Beberapa bulan lepas, fon telinga ini telah ‘hype’ sebelum pelancaran rasminya. Ia dikatakan mempunyai audio kualiti yang sangat mantap beserta dengan ciri dan fitur yang menarik. Fon telinga ini ialah Nothing ear (1).
REKAAN
Nothing ear (1) ini mempunyai rekaan yang menarik kerana ia dihasilkan dengan plastik jenis ‘transparent‘. Dengan gabungan warna putih, fon telinga ini membawa ciri yang berlainan daripada fon telinga tanpa wayar yang lain.
Rekaan pada kotak simpan (case) juga memiliki ciri yang sama iaitu menggunakan plastik jenis lut sinar (transparent).
Selain itu, dengan rekaan jenis ‘in ear‘, fon telinga ini sangat mudah untuk diletakkan di telinga tanpa perlu dilaraskan kedudukannya. Penggunaan tip telinga pada peranti ini menjadikan lebih sedap diletakkan di telinga.
FITUR
Nothing ear (1) ini mampu disambungkan dengan peranti Android dan iOS tanpa masalah. Cara penyambungannya juga amat mudah.
Beberapa fitur turut disertakan pada fon telinga ini. Dengan menyentuh 2 kali, ia akan memainkan atau memberhentikan lagu. Jika disentuh 3 lagi pada fon telinga belah kanan, ia akan memainkan lagu seterusnya, jika sentuh 3 kali sebelah kiri pula, ia akan memainkan lagu sebelumnya.
Untuk meninggikan atau merendahkan suara lagu, anda hanya perlu menyentuh kebawah (slide down) atau keatas (slide up) pada bahagian batang fon telinga ini.
Fon telinga ini juga mempunyai ciri Active noise cancellation (ANC). Dengan sentuhan 3 saat (tap and hold), ia akan memasuki mod ANC, Transparency atau Off.
Nothing ear (1) ini juga mempunyai aplikasi yang membolehkan pengguna untuk menetapkan fungsi sentuhan pada fon telinga, memantau bateri dan juga menetapkan equaliser peranti ini.
BUNYI
Untuk sepanjang penggunaan penulis, bunyi yang dihasilkan dan kualiti yang diberikan adalah secukupnya berbaloi dengan harganya. Bass pada fon telinga ini juga memang terasa jika menggunakan mod more bass mahupun mod biasa.
Ketika mendengar lagu dan menonton filem, memang tiada delay tetapi jika digunakan untuk bermain permainan video, akan ada delay sedikit. Ini memang perkara biasa untuk semua jenis TWS.
Fungsi ANC juga berfungsi dengan baik. Namun, jika bunyi terlalu bising, akan terdengar juga tetapi tidak terlalu kuat. Mod ANC ini boleh ditetapkan kepada light atau maximum melalui aplikasinya.
Sedikit kekurangan yang dapat penulis nyatakan ialah pada mod transparency. Ketika menggunakan mod ini, penulis mendapati bahawa fon telinga ini tidak dapat menangkap bunyi yang jauh. Ini bermaksud, jika berbual dengan orang agak jauh, suara yang kedengaran akan menjadi tidak jelas. Tetapi dalam jarak dekat, sememangnya tiada masalah.
Dari segi mikrofon pula, memang ia mampu untuk menangkap suara dengan bagus walaupun mikrofon fon telinga ini terletak agak jauh dari mulut.
BATERI
Jika digunakan dengan fungsi ANC, ia dapat bertahan sekitar 5 jam dan sekitar 34 jam jika digunakan sekali dengan case. Nothing ear (1) ini juga dapat dicas dengan pantas selain mempuyai fungsi pengecasan wayarles.
HARGA
Dengan harga RM499 adakah ia berbaloi dengan semua ciri dan fitur ditawarkan? Jika ditanya, bagi penulis ia berbaloi kerana tidak banyak TWS yang mampu memberikan kepuasakan seperti yang diberikan pada Nothing ear (1) ini.