Selain daripada model standard, siri Infinix NOTE 40 ini juga hadir dengan model Pro yang mana perbezaannya dengan Infinix NOTE 30 Pro boleh dilihat jelas pada reka bentuk dan juga spesifikasi yang ditawarkan.
Namun begitu, artikel ulasan ini dibuat oleh kerana terdapat pengikut Wiser.My yang menyatakan bahawa Infinix GT 10 Pro lebih bagus daripada model ini.
Oleh itu, saya di sini ingin memberi keterangan dengan lebih lanjut lagi mengenai Infinix NOTE 40 Pro ini yang merangkumi perkara baik dan buruk selama saya menggunakan telefon ini.
Spesifikasi
[specs]
Cip: MediaTek Dimensity 7020 5G
Memori: 8+8GB RAM LPDDR4X
Storan: 256GB UFS 2.2
Sistem Operasi: XOS 14, Android 14
Skrin: AMOLED LTPS, 6.78 inci, FHD+ (2436 x 1080), 120Hz
Kamera: 108MP utama, 2MP ultra lebar, 2MP potret, 32MP swafoto, 1440 30FPS
Bateri: 5,000mAh, pengecasan 45W, wayarles 20W
Lain-lain: Dwi-pembesar suara JBL, penarafan IP53, NFC, dwi-slot kad SIM, rangkaian 5G
[/specs]
{suggest}
Kelebihan
Pertama sekali, saya ingin ketengahkan tentang rekaan NOTE 40 Pro ini yang tampil dengan reka bentuk sisi melengkung pada skrin dan juga panel belakang.
Jenis skrin yang digunakan pula sama seperti NOTE 40 iaitu AMOLED dan perkara yang saya paling suka untuk bahagian ini adalah apabila Infinix mempertingkatkannya dengan perlindungan Corning Gorilla Glass bagi model Pro ini supaya ia lebih tahan lasak.
Selain itu, panel belakang telefon ini juga dilengkapi dengan kemasan vegan leather.
Bagi saya, dua ciri rekaan ini bagus untuk diaplikasikan oleh model ini kerana penampilan luaran sesuatu model telefon pintar itu perlu nampak lebih premium, cantik dan estetik berbanding pendahulunya walaupun ia dalam kelas pertengahan.
Tidak lupa juga, NOTE 40 Pro ini hadir dengan ciri Active Halo iaitu lampu LED dengan teknologi kecerdasan buatan yang akan mengesan tugas daripada penggunanya seperti menerima panggilan serta notifikasi pemberitahuan, bermain permainan, mendengar lagu dan menangkap gambar.
Bagi anda yang minat mod Always On Display (AOD) di paparan, telefon ini juga tampil dengan pelbagai pilihan tetapan untuk tulisan, warna, dan bermacam lagi mengikut keselesaan dan minat anda.
Kelebihan lain yang ada pada NOTE 40 Pro ini berdasarkan pengalaman saya sendiri adalah prestasi baterinya yang mampu untuk menjalankan permainan mudah alih secara berterusan sehingga lima ke enam jam. Kenyataan ini juga adalah bergantung kepada jenis permainan yang pengguna mainkan.
Sudah tentu, model Pro ini juga hadir dengan pelbagai kaedah pengecasan yang sama seperti model standard iaitu pengecasan berwayar 45W, wayarles 20W, pengecasan berbalik dan pengecasan bypass. Tidak ketinggalan juga tiga pilihan mod untuk pengecasannya iaitu ‘Hyper‘, ‘Smart‘ dan ‘Low-Temp‘.
Berpindah pula ke bahagian gaming, walaupun cip pemprosesan yang digunakan tidak sehebat MediaTek Dimensity 8050 pada Infinix GT 10 Pro, cip pemprosesan telefon ini masih merupakan penambahbaikan daripada Helio G99 pada NOTE 30 Pro dan NOTE 40.
Suhu sepanjang sesi bermain permainan mudah alih seperti Mobile Legends dan Call Of Duty: Mobile boleh saya katakan hanya sekadar suam-suam sahaja serta sekitar 40 darjah celcius sahaja.
Pengalaman output bunyi daripada pembesar suara JBL NOTE 40 Pro ini pula menawarkan kualiti yang tidak pecah dan lebih jelas berbanding dengan NOTE 40. Akan tetapi, ketidakseimbangannya itu masih ada walaupun saya rasa tidak terlalu kerap berlaku seperti adiknya.
Untuk anda yang masih membaca, tanggapan anda terhadap model ini pasti tinggi dan berbaloi untuk dimiliki berbanding dengan pendahulunya iaitu NOTE 30 Pro.
Namun, itu semua sebelum saya nyatakan kekurangannya.
Kekurangan
Di sini, saya mahu kongsikan beberapa kekurangan terhadap model Pro ini jika saya seorang pembeli yang ingin mencari telefon pintar di dalam bajet bawah satu ribu ringgit.
Secara jujurnya, penetapan harga daripada RM899 oleh model NOTE 30 Pro kepada RM1098 adalah satu peningkatan yang agak besar bagi sesebuah telefon yang tidak banyak beza peningkatan berbanding model terdahulu.
Jika saya merupakan seorang individu yang mementingkan prestasi dalaman sahaja, rekaan luaran itu bukanlah suatu perkara yang perlu dititik beratkan.
Ditambah pula dengan kuasa pengecasan berwayarnya yang berkurangan dari 68W oleh model NOTE 30 Pro kepada 45W. Tidak lupa juga, NOTE 40 Pro ini tidak dilengkapi dengan slot kad mikroSD untuk penambahan storan.
Hal ini sangat besar sebenarnya apabila dilihat kembali dengan minda yang terbuka.
Kesimpulan
Walau bagaimanapun, sebagai sebuah peranti telefon pintar kelas pertengahan yang berada dalam golongan harga RM1000, Infinix NOTE 40 Pro ini mampu membekalkan kelebihan untuk para penggunanya yang cenderung ke arah penampilan yang bergaya sambil berkuasa.
Tambahan pula, telefon ini hadir dengan jaminan kemas kini sistem operasi selama 2 tahun. Mungkin ada di antara para pembaca yang beranggapan tempoh jaminan yang diberikan adalah terlalu singkat.
Namun, tempoh ini sejujurnya wajar diberikan untuk telefon kelas pertengahan.
Untuk menjawab persoalan telefon Infinix manakah yang lebih berbaloi di antara NOTE 40 Pro dan GT 10 Pro dengan perbezaan harga sekitar RM50, anda boleh memilih Infinix GT 10 Pro. Hal ini kerana ia lebih menonjol ke arah ‘gaming‘ dari sudut prestasi dan juga reka bentuk.
Atau pun anda boleh memilih TECNO Pova 6 Pro sekiranya mempunyai bajet bawah RM1000.
Ingin saya ingatkan semula, setiap pilihan yang dibuat mesti berdasarkan keperluan dan kemampuan anda sebagai pengguna dan pembeli. Saya hanya memberikan pengetahuan tambahan.
Beli Infinix NOTE 40 Pro di:
Shopee – https://invl.io/cll3s9w
Lazada – https://invol.co/cll3sa4