OPPO telah melancarkan peranti A96 pada 18 April lepas dan ia merupakan model baharu bagi siri A daripada OPPO. OPPO A96 menggunakan cip Snapdragon 680 4G, kamera utama 50MP, panel skrin IPS LCD, bateri dengan kapasiti 5,000mAh dan menyokong kadar segar semula 90Hz.
Setelah 2 minggu menggunakan peranti OPPO A96 ini, terdapat beberapa perkara yang saya ingin ketengahkan dalam ulasan lengkap ini.
Fizikal Dan Dimensi
Peranti OPPO mempunyai bentuk yang hampir tepat apabila saya memegangnya. Lebarnya bagi saya memang muat di tangan saya dan panjang OPPO A96 ini tidaklah terlalu panjang sangat sehingga menyukarkan penggunaan satu tangan.
Binaan di belakangnya pula mempunyai tekstur separa matte dan separa licin dengan corak kilauan yang menarik. Tetapi bagi saya tekstur ini mempunyai satu kelemahan iaitu ia merangsang tangan penggunanya untuk mudah berpeluh.
Jadi saya sangat menasihatkan anda untuk memasang peranti ini dengan ‘casing‘ yang diberikan sekali atau yang berada dipasaran. Andai sebaliknya, mungkin anda akan rasa tak selesa jika tangan anda mudah berpeluh kerana peranti ini.
Bateri
OPPO A96 mempunyai bateri yang besar dengan saiz 5,000mAh. Peranti ini mempunyai prestasi yang hampir sama dengan peranti-peranti lain yang mempunyai saiz bateri yang sama.
Ketika bermain permainan mudah alih Genshin Impact, peranti ini secara purata dapat memberi prestasi 3 ke 4 jam waktu permainan. Manakala, penggunaan harian seperti bermain media sosial, menonton video dan lain-lain, penggunaan selama 4 ke 5 jam itu memang dalam tangan anda.
Pengecas pantas yang disertakan sekali 33W tidak memberi sebarang masalah kerana ia melakukan tugas yang diberikan dengan baik yakni mengecas dengan pantas. Walau bagaimanapun, terdapat satu kekurangan dalam pengecasan peranti ini.
Jika anda mengecas menggunakan pengecas selain yang disertakan itu atau pengecas pihak ketiga, peranti ini akan memerlukan masa untuk mengecas yang agak lama dan itu agak melecehkan.
Prestasi
OPPO A96 dikuasakan Qualcomm Snapdragon 680 yang merupakan cip pemprosesan kelas pertengahan. Untuk melakukan tugasan dan penggunaan harian, tiada masalah yang saya hadapi biarpun ia tidak selancar peranti dengan cip siri 700 daripada Qualcomm.
Tetapi, sekurang-kurangnya peranti ini masih boleh melakukan tugasan yang sepatutnya ia lakukan. Selain itu, prestasi peranti ini dalam mengendalikan permainan mudah alih diuji melalui permainan Genshin Impact.
Setakat ini, Genshin Impact merupakan permainan mudah alih paling atau antara yang memerlukan pemprosesan grafik yang tinggi padanya.
Oleh itu, permainan ini dijadikan penanda aras adalah satu perkara yang rasional. OPPO A96 mampu mengendali Genshin Impact pada tetapan grafik biasa dan ke bawah. Kelancaran ketika bermain itu memang ada tetapi anda jangan jangka kelancaran serta kesedapan ketika bermain seperti peranti kelas pertengahan premium atau pun ‘flagship’.
Tambahan lagi, saya mengesyorkan anda mengekalkan tetapan lalai (default) kadar segar semulanya pada 30Hz untuk mengelakkan sebarang masalah seperti ‘lagging‘, cepat panas dan penurunan peratusan bateri yang cepat.
Di samping itu, untuk permainan bertemakan MOBA seperti Mobile Legends: Bang Bang, LoL: Wild Rift dan lain-lain, OPPO A96 tiada sebarang masalah dalam mengendalikannya.
Kamera
Saya meletakkan bahagian kamera kerana ini merupakan perkara utama dalam ulasan ini. Siri A daripada OPPO dikenali sebelum ini sebagai salah satu peranti yang menfokuskan prestasi kamera.
Walau bagaimanapun, gambar yang diberikan tidak menepati jangkaan saya dan malahan jauh lebih rendah. Berikut merupakan gambar-gambar hasil daripada peranti OPPO A96:
Kamera Swafoto (Mod Potret)
Gambar yang dihasilkan tidak menarik, ada ‘pecah-pecah’ dan tidak tajam dalam kejelasan yang dihasilkan.
Kamera Swafoto (Mod Malam)
Bagi saya mod malam adalah satu-satunya ciri kamera peranti ini yang melakukan tugas seperti yang kita harapkan pada mod gelap.
Kamera Utama
Hanya ada sedikit perbezaan berbanding kamera swafoto tetapi kualiti yang diberikan tak memuaskan dengan kamera utamanya (50MP).
Kamera Swafoto Dikawasan Bercahaya
Prestasi kamera swafoto OPPO A96 lebih baik sedikit jika digunakan pada kawasan yang bercahaya. Sedikit tambahan gambar-gambar yang ditangkap melalui kamera utama pada waktu siang:
Kesimpulan
OPPO A96 merupakan satu peranti yang memang terbaik dan sesuai dengan apa yang diberikan JIKA peranti ini dijual pada tanda harga bawah RM1,000. Mengikut pendapat hos kami Azee (Imran), tanda harga RM1,299 untuk OPPO A96 tidak berbaloi dengan apa yang anda dapat.
Manakan tidak, peranti ini hanya menggunakan cip pemprosesan kelas pertengahan Snapdragon 680 4G, prestasi kamera yang kurang memuaskan tetapi dijual pada harga lebih seribu.
Saya tidak menafikan sebarang kelebihan yang ada padanya seperti bentuk dan saiz yang sepadan dan bateri yang tahan lama tapi ia tidak sepatutnya dijual pada harganya.
Jika anda mempunyai bajet sekitar RM1,300, saya mengesyorkan anda untuk mempertimbangkan peranti selain OPPO A96 seperti Redmi Note 11 Pro, vivo T1 5G atau Honor X9 5G.
Beli jika:
- anda mencari peranti dengan rekaan siri Reno tapi pada harga murah
- anda peminat OPPO
- anda ingin berbelanja lebih untuk peranti kelas pertengahan
Jangan beli jika:
- anda dapat mencari pilihan telefon pintar yang lebih berbaloi daripada ini
- anda rasa peranti ini mahal
Beli OPPO A96 di Lazada – https://invol.co/clatcvl
Beli OPPO A96 di Shopee – https://invol.co/clatcw3
Baca juga: