Jikalau anda adalah seorang peminat tegar peranti konsol mudah alih (handheld gaming), anda pasti cakna dengan kewujudan produk konsol mudah alih daripada jenama-jenama yang ternama seperti ROG Ally dari Republic of Gamers (ROG) dan Legion Go dari Lenovo.
Kini, senarai produk handheld gaming di pasaran Malaysia telah pun bertambah apabila MSI melancarkan peranti gaming mereka yang terbaru iaitu MSI Claw A1M.
Untuk pengetahuan anda, produk ini merupakan konsol mudah alih pertama di dunia yang mengaplikasikan penggunaaan cip pemprosesan daripada Intel iaitu Intel Core Ultra 5 dan Ultra 7 serta kad grafik Intel Arc Graphics.
Walau bagaimanapun, saya tetap mempersoalkan tentang kebolehan sebenar MSI Claw ini sewaktu pertama kali namanya diumumkan dalam acara CES 2024 kerana kebanyakan individu dari industri teknologi dan elektronik sering menyuarakan tentang spesifikasi untuk produk ini seperti ia adalah satu benda yang mustahil untuk diperlakukan.
Namun dalam artikel ulasan ini, semuanya akan dibongkarkan dari sudut reka bentuk sehinggalah ke bahagian pemerhatian prestasi.
Spesifikasi
[specs]
Cip: Intel Core Ultra 7
Memori: 16GB RAM LPDDR5
Storan: 1TB SSD PCIe Gen 4
Grafik: Intel Arc Graphics
Sistem operasi: Windows 11 Home
Skrin: FHD (1920 x 1080), 7 inci, 120Hz
Bateri: 53WHr, alat suai kuasa PD 65W
Pusat hab: MSI Center M
Lain-lain: 2 pembesar suara, 1 bicu audio, WiFi 7, Bluetooth 5.4, 1 slot USB-C Thunderbolt 4, 1 slot kad MikroSD
[/specs]
{suggest}
Reka Bentuk
Secara jujurnya, sewaktu pertama kali MSI Claw ini berada di tangan saya untuk proses cuba uji kebolehannya dari sudut seorang pengguna, perasaan kurang selesa ataupun bahasa popularnya, ‘cringe‘ mula muncul secara tiba-tiba di dalam hati apabila MSI sendiri menekankan bahawa reka bentuk produknya ini tampil dengan pegangan joystick seperti genggaman cakaran (claw).
Kenapa saya membuat kenyataan yang sedemikian?
Hal ini kerana titik perbezaannya itu apabila dibandingkan dengan ROG Ally dan Legion Go, seperti tiada perubahan melainkan anda ingin masukkan topik kedudukan butang ketiga-tiga konsol mudah alih ini.
Namun begitu, saya berhenti seketika daripada prasangka lebih tentang perkara yang ingin disampaikan pihak MSI ini dan mula melihat konsol mudah alih ini sebagai satu peranti yang baru sahaja hadir di pasaran.
Apa yang saya dapati, ia hadir dengan dua butang tambahan, M1 dan M2 di sisi joystick serta kedua-dua butang tersebut sangat mudah untuk dicapai hanya dengan hujung jari sahaja.
Sekali gus memudahkan dan melancarkan pengalaman permainan daripada tertekan butang interaksi dalam permainan secara tidak sengaja.
Berbeza pula untuk butang LB dan RB pada MSI Claw ini yang mana saya yakin jikalau anda merupakan seorang pemain konsol sejati, anda akan berasa pelik kerana ia tidak boleh ditekan seperti biasa malah perlu ditekan di belah penjuru.
Saya berpendapat yang kaedah ini diwujudkan bagi memperkuatkan lagi unsur-unsur ‘Claw’ untuk peranti konsol mudah alih ini.
Tidak lupa juga, MSI Claw ini dilengakapi ciri lampu RGB pada kayu analog dan butang AXBY yang boleh ditetapkan warnanya dengan lebih terperinci menggunakan roda warna.
Prestasi ‘Gaming’
Sekarang, tiba masanya untuk saya serlahkan kepada anda kebolehan sebenar MSI Claw ini dari sudut prestasinya sebagai produk konsol mudah alih pertama di dunia yang menggunakan cip pemprosesan daripada Intel.
Sebelum itu, saya ingin menegaskan bahawa permainan-pemainan FPS Shooter seperti Apex Legends dan Valorant tidak akan termasuk dalam senarai cuba uji permainan kerana ia kurang sesuai untuk peranti ini.
Apatah lagi, saiz skrinnya yang kecil sama seperti ROG Ally mengukuhkan lagi alasan itu.
Jadi, saya telah memainkan satu permainan yang popular serta sering digunakan sebagai bahan uji untuk menampilkan kebolehan peranti mudah alih disebabkan oleh kualiti animasi dalam permainannya yang baik iaitu Genshin Impact sebagai permulaan.
Seperti yang ditunjukkan dalam video di atas, MSI Claw mampu untuk memainkan permainan ini pada kadar tetapan bingkai per saat 60 FPS tanpa ada gangguan stuttering atau delay pada animasi ketika berlawan dan meneroka dunia.
Perkara yang sama juga dapat diaplikasikan dalam permainan Assassin Creed: Mirage di mana sangat sukar untuk saya mempercayainya kerana ia tergolong dalam senarai permainan yang memerlukan kadar kualiti grafik yang baik bagi sesi permainan serta penerokaan dunia yang lancar dan menarik.
Namun begitu, kualiti imej dalam permainan seperti yang di atas terjadi disebabkan oleh penerapan kad grafik Intel Arc Graphics yang mempunyai ciri teknologi peningkatan pengalaman dalam permainan iaitu Intel Xe Super Sampling (XeSS).
Bagi anda yang pertama kali dengar akan ciri ini, apa yang ditawarkan olehnya adalah lebih kurang sama sahaja dengan NVIDIA DLSS dan AMD FSR yang mana ia akan meningkatkan kualiti imej, piksel serta bingkai per saat dalam sesuatu permainan itu.
Walaupun ciri ini kelihatan bagus apabila diserlahkan kebolehannya, ia tetap mempunyai satu kekurangan yang akan mengubah pandangan anda terhadapnya sebanyak 180 darjah.
Ciri Intel XeSS ini hanya boleh diguna pakai untuk beberapa permainan terpilih sahaja di mana permainan itu sendiri menyokong ciri teknologi daripada penggunaan kad grafik Intel Arc Graphics ini.
Di sini, saya mahu timbulkan satu persoalan kepada pihak MSI dan juga pihak Intel kerana apabila saya mencuba salah satu permainan yang tersenarai selain daripada Assassin Creed: Mirage iaitu Naraka: Bladepoint, ciri ini tidak muncul di tetapan grafik dalam permainan.
Hal ini masih menjadi tanda tanya kepada saya dan juga buat anda semua yang membaca kerana segala pencarian dan kemas kini telah pun saya lakukan untuk mewujudkan ciri Intel XeSS ini dalam permainan tersebut.
Selain daripada perkara di atas, saya boleh jamin kepada anda yang MSI Claw ini juga mampu untuk menjalankan permainan-permainan yang hanya memerlukan penggunaan grafik serta resolusi pada kadar yang tidak terlalu tinggi seperti Fall Guys dan Rocket League tanpa ada sebarang sekatan animasi.
Ciri Tambahan
Untuk pengetahuan anda yang membaca, MSI Claw ini juga hadir dengan satu platform perkhidmatan iaitu MSI App Player di mana ia membolehkan penggunanya untuk memuat turun pelbagai aplikasi permainan daripada Google Play Store serta melancarkannya secara biasa seperti telefon pintar.
Sudah tentu perkara ini mengejutkan pada awalnya namun apabila saya dapati pengguna perlu menyelaraskan key binding untuk input key dalam permainan secara manual, perkara ini terus saya abaikan kewujudannya.
Hal ini kerana saya anggap perkara ini sebagai satu perkara yang leceh untuk dilakukan dan jika anda yang berhajat untuk menjadikan MSI Claw ini sebagai peranti untuk memainkan permainan dari Google Play Store, saya sarankan anda untuk membeli telefon pintar.
Pemerhatian Prestasi
Saya juga telah menyediakan dua graf bar yang memaparkan status pemerhatian penggunaan bateri dan kelajuan kipas MSI Claw ini sepanjang sesi permainan selama 30 minit.
Hasil bacaan di atas diambil daripada pemerhatian terhadap paparan ciri ‘Real-Life Monitor‘ yang disediakan oleh pusat hab MSI Center M.
Kesimpulan
Kepada anda yang tertanya-tanya tentang maksud perkataan ‘A1M’ dalam nama produk MSI Claw ini, hasil carian daripada Google mengatakan yang ia merujuk kepada penggunaan cip Intel Core Ultra dan kad grafik Intel Arc Graphics.
Daripada kenyataan itu, saya membuat andaian yang pihak MSI mungkin akan mengeluarkan model terbaru MSI Claw dengan sokongan daripada cip dan kad grafik AMD Ryzen.
Tidak mustahil juga nama model itu akan berubah menjadi MSI Claw ‘A2M’.
Secara jujurnya, saya tidak akan katakan MSI Claw ini tidak berbaloi untuk dibeli.
Cuma dengan harga RM3,999 (Intel Core Ultra 7) dan RM3,499 (Intel Core Ultra 5), anda mampu untuk memiliki satu set dekstop PC dengan spesifikasi yang jauh lebih baik daripada MSI Claw. Atau mungkin juga ada alternatif lain seperti Steam Deck yang lebih banyak permainan sudah dioptimumkan.
Sekali lagi, ini bukan halangan tapi sekadar cadangan. Sebab ia mengikut cita rasa masing-masing.
Shopee – https://invl.io/clkumg6
Lazada – https://invol.co/cll2p21
{suggest}