Masa mula-mula keluar khabar angin terhadap peranti OPPO terbaru dalam siri Find, saya tidak tertarik langsung. Lebih-lebih lagi rekaannya hampir sama sahaja dengan pendahulunya – Find X3 Pro.
Namun, apabila OPPO mengesahkan yang mereka menampilkan cip pemproses imej tersendiri yang digelar MariSilicon X dan juga berkolaborasi dengan Hasselblad, barulah saya mula mengambil kisah akan peranti terbaru ini.
Mengapa?
Ini disebabkan sekiranya sesebuah jenama itu menggunakan cip khusus untuk kamera, ia pasti akan menawarkan sesuatu yang menarik biarpun OPPO bukanlah telefon pertama yang berbuat sedemikian kerana jenama seperti vivo dan Xiaomi juga telah memulakannya.
Setelah beberapa minggu saya menggodek Find X5 Pro, saya merasakan yang kali ini OPPO mampu menjadi pencabar telefon pintar andalan lain. Misalnya Galaxy S22 Ultra, iPhone 13 Pro Max, vivo X80 Pro, Xiaomi 12 Pro serta HONOR Magic4 Pro.
Tak Ikut Trend Telefon ‘Flagship’ Lain
Syukur, OPPO masih tidak mengikut ‘rentak’ telefon andalan yang lain di mana mereka membuang pengecas dalam kotak. Sekiranya anda membeli Find X5 Pro, bungkusan kotak masih sama dengan Find X3 Pro.
Saiz kotak gedabak ini memberikan semua yang anda inginkan. Kabel USB-C, pengecas, sarung pelindung peranti (casing), dokumen manual, pin SIM dan kod QR untuk mendapatkan perkhidmatan premium atau OPPO Premium Services.
Spesifikasi
Skrin – 6.7″ LTPO2 AMOLED, 1B warna, HDR10+, 120Hz
Pemproses – Snapdragon 8 Gen 1
Memori – 8GB RAM, 12GB RAM
Storan – 256GB UFS 3.1, 512GB UFS 3.1
Bateri – 5000mAh, pengecasan berwayar 80W, pengecasan wayarles 50W, pengecasan berbalik 10W
Kamera Belakang – 50MP utama, 50MP ultra lebar, 13MP telefoto
Kamera Swafoto – 32MP
Penarafan – IP68
Sistem Operasi – ColorOS 12 berasaskan Android 12
Rupa Hanya Beza Sedikit
Macam yang saya nyatakan pada awal tadi, rekaan yang ditampilkan OPPO pada Find X5 Pro ini tidak banyak perbezaan pun. Akan tetapi, ada beberapa perkara yang suka terhadap rupa sebegini.
Pertama sekali, panel belakangnya kini diperbuat daripada seramik. Jika mengikut penggunaan saya dengan mana-mana telefon pintar andalan (flagship) yang pernah digunakan, panel seramik terasa lebih berat dan solid.
Ia memang tahan lasak terutama dari segi tahan calar. Jujur, telefon pintar ini pernah sahaja terjatuh ke lantai. Risau dibuatnya kerana saya tidak menggunakan sarung pelindung (casing) padanya.
Namun, syukur tiada apa-apa kesan calar atau retak pada Find X5 Pro tersebut. Bercakap tentang jatuh, Find X5 Pro ini merupakan telefon pintar paling licin yang pernah saya guna.
Bayangkan, kalau anda tidak pakai casing dan letaknya di atas sofa, dengan mudahnya ia tergelincir. Oleh itu, sekiranya anda membeli peranti ini, pastikan anda menggunakan casing.
Biarpun panel daripada seramik, OPPO masih gemar menggunakan kemasan licau (glossy finish) sedangkan peranti andalan daripada jenama lain sudah memakai jenis matte. Saya merasakan mungkin OPPO mahu mengekalkan identitinya.
Kemasan licau ini masih meninggalkan kesan cap jari tetapi disebabkan OPPO bijak memilih warna, kesan cap jari tersebut sukar untuk dilihat.
Perkara kedua yang saya suka adalah modul kameranya sudah tidak kelihatan pelik sangat berbanding Find X3 Pro. Kamera “boba” pun berada dalam kedudukan yang tidak janggal dan bonggolnya tidak terlalu tinggi kerana OPPO telah memperkemaskannya.
Secara keseluruhannya, OPPO Find X5 Pro masih terasa premium, sedap digenggam dan tidaklah terlalu berat atau terlalu ringan.
Puas Untuk Hiburan
Dengan skrin bersaiz 6.7 inci berpanelkan LTPO2 AMOLED Samsung, memang tak dinafikan ia mampu memberikan kepuasan untuk melihatnya.
Warna yang dipaparkan juga cukup cantik dan setakat ini, saya berpuas hati. Bagi kadar segar semula (refresh rate), ia diberi dua tetapan – standard dan high.
Standard akan meletakkan kadar segar semula maksimum 60Hz. Sementara high pula memberikan sehingga 120Hz.
Memang terasa lancar dan saya tidak merasakan sangkut-sangkut atau stutter biarpun saya sentiasa menetapkan kadar segar semula paling tinggi.
Cumanya, apa saya perasan skrin Find X5 Pro tidak cukup cerah terutama apabila di bawah sinaran matahari. Jika nak dibandingkan dengan Galaxy S22 Ultra atau mana-mana peranti andalan Samsung, kecerahan Find X5 Pro memang jauh kebelakang. Ia juga tidak mampu menandingi kecerahan paparan model iPhone.
Seperkara lagi, saya tidak suka akan skrin yang sedikit melengkung. Kalau anda pernah membaca mana-mana ulasan saya, memang saya kurang berkenan dengan skrin sebegini.
Cantik memang cantik tetapi ia kurang praktikal bagi saya. Namun, bagi anda, mungkin ada yang tidak kisah. Lain-lain seperti pembesar suara stereo cukup menyedapkan halwa telinga walaupun bukanlah yang terbaik dalam kelasnya.
Laju Tapi Ada Sedikit Isu
Memandangkan Find X5 Pro berada dalam kelas andalan dan dilengkapi cip pemprosesan Snapdragon 8 Gen 1, kerja saya menjadi lebih mudah.
Ini kerana prestasi memang sudah boleh dijangka, iaitu pantas dan sentiasa lancar. Isunya juga rasanya hampir sama yang dihadapi mana-mana peranti dengan Snapdragon 8 Gen 1 – panas.
Paling ketara dan sering saya alami adalah ketika menikmati kandungan-kandungan video di TikTok. Walaupun bukan selalu, tetapi kebiasaannya memang akan terasa suam-suam apabila menggunakan TikTok.
Perkara ini tidak terjadi pada aplikasi lain seperti Facebook, YouTube dan sebagainya. Namun, bagi saya ia adalah lebih baik berbanding OPPO Find N yang pernah saya gunakan. Pada OPPO Find N yang menggunakan Snapdragon 888 dahulu, jauh lebih teruk isu thermal ini.
Untuk permainan mudah alih atau gaming pula, Find X5 Pro sebegitu mudah memainkan Genshin Impact pada tetapan paling tinggi. Tapi, saya kurang galakkan untuk anda bermain game yang berat pada peranti ini.
Hal ini disebabkan suhu peranti terlalu cepat panas semasa bermain Genshin Impact biarpun baru 5 minit dimainkan. Tak mengapa, telefon ini bukanlah peranti gaming. Jadi, bagi saya ia tak menjadi isu yang terlalu besar.
Bagi fungsi RAM expansion, saya hanya mengaktifkan 3GB RAM sahaja. Bermakna, sepanjang penggunaan, saya mempunyai memori 12GB RAM+3GB RAM. Perbezaannya tidaklah terlalu ketara apabila diaktifkan atau dimatikan.
Dari segi bateri, ia masih mampu memberikan jangka hayat satu hari penggunaan meskipun menggunakan kadar segar semula 120Hz serta mengaktifkan always-on-display.
Manakala pengecas 80W yang diberikan juga, boleh memberikan cas penuh kurang dari 1 jam sekiranya bateri tidak ‘kong’. Perlu diingatkan, Find X5 Pro wajib menggunakan pengecas dan kabel yang disertakan jika mahu menikmati kepantasan mengecas seperti yang diidamkan.
Kalau tidak, jangan mimpi mahu mendapatkan bateri yang dicas penuh dalam masa yang singkat.
Selesai bahagian itu, kita beralih kepada perkara yang saya tertarik terhadap sistem operasi yang menggerakkan Find X5 Pro – ColorOS 12. Versi yang saya gunakan, ColorOS 12.1 yang berasaskan Android 12.
Ini yang saya nanti-nantikan kerana pada OPPO Find N terdahulu, ia menjalankan ColorOS 12 berasaskan Android 11. Jadi, tak berapa nak syok.
Saya boleh katakan yang ColorOS 12 kali ini antara yang terbaik yang OPPO pernah sajikan kepada pengguna. Malah, Imran dan saya juga bersetuju yang ColorOS 12 boleh menjadi antara muka Android terbaik tahun ini.
Salah satu yang saya suka, OPPO smart notification hiding. Ciri ini berkait rapat dengan fungsi terbaru dalam cip pemproses Snapdragon 8 Gen 1. Anda boleh rujuk video kami di SINI.
Apabila fungsi ini diaktifkan, saya tidak perlu lagi risau untuk menunjukkan skrin pada rakan, misalya Imran. Beliau tidak akan dapat lihat pun banner notifikasi (notification banner) sekiranya ada notifikasi yang masuk. Ini kerana peranti ini mengesan bahawa bukan saya sahaja yang sedang melihat skrin.
Tambahan lagi, ciri lain yang menarik adalah floating window yang membenarkan saya untuk memindahkan gambar dari photos terus ke aplikasi notes. Selain itu, ColorOS 12 banyak juga menawarkan ciri serta feel Android 12 seperti rekaan material you.
Walau apa pun, di sini saya hanya masukkan sedikit sahaja tentang ColorOS 12 dan segala perkara menarik terhadapnya akan diulaskan dalam satu artikel yang berlainan kelak.
Sebelum saya mengakhiri bahagian ini dengan memaparkan hasil penanda aras (benchmark), saya kurang senang dengan bloatware dalam Find X5 Pro. Bagi saya, ia jauh lebih banyak berbanding perantinya terdahulu.
Banyaknya bloatware sehinggakan saya bertanya pada Imran sejurus beliau membuat nyahkotak (unboxing), “ada install apps ni ke?”. Imran lantas menjawab yang kesemua aplikasi itu sudah sedia terpasang sewaktu telefon ini dibuka.
Berikut merupakan hasil ‘benchmark’ Geekbench, AnTuTu dan 3DMark bagi OPPO Find X5 Pro:
Kamera Telefon OPPO Paling Padu
Beralih pada perkara utama dalam OPPO Find X5 Pro, iaitu kamera. Saya merasakan yang penggunaan cip MariSilicon X dan kolaborasi dengan Hasselblad bukan gimik semata-mata.
Bahkan, boleh juga saya katakan yang mungkin Find X5 Pro merupakan telefon OPPO yang hadir dengan kamera paling baik.
Tidak ada banyak isu sangat dengan kamera belakangnya. Baik gambar malam, gambar siang, ultra lebar mahupun potret. Ia mampu menawarkan foto yang cantik, tajam serta warna yang cemerlang. Seperti yang saya harapkan pada sebuah peranti yang mempunyai pemproses imej dan hasselblad ini.
Saya cuba ketika suasana yang kurang cahaya pun, ia masih ada hingar (noise) tetapi terlalu minimum dan sukar untuk dilihat. Ia masih mampu bersaing dengan Xiaomi 12 Pro, Galaxy S22 Ultra dan juga iPhone 13 Pro Max.
Kekurangan yang paling ketara adalah lensa telefotonya amatlah teruk terutama waktu malam. Zum 2x-nya tidak setanding dengan mana-mana peranti andalan yang lain. Saya merasakan perkara ini tidak sepatutnya terjadi, lebih-lebih lagi siri Find X merupakan siri yang terbaik dari OPPO.
Seterusnya, kamera swafoto beresolusi 32MP ini masih lagi baik pada penglihatan saya. Cumanya, saya kurang suka akan tona warna yang dipaparkan kerana warna kulit saya bukanlah sebegitu rupa. Dengan ini, ketampanan saya sudah sedikit terjejas menerusi lensa swafotonya.
Oh, tidak dilupakan juga yang Find X5 Pro juga boleh mengambil gambar makro. Macam mana? Mirip yang ada dalam iPhone 13 Pro di mana mod makro akan bertukar secara automatik apabila jarak kamera dekat dengan subjek.
OPPO Find X5 Pro menggunakan lensa ultra lebar bagi meralisasikan fungsi ini. Namun, kadangkala saya berasa kurang senang apabila mod ini akan bertukar secara automatik dan hasilnya kurang memberangsangkan.
Apa-apa pun, banyak lagi hasil gambar serta rakaman video yang saya akan kongsikan kepada anda dalam artikel yang khusus untuk anda cuci mata nanti.
Berbaloi Atau Tidak?
Tahun ini, saya sedar bahawa kebanyakan telefon pintar Android berkelas andalan sedia mencabar dalam segmen fotografi. Trend terdahulu, ramai beranggapan hanya kamera iPhone sahaja paling ‘power’.
Pencabar terdekat iPhone pun hanyalah Pixel dan juga Samsung siri Galaxy S. Huawei pun apa kurangnya tetapi tidak ramai yang berani untuk menggunakan telefon Huawei lagi meskipun kameranya juga cemerlang.
Apa yang boleh saya katakan, Find X5 Pro layak untuk memberikan persaingan sihat buat mana-mana peranti andalan seperti Pixel 6 Pro, iPhone 13 Pro Max, Xiaomi 12 Pro dan Samsung Galaxy S22 Ultra.
Namun, jangan salah faham, ia bukanlah yang terbaik tetapi ia mampu memberikan anda pilihan lain dalam telefon pintar. Dengan nilai RM4999 yang diletakkan OPPO, pasti ramai dalam kalangan anda akan mengatakan di ruangan komen “baik beli iPhone”.
Peranti sudah disajikan, anda hanya perlu memilih sahaja hidangan idaman. Sifir saya mudah, seperti yang saya ujarkan kepada kenalan saya, “nak guna android atau iOS?”, “nak One UI, ColorOS atau MIUI?”. Tepuk dada, tanyalah selera.
Bagaimanapun, kalau anda bertanyakan kepada saya adakah Find X5 Pro ini berbaloi? Jawapannya ya. Ia masih lagi berbaloi. Mungkin Azee boleh meletakkan peranti ini dalam tier A atau S dalam senarai tier list beliau.
Tambahan lagi, gambar daripada Find X5 Pro memang tidak dinafikan cemerlang. Lebih-lebih lagi bagi anda yang kurang gemar untuk membuat suntingan gambar selepas mengambilnya. Mudahlah untuk muat naik di media sosial dengan kapsyen SOOC (straight out of camera).
Beli jika:
- Anda mahukan sebuah kamera yang mempunyai hasil gambar dan warna yang cantik
- Minat Hasselblad tetapi dah tawar hati dengan OnePlus
- Mahu peranti andalan Android yang baik dan ingin cuba jenama selain Samsung
Jangan beli jika:
- Tidak mempunyai bajet yang besar
- Pentingkan kualiti lensa telefoto
- Tidak gemar dengan ColorOS
Beli OPPO Find X5 Pro di:
Lazada – https://invol.co/clattay
Shopee – https://invol.co/clattad
Baca juga: