OPPO Enco Air2 ialah model terbaharu daripada OPPO untuk siri TWS Enco. Ia dilancarkan bersama-sama dengan siri telefon OPPO Reno 7 pada Februari lalu.
Dari jauh anda boleh nampak kecomelan dan kemolekannya, diwarisi daripada generasi terdahulu dan ditambah pula penutup separa lutsinarnya yang digelar OPPO, traslucent jelly case.
Hadir dengan dua warna iaitu biru (Sky-bright Blue) dan putih (Misty Morning White) ia mempunyai kadar sensitiviti pemacu setinggi 128 ± 3 dB. Untuk sensitiviti mikrofon pula, ia adalah sebanyak -38 dBV / Pa.
Pemacunya pula bersaiz 13.4mm yang diperbuat daripada PEEK dan titanium. Ia dijual pada harga RM249 dan boleh didapati melalaui kedai rasmi OPPO di Shopee dan Lazada.
Rekaan
Seperti OPPO Enco Air, rekaan generasi kedua ini juga mewarisi bentuk yang boleh dikatakan 100% sama dengan model pertama. Ia mempunyai berat 39.9g secara keseluruhan dengan setiap earbud hanya 3.5g.
Ia sedap digenggam kerana tidak terlalu tebal dan reka bentuk bulatnya memberi rasa selesa. Untuk earbud-nya pula, jelas sekali mirip AirPods dengan sedikit perbezaan.
Kualiti audio
Disebabkan ia sebuah TWS jenis open ear yang sama seperti AirPods, maka penggemar muzik dan audiophile pastinya dapat menjangka pengalaman audio yang dibawakannya.
Daripada penggunaan saya, suara dan muzik dimainkan jelas dan kuat tanpa sebarang isu. Mid dan high yang dikeluarkan agak seimbang dengan kualiti yang agak baik. Namun, telah tertanam dalam DNA TWS jenis ini di mana bass bukanlah kekuatan utama.
Kerana itulah OPPO memperkenalkan mod Bass Boost dan Clear Vocal yang boleh dipilih pengguna melalui aplikasi HeyMelody. Namun disebabkan ia jenis open ear, maka bantuan dari segi perisian tidak banyak membantu.
Kualiti bass yang dikeluarkan tidaklah teruk, anda dapat dengar keberadaan bass namun tiada ‘feel’ yang membuatkan anda terikut dengan dentumannya hingga badan secara semula jadi bergerak seperti terjadi headbanging. Disebabkan ia tidak ada getah untuk kedap suara, jadi walaupun dengan memanfaatkan mod Bass Boost, ia tidak banyak membantu. Untuk beberapa lagu, perbezaan antara mod biasa, Bass Boost dan Clear Vocal langsung seolah-olah tiada perbezaan.
Mendengar Let It Happen dari Tame Impala dan Bohemian Rhapsody oleh Queen, berulang kali saya mengubah-ubah antara ketiga-tiga mod tersebut. Hasilnya, saya cuba berasa sedikit perubahan jika beralih antara Bass Boost dan Clear Vocal namun jika diubah daripada/ke mod biasa (contohnya Bass Boost ke mod biasa dan sebaliknya), perbezaannya langsung tidak dapat dikesan telinga saya.
Untuk mod permainannya pula, ia terbukti berkesan mengurangkan sela masa. Saya mencubanya di PUBG dan jelas ketara perbezaannya tanpa mod permainan diaktifkan. Mana-mana TWS sememangnya mustahil untuk mencapai sela masa sifar kerana sambungan Bluetooth namun sela masa pada OPPO Enco Air2 dengan Bluetooth 5.2 dan mod khasnya, sela masanya terasa minimal.
Pembatalan Hingar
Dengan AI Noise Cancellation, hingar dan bunyi sekeliling selain suara pengguna dapat ditapis dengan berkesan. Saya bandingkannya dengan Soundpeats 3 SE, ternyata pembatalan hingar pada Enco Air2 ini amat baik sehinggakan walaupun saya letakkannya dekat pada pembesar suara yang memainkan Di Ambang Wati sesi live, bunyi tersebut terdengar perlahan dan ditapis walaupun saya tidak bercakap.
Namun, jika hingar terlalu kuat seperti lagu dimainkan di latar, jelas juga kegigihannya menapis dan membezakan suara saya dan suara vokalis di mana suara timbul tenggelam namun tidak teruk dan masih boleh kedengaran.
Lumrah sebuah TWS keturunan open ear, ia dicipta bukan untuk mendengar muzik secara serius atau bagi audiophile mahupun penggemar muzik, sebaliknya untuk kualiti mikrofon yang bagus untuk pengalaman panggilan yang baik. Di sini, memang suara yang dirakam oleh mikrofon Enco Air2 agak jelas dan kuat, sesuai untuk mereka yang sering dalam panggilan.
Namun, ia terasa seperti sedikit “bergerigi” dan tidak semulajadi seperti mikrofon pada telefon. Saya bandingkan dengan Soundpeats, Enco Air2 ketara lebih kuat suaranya tetapi suara dirakam Soundpeats lebih lancar dan kedengaran semulajadi. Tidak pasti apakah ini disebabkan teknologi pembatalan hingar atau perkakasan.
Sambungan
Terlahir pada tahun 2022, maka memang sepatutnyalah ia menyokong sambungan Bluetooth 5.2 untuk kestabilan ketika mendengar lagu dan menjawab panggilan.
Pun begitu, ia hanya menggunakan codec AAC dan SBC sahaja, agak ketinggalan zaman untuk pengguna yang menggunakan sekadar untuk panggilan dan mendengar muzik secara santai boleh dikatakan memadailah.
Bateri dan Pengecasan
Bekas pengecasnya mempunyai kapasiti bateri sebanyak 440mAh manakala earbud pula sebanyak 27 mAh. Earbud boleh digunakan selama 4 jam sekali penggunaan dan dengan bekas pengecasan, ia boleh digunakan selama 24 jam. Jika bekasnya langsung kehabisan bateri, ia mengambil sekitar 2 jam untuk dicas penuh.
Di dalam kotak, anda juga akan mendapat kabel USB-C untuk mengecas OPPO Enco Air2 ini namun boleh saja gunakan mana-mana kabel USB Type-C yang anda miliki.
Aplikasi HeyMelody
Awalnya, saya mencuba pada iPhone namun rupa-rupanya aplikasi HeyMelody pada iOS masih belum menyokong Enco Air2 bahkan senarai aksesori yang disokong juga sangat sedikit. Saya cuba pula di Android, barulah akhirnya dapat Enco Air2 ini dapat disambungkan. Senarai aksesori yang disokong juga jauh lebih banyak di platform ini.
Di halaman utama, anda dapat melihat kadar bateri pada bekas dan setiap earbud. Anda boleh menetapkan kesan suara (sound effect) yang terdiri daripada 3 iaitu asli, Bass Boost dan Clear Vocal.
Di aplikasi ini juga, pengguna boleh menetapkan fungsi untuk setiap tap contohnya tap sekali untuk lagu seterusnya. Dengan ini, anda boleh tetapkan untuk hidupkan mod permainan dengan hanya dengan tap.
Selain juga boleh mengemaskini firmware, itu sahaja apa yang anda boleh lakukan dengan aplikasi ini. Antara mukanya ringkas, fungsinya padat tanpa ciri berlebihan.
Ciri Tambahan
Untuk sistem tap pada earbud, pengguna boleh tap lama pada kedua-dua belah sampai bunyi ‘beep’ 4 kali untuk reset bagi menyambung dengan telefon baharu. Anda boleh tap lama untuk naik atau turunkan suara (kanan untuk kuatkan, kiri untuk perlahankan). Selain itu, anda juga boleh tap dua kali untuk lagu sebelum dan selepas. Seperti disebut di atas, semua ini boleh ditetapkan semula mengikut kehendak anda melalui HeyMelody.
Antara ciri tambahan pada Enco Air2 ini ialah penarafan IP4 kalis air di mana pengguna tidak perlu risau jika berpeluh ketika menggunakannya.
Jika digunakan bersama telefon OPPO, fungsi Flash Connect dapat dihidupkan sepertimana AirPods pada iPhone. Buka sahaja penutup Enco Air2, sebuah pop-up akan muncul. Ia juga boleh menjadi shutter button untuk aplikasi kamera di telefon OPPO.
Kesimpulan
Secara ringkas, Enco Air2 ini menghasilkan audio yang baik untuk muzik tetapi sememangnya bukan untuk mereka yang menggelar diri audiophile atau yang mahukan TWS yang benar-benar boleh membawakan semua genre dengan bagus. Ditambah pula jika anda lebih gemar dengan lagu yang dipenuhi bass, TWS ini jelas sekali tidak sesuai untuk anda.
Antara kelebihan Enco Air2 ialah sistem pembatalan hingarnya yang begitu cekap dan mikrofon yang menangkap suara dengan baik. Walaupun ada isu di mana suara dirakam seolah-oleh tidak lancar dan tidak berbunyi semulajadi, tetapi kelantangannya amat membantu pengguna dalam sesi panggilan atau rakaman. Isu tersebut tidaklah terlalu besar dan mungkin boleh dibaiki OPPO melalui kemas kini.
Selain itu, mod permainannya juga menunjukkan perubahan ketara dan membantu pengguna ketika bermain permainan. Secara peribadi, saya tidak boleh memakainya untuk tempoh yang lama kerana telinga terasa sakit jika lebih 15 minit dipasang TWS ini. Namun, ini bergantung pada bentuk telinga masing-masing dan pilihan sendiri.
Untuk harga RM249, saya boleh katakan ia agak baik-baik saja dengan prestasi yang ditawarkan. Jika anda suka dengan reka bentuknya yang comel dan sering terlibat dan panggilan, maka OPPO Enco Air2 barangkali sesuai untuk dipertimbangkan.
Baca juga: