Macam Ni Samsung Ubah Cara Anda Tonton TV Dengan Teknologi AI

Sekitar Mac lepas, Samsung telah pun memperkenalkan barisan televisyen (TV) baharu mereka menerusi Neo QLED 8K, Neo QLED dan OLED.

Tumpuan utama adalah pada model Neo QLED 8K yang mana ia hadir dengan pemproses generasi terkini, iaitu NQ8 AI Gen3. Samsung mengatakan, unit pemprosesan neural (NPU) mereka kali ini menawarkan kelajuan dua kali ganda bersama-sama dengan peningkatan lapan kali ganda dalam rangkaian saraf berbanding pendahulunya.

Tahun ini memang tahun kecerdasan buatan atau AI dan Samsung tidak mensia-siakannya dengan memfokuskan AI dalam model berkuasanya — Neo QLED 8K.

Mirip strategi pada barisan Galaxy S24, AI dalam TV Samsung pun bukanlah gimik dan ia mengubah cara pengguna biasa seperti kita menikmati kandungan daripada TV dengan memanfaatkan teknologi AI tanpa kita perlu fikirkannya.

Sekiranya anda mahu mengetahui macam mana Samsung mengubah cara anda menonton TV, teruskan bersama saya.

{suggest}

AI Upscaling




Peningkatan kualiti gambar atau upscaling bukanlah sesuatu yang baharu. Dalam dunia permainan video khususnya dalam kad grafik, mereka sudah ada teknologi yang dipanggil Deep Learning Super Sampling (DLSS) daripada NVIDIA dan FidelityFX Super Resolution daripada AMD.

Seperti DLSS, ia menggunakan imej pembelajaran mendalam masa nyata untuk memberikan resolusi yang tinggi tanpa mengorbankan FPS.

Pada TV Samsung pula, ia tidaklah sama atau mempunyai teknologi daripada NVIDIA. Cumanya, fungsi atau matlamat yang sama, iaitu menggunakan AI dalam menawarkan imej yang jauh lebih berkualiti.

Samsung mengatakan pemproses AI NQ8 Gen3 memproses serta memberi peningkatan lebih baik berbanding NQ4 Gen2. Imej yang dipapar adalah 1.8x lebih jelas dan terperinci.

Kalau model lama, AI upscaling adalah maksimum sehingga 4K sahaja tetapi model terbaru ini, ia boleh capai 8K. Kandungan 4K dikatakan dapat memberikan 90% resolusi daripada kandungan 8K natif.

Kapsyen: gambar kiri definisi standard, gambar kanan AI upscaling


Betul ke benda ni atau gimik sahaja?

Pengalaman saya melihat dan membandingkan secara terus di depan mata, benar, ia memang memberikan peningkatan kualiti imej yang dipaparkan.

Disebabkan ia menggunakan AI, TV ini tidak memerlukan kita untuk pergi ke tetapan bagi mengaktifkannya kerana segalanya dibuat secara automatik. Maknanya, buka sahaja TV, fungsi ini sudah pun berjalan.



Adakah siaran langsung seperti berita atau tontonan bola sepak akan menerima kesannya? Samsung mengatakan ya, ia akan berfungsi juga. Tidak terhad kepada aplikasi tertentu seperti Netflix dan sebagainya.

Namun begitu, saya difahamkan ia bukanlah meningkatkan semua imej kepada resolusi 8K. Imej yang dipertingkatkan adalah berdasarkan kandungan itu sendiri. Contohnya, kandungan definisi standard (SD) akan dinaikkan resolusinya kepada lebih baik. Sama juga jika kandungan sudah tersedia 4K. Secara keseluruhan, imej atau visual yang dipaparkan akan jadi lebih tajam, terperinci serta jelas berbanding biasa.

Sebagai selingan, TV Samsung Neo QLED ini tersedia dalam saiz 65", 75" dan 85". Sebenarnya, rakyat Malaysia memang minat TV bersaiz besar dan ini adalah berdasarkan laporan daripada Samsung.

AI Picture




Selain daripada peningkatan resolusi, tahun ini Samsung menawarkan fungsi baharu yang dipanggil AI Motion Enhancer Pro.

Secara asasnya, teknologi ini adalah untuk mempertigkatkan kualiti pada objek yang bergerak dalam TV. Sebagai contoh, apabila kita sedang menonton bola sepak, bola yang bergerak itu tidaklah nampak kabur.

Bukan itu sahaja, mesti anda pernah lihat teks ringkas di bawah TV semasa menonton berita. Teks tersebut pun akan menerima peningkatan di mana teks dipaparkan jauh lebih jelas dan lebih mudah dibaca.



Tidak terhenti di situ, pada barisan Neo QLED Samsung juga jauh lebih baik berbanding TV dengan mini LED biasa. Samsung dapat mengurangkan hingar gambar lebih baik dan warna HDR pada kandungan pun dipertingkatkan.

Jadi, sekecil-kecil "maklumat" penting dalam kandungan yang anda lihat pun boleh nampak dengan jelas. Contohnya kandungan di kawasan gelap. Saya perasan, imej yang dipaparkan tidak washed out atau nampak kelabu kabus apabila situasi gambar gelap.

Yang terang lebih terang, yang gelap lebih gelap dan jauh lebih kontras.

AI Gaming




Tak lengkaplah kalau TV pintar masa kini kalau tak menawarkan mod khas untuk gamer. Bukanlah baharu pun mod gaming pada barisan TV Samsung.

Namun, yang terbaru mod game ini jauh lebih memudahkan untuk anda. Kalau model sebelum ini, kita perlu tukar sendiri mod game tu kepada genre permainan yang kita main.



Contohnya, kalau main EAFC, kita akan pilih mod sukan di tetapan. Bagaimanapun, kadangkala mod yang ditetapkan secara manual ini akan memberikan sedikit isu seperti warna lari dan sebagainya.

Saya sebagai gamer, memang biasanya pilih mod ikut sedap mata. Akan tetapi, apa yang Samsung cuba lakukan tahun ini adalah, biarkan sahaja AI itu yang buat kerjanya.



Pilih sahaja permainan yang ingin dimainkan, contohnya Elden Ring atau Lies of P, secara tak langsung AI Samsung mengesan permainan tersebut jatuh dalam kategori RPG. Jadi, paparan pada TV akan dioptimumkan mengikut permainan yang dimainkan.

Dengan syarat, tetapan ditetapkan dalam mod auto. Bagi saya, perkara ini amat memudahkan. Ini kerana, saya seorang yang main banyak genre permainan. Memang ada masa tetapan yang saya sudah lakukan di TV akan "lari" sedikit bila bertukar judul permainan lain.

OLED Glare Free




Selain daripada barisan Neo QLED, Samsung pun ada barisan OLED. Untuk 2024, mereka menawarkan daripada saiz 40" hinggalah ke model siri S95, S90 dan S85.

Apa saya tertarik pada TV OLED Samsung tahun ini adalah teknologi anti silau atau glare free. Samsung mengatakan mereka menggunakan low-reflection coating untuk menjayakannya.



Saya seorang penggemar paparan matte atau pun yang ada anti silau. Ini kerana bagi saya ia tidak akan membuatkan mata saya cepat penat. Ya, kalau panel monitor yang biasa-biasa, paparan sebegini akan mengorbankan kualiti imej.

Namun, kalau anda nak tahu, panel anti silau yang lebih mahal, mereka ada cara tersendiri untuk melakukannya. Macam Samsung juga.



Saya nampak, memang benar yang paparan OLED anti silau pada TV Samsung ini memang berkesan. Apabila kita pasang TV di ruang tamu waktu siang, visual masih lagi jelas tanpa ada pantulan diri kita dalam TV. Yalah, kita nak tengok TV bukan diri sendiri.

Adakah sama teknologi tersebut dengan Samsung Galaxy S24 Ultra? Tidak sama sekali. Ia hanya ada pada TV Samsung OLED sahaja.

Samsung Music Frame




Melengkapkan barisan TV Samsung pada 2024 adalah aksesori audionya menerusi Music Frame. Kalau sebelum ini pernah nampak Frame TV, yang ini adalah pembesar suara dalam bentuk bingkai gambar. Ya, macam bingkai gambar tapi ada pembesar suara.



Music Frame ini boleh digunakan tanpa TV, iaitu menerusi sambungan bluetooth dan aplikasi SmartThings.



Boleh juga sambungkan sehingga dua Music Frame pada TV Samsung serta tetapan Q-Symphony untuk menawarkan pengalaman audio lebih imersif. Pada masa sama, ruang tamu anda nampak kemas.

Pengalaman saya sebelum ini menggunakan Q-Symphony, memang baik sekali kerana pengalaman audio daripada pembesar suara TV dan dipadankan dengan soundbar, memang imersif.

Kesimpulan


Secara keseluruhan, apa yang saya boleh katakan untuk barisan TV AI Samsung kali ini agak baik. Paling penting, ia tak memaksa kita untuk membuat tetapan dalam TV yang mana bagi saya mungkin menyukarkan untuk pengguna biasa.

Sebaliknya, segalanya dibuat secara automatik kerana wujudnya pemproses NQ8 AI Gen3. Tak perlu pening kepala, buka sahaja TV, tonton sahaja kandungan seperti biasa.

Walau apa pun, sejujurnya barisan TV Samsung memang agak "keras" harganya tetapi ia diimbangkan dengan teknologi yang mereka bawakan dan ia berbeza dengan pesaingnya lain.