusia, kita akan tekan space bar untuk memainkan atau jeda (pause) video yang dimainkan. Sama seperti kita gunakan pada komputer. Namun, papan kekunci ini tidak bertindak demikian. Apabila tekan space bar, ia membuka ruang komen atau deskripsi video pula.



Bergerak kepada pengalaman menggunakan perisian, Xiaomi Pad 6 secara terus menjalankan MIUI 14 Pad berasaskan Android 13. Saya masih ingat pada Pad 5 saya dahulu, agak lama saya menunggu untuk kemas kini MIUI yang khas untuk tablet.



Apa-apa pun, MIUI 14 Pad ini tidak banyak bloatware. Apabila siap set up peranti, semua aplikasi asas Xiaomi sudah ada dan aplikasi lain yang sudah pasang pun hanyalah Netflix memandangkan peranti ini diperakui Netflix.

Ciri lain seperti floating window dan split screen itu masih ada tetapi yang terbaru ini ia membenarkan penggunaan gestur untuk buka aplikasi lain bagi split screen. Contohnya, buka satu aplikasi yang menyokong split screen, kemudian, dengan gestur 3 jari dan leretkan dari kanan paparan untuk buka aplikasi lain pula.



Secara jujurnya, Xiaomi sudah semakin serius dengan tabletnya kerana pengalaman saya menggunakan tablet Pad 6 ini jauh lebih baik berbanding Pad 5. Sudah banyak aplikasi Android yang memanfaatkan saiz skrin tablet. Cumanya, ia tidaklah setanding pada iPad.

Hal ini kerana, ada beberapa aplikasi lain yang belum menyokong tablet Android khususnya dalam mod landskap. Akibatnya, ia seolah-olah menggunakan aplikasi telefon dalam saiz skrin besar sahaja semata-mata. Tambahan lagi, Play Store itu sendiri tidak mencadangkan aplikasi yang sedap atau optimum untuk tablet.



Namun, ini bukanlah salah Xiaomi kerana mereka hanya boleh mengoptimumkan penggunaan tablet sahaja. Kalau ia aplikasi pihak ketiga, pihak pembangun sendirilah yang kena optimumkan aplikasi mereka.

Saya berpandangan perkara ini dapat diselesaikan dalam beberapa tahun lagi memandangkan Google sendiri akan mengoptimumkan lebih 50 aplikasi Google untuk segmen telefon lipat.

Bahkan, Google juga dah menghidupkan kembali segmen tablet mereka menerusi Pixel Tablet. Diharapkan, lebih banyaklah pembangun mengoptimumkan aplikasi mereka untuk tablet kerana pengguna tablet Android sudah meningkat.



Oh, sebelum saya mengakhiri bahagian UI, di bahagian tetapan, ada disediakan "features for tablets". Di sini, ada satu ciri paling menarik perhatian saya dimana ciri itu dipanggil 'connect to phones'. Asasnya, ia membolehkan kita sambung buat kerja (continuity) dari aplikasi tablet ke telefon.

Fungsi ini mirip yang ada pada ekosistem Apple - iPhone, iPad dan Mac. Namun, difahamkan ia masih lagi dalam beta dan terhad kepada telefon Xiaomi 13 Pro sahaja.

Prestasi


Xiaomi Pad 6 adalah Xiaomi Pad 5 Pro Yang Dinaik Taraf



Masihkah anda ingat Xiaomi Pad 5 Pro? Ramai yang kecewa sebabnya ia tidak dibawa masuk ke Malaysia. Jangan risau kerana apabila saya teliti dan menggunakannya, Xiaomi Pad 6 ini merupakan Xiaomi Pad 5 Pro yang sudah dinaik taraf.

Ia menggunakan cip Snapdragon 870 tetapi tiada sokongan selular 5G seperti Pad 5 Pro. Tidak mengapa, sebab rata-rata akan menggunakan hotspot atau Wi-Fi.

Secara keseluruhan, prestasi yang diberikan Pad 6 ini cukup memuaskan, kena dengan harga. Penggunaan RAM LPDDR5 juga baik dan ada pilihan tambahan RAM sebanyak 3GB. Sementara storan dalamannya menggunakan UFS 3.1. Oleh itu, memang laju apabila mahu memasang aplikasi.



Bermain permainan mudah alih pun memang tidak ada masalah, meskipun ia menggunakan cip lama. Saya sempat menguji dengan permainan COD Mobile dan Asphalt 9. Tiada sebarang masalah untuk memainkan pada tetapan tinggi dan boleh dapat purata kadar bingkai 60 fps.



Jadi di sini, walaupun kadar segar semula hingga 144Hz, tak ada permainan mudah alih yang mengoptimumkan ke tahap itu. Apa yang saya boleh katakan, bagi anda yang mahu bermain game pada tablet ini, silakan.

Cuma, jangan letak harapan terlalu tinggi seperti telefon andalan lain yang berharga ribuan ringgit. Yang penting, suhu bermain game tidak tinggi. Hanya suam-suam sahaja.

Kapsyen: Gaming hanya 60 fps sahaja, ketika tangkap layar ia papar 144Hz


Dengan bateri sebesar 8840mAh, saya tidak mengalami sebarang masalah untuk menggunakannya seharian. Nak guna sehingga 2 hari pun masih okay. Purata SoT pula sekitar 7 jam ke 10 jam tetapi ini subjektif, mengikut penggunaan anda. Dalam keadaan standby pun, ia boleh bertahan lebih lama. Saya berpuas hati dengannya, jauh lebih baik daripada Xiaomi Pad 5 terdahulu biarpun peningkatan kapasiti bateri tidak banyak.

Paling saya suka, akhirnya Xiaomi sertakan pengecas 33W dari dalam kotak. Dahulu, mereka hanya berikan 22.5W sahaja walaupun menyokong 33W. Bateri habis, nak cas? Kurang dari 2 jam boleh penuh daripada paras 0%.

Kamera macam mana pula?

Saya faham yang bila kita cakap pasal tablet, kamera jarang orang tanya. Kamera belakang dan depan sama sahaja seperti model terdahulu, iaitu 13 MP utama serta 8 MP lensa hadapan. Untuk sesebuah tablet, kamera hadapanlah yang paling penting berbanding belakang.

Saya kurang faham mengapa jenama-jenama lain tidak begitu memfokuskan kamera hadapan dalam tablet. Ini kerana ramai yang akan guna lensa hadapan berbanding belakang.



Bagi saya, kamera Xiaomi Pad 6 biasa-biasa sahaja. Tapi sudah memadai sekiranya anda mahu buat panggilan video atau kelas dalam talian misalnya (kalau ada). Apa-apa pun, saya tetap sertakan sampel gambar di sini.


Kesimpulan


Xiaomi masih kekalkan formula mereka dalam segmen tablet



Memang banyak tablet Android yang dijual pada paras harga di bawah RM2000. Namun, tablet Android yang benar-benar berkuasa serta berprestasi pada tanda harga sebegini amat jarang berlaku.

{suggest}

Apa yang saya katakan pada Xiaomi Pad 5 terdahulu, saya akan ulanginya pada Xiaomi Pad 6 ini. Ia sememangnya cukup baik bagi mana-mana anda di luar sana yang mahukan sebuah tablet sebagai peranti sokongan sekiranya mahu melakukan kerja-kerja secara mudah alih.

Dengan tanda harga bermula RM1299 (6/128GB), RM1399 (8/128GB) dan RM1499 (8/256GB), bagi saya sukar untuk tidak mengatakan "inilah tablet marhaen yang anda patut beli buat masa sekarang". Khususnya kepada anda yang lebih selesa dan gemar menggunakan sebuah peranti Android.



Namun, pada pandangan peribadi saya, jika anda masih mahukan peranti yang betul-betul optimum dalam sesebuah tablet pada harga yang lebih kurang sama, iPad Generasi ke-9 boleh dipertimbangkan.

Ini sekiranya anda tidak kisah akan rekaan yang lapuk, tidak kisah akan spesifikasi lama dan sebagainya, hanya mementingkan keserasian, pengalaman lebih baik dalam menggunakan tablet serta pilihan aplikasi yang banyak dikhususkan tablet (Goodnotes, lumafusion dan sebagainya).

Ada juga alternatif tablet Android lain tetapi pada harga sebegini, banyak yang berkelas pertengahan. Yang terbaru atau berkuasa pun seperti Huawei atau Samsung, ia sudah berada dalam liga lain (premium dan andalan).

Bajet masih tak banyak tapi mahukan juga Xiaomi? Xiaomi Pad 5 masih lagi baik untuk penggunaan masa kini. Cumanya kena ingat, ia sudah berusia 2 tahun lamanya.

Bagaimanapun, jika anda mahukan tablet berkuasa, skrin yang cantik, pembesar suara yang merdu, rekaan yang premium tetapi tidak mahu mengeluarkan jumlah wang yang banyak, jangan segan silu untuk masukkan Xiaomi Pad 6 ke dalam troli pembelian.

Beli Xiaomi Pad 6 di:

Shopee - https://invl.io/cljas09

Lazada - https://invol.co/cljas0k