Kalau tahun lepas, Infinix telah melancarkan siri NOTE 30 dan tahun ini, siri itu bertambah dengan hadirnya siri Infinix NOTE 40 yang terdiri daripada model standard dan Pro.
Namun, artikel ini hanya akan membahaskan tentang model standard terlebih dahulu yang mana boleh saya kelaskan ia sebagai antara salah satu telefon pintar kategori ‘gaming’ yang dijual pada harga mampu milik dengan spesifikasi yang berbaloi.
Saya memberi kenyataan ini bukan dengan tujuan untuk memikat hati anda supaya membelinya tetapi berkongsi serba sedikit tentang kelebihan dan kekurangan Infinix NOTE 40 ini.
Spesifikasi
[specs]
Cip: MediaTek Helio G99 Ultimate
Memori: 8+8GB RAM LPDDR4X
Storan: 256GB UFS 2.2
Sistem Operasi: XOS 14, Android 14
Skrin: AMOLED LTPS, 6.78 inci, FHD+ (2436 x 1080), 120Hz
Kamera: 108MP utama, 32MP swafoto, 2K 30FPS
Bateri: 5,000mAh, pengecasan 45W
Lain-lain: Dwi-pembesar suara JBL, penarafan IP54, NFC, dwi-slot kad SIM, rangkaian 4G
[/specs]
{suggest}
Kelebihan
Secara dasarnya, model NOTE 40 ini menawarkan peningkatan prestasi dalaman yang melebihi pendahulunya iaitu Infinix NOTE 30 dari sudut penggunaan cip, memori dan juga storan untuk harga sebuah peranti telefon mudah alih bawah satu ribu ringgit.
Sama seperti Infinix HOT 40 Pro, telefon ini juga mempunyai ciri XBOOST yang mampu untuk mengoptimumkan pengalaman gaming para penggunanya melalui tiga jenis tetapan iaitu ‘Power Saving’, ‘Equilibrium’ dan ‘Performance’.
Saya juga telah mencuba tiga jenis permainan mudah alih yang asas untuk mengukur kadar prestasi NOTE 40 ini dari sudut pencapaian grafik dan juga suhu. Keputusan akhir adalah berdasarkan graf di bawah.
Selain itu, saya ingin menekankan tentang peningkatan daripada NOTE 40 ini di mana ia menggunakan skrin jenis AMOLED 120Hz yang mana jauh lebih baik daripada skrin NOTE 30, IPD LCD 120Hz.
Ia mampu memberikan kualiti paparan yang bagus untuk tontonan video serta bermain permainan mudah alih.
Tambahan lagi, telefon ini juga hadir dengan sistem operasi XOS-nya yang menampilkan ‘default theme‘ untuk antara muka yang jauh lebih kemas, matang serta tidak ‘childish‘.
Walaupun ia nampak seperti antara muka yang terlalu asas untuk sebuah telefon tetapi bagi saya, telefon bawah RM1000 dengan ciri seperti di atas adalah mencukupi untuk tugasan harian.
Selain daripada penerapan teknologi pembesar suara daripada JBL yang mana boleh saya katakan ia adalah langkah yang baru daripada pihak Infinix, saya juga suka dengan ciri pengecasan yang disokong dengan cip Cheetah X1 bagi memastikan fasa pengecasan itu lebih selamat dan terjaga.
Oleh itu, telefon ini tampil dengan tiga kaedah pengecasan iaitu berwayar 45W, wayarles 20W dan bypass charging. Selain itu, semasa saya mencucuk wayar untuk mengecasnya, tiga tetapan pengecasan akan diberikan.
Salah satunya adalah ‘Hyper‘ yang mana kuasa pengecasan dipertingkat sehingga mampu mengecas sepenuhnya dalam catatan masa 35 minit. Kedua, ‘Smart‘ diikuti dengan ‘Low-Temp‘ yang boleh anda gunakan untuk fasa pengecasan sepanjang malam.
Tambahan lagi, anda tidak perlu risau dengan cara bermain sambil mengecas telefon dengan NOTE 40 ini kerana ciri bypass charging yang dibawakan sangat membantu apabila ia dapat mengecas secara terus dan menghindari permasalahan seperti bateri overheat ataupun bateri ‘kembung’.
Kekurangan
Dalam segmen kekurangan ini pula, saya akan sentuh bahagian pembesar suaranya yang mana ia bakal mengubah pandangan anda terhadap pembesar suara JBL.
Hal ini kerana apabila NOTE 40 ini digunakan secara melintang untuk fasa permainan mudah alih dan tontonan video, saya boleh rasakan pengeluaran bunyi output yang kurang seimbang daripada dua pembesar suaranya.
Untuk gambaran anda yang membaca, saya boleh katakan yang bunyi daripada pembesar suara earpiece NOTE 40 ini adalah agak perlahan berbanding dengan bunyi pembesar suara bottom firing.
Namun begitu, saya rasa ia bukan satu masalah yang terlalu besar jikalau telefon ini digunakan secara menegak dan saya pasti kebanyakan pengguna telefon pintar akan menggunakan fon telinga atau fon putik apabila bermain permainan mudah alih.
Kekurangan yang kedua pula adalah prestasi kameranya. Saya tidak mahu mengatakan kamera utama 108MP itu tidak memberikan kualiti hasil gambar yang cantik tetapi ia telah memadai dan wajar diterapkan untuk telefon di kelasnya sendiri.
Kekurangan yang terakhir terletak pada pengecasan wayarlesnya iaitu Infinix MagKit.
Anda sebenarnya perlu menggunakan sarung telefon khas daripada Infinix sendiri yang dilengkapi dengan magnet bagi membolehkan bank kuasa MagPower ‘melekat’ pada panel belakang telefon NOTE 40 ini.
Bukan kerana ia tidak boleh berfungsi jika tidak menggunakan sarung telefon itu tetapi bank kuasa itu tidak dapat melekat sepenuhnya ketika fasa pengecasan wayarles dilakukan sewaktu pengguna sedang menggunakan telefon tersebut.
Namun begitu, perkara ini adalah wajar dilakukan kerana jika pihak Infinix menerapkan magnet secara built-in pada NOTE 40 ini, harganya pasti akan lebih mahal.
Kesimpulan
Kesimpulannya, saya boleh kelaskan Infinix NOTE 40 ini sebagai pengganti Infinix NOTE 30 yang terbaik setakat ini dengan pelbagai ciri serta kelengkapan yang memberansangkan seperti skrin AMOLED dan dwi-pembesar suara daripada JBL.
Tidak lupa juga pada Infinix MagKit yang sangat membantu penggunanya di saat berada dalam situasi kekurangan bateri telefon seperti kesesakan lalu lintas dan semasa melakukan aktiviti lasak di dalam hutan mahupun sewaktu sesi perlawanan permainan mudah alih berlangsung.
Saya harap serba sedikit maklumat daripada artikel ulasan ini dapat membantu anda membuat pilihan yang sepatutnya sebagai seorang pengguna dan tepat dengan cara penggunaan anda sendiri.
Beli Infinix NOTE 40 di:
Shopee – https://invl.io/cll0f97
Lazada – https://invol.co/clkvllm