Saya pernah terbaca di ruangan komen yang mengatakan komputer riba itu komputer riba ini menggunakan panel IPS, bukan OLED.
Buat pengetahuan, telefon pintar dan komputer riba mahupun monitor perlu diasingkan kategorinya. Mengapa?
Telefon pintar yang hadir dengan OLED bukan satu perkara baharu dan sejak kebelakangan ini pun ia sudah boleh didapati dengan tanda harga bawah RM1000.
Namun begitu, bagi kategori komputer riba atau monitor, penggunaan panel OLED masih lagi baharu. Malahan, kebanyakan peranti atau perkakas yang menawarkan panel sebegini dijual pada tanda harga yang amat tinggi.
Seperti telefon pintar, komputer riba pun sudah mula berani menawarkan skrin dengan paparan OLED. Anda pun sudah tahu, OLED mampu memberikan paparan yang begitu cantik berbanding panel IPS.
ASUS Zenbook 14X OLED (UX5400) merupakan model Zenbook terbaharu daripada mereka. Seperti namanya, ia hadir dengan paparan OLED. Bukan itu sahaja, turut ditawarkan skrin kedua melalui Screenpad 2.0 yang mana ciri sebegitu biasanya ditawarkan pada model premium ASUS sahaja.
Spesifikasi
- Dimensi: (31.12 x 22.12 x 1.69)cm, 1.4kg
- Skrin: OLED, 14 inci, 2.8K (2880 x 1800), 16:10, 90Hz, 100% DCI-P3, Maksimum 550 nits
- Skrin kedua: ScreenPad 2.0 (FHD+ (2160 x 1080) IPS-level Panel)
- Cip: Intel Core i7-1165G7
- Grafik: Intel Iris Xe Graphics, NVIDIA GeForce MX450, 2GB GDDR6
- RAM: 8GB/16GB LPDDR4X
- Storan: 512GB M.2 NVMe™ PCIe® 3.0 SSD
- Port I/O: 1x USB 3.2 Gen 2 Type-A, 2x Thunderbolt™ 4 / USB-PD, 1x HDMI 2.0b, 1x 3.5mm bicu audio, Pembaca kad MicroSD
- Bateri/Pengecasan: 63Whr, Type-C, Pengecas 100W
- Perisian: Windows 10 Home, Windows 11
‘Laptop’ Nipis Dengan Saiz Yang Sesuai
Jika anda bertanya kepada saya, komputer riba pilihan saya semestinya yang hadir dengan rekaan nipis, ringan serta saiz yang sesuai. Ini kerana, komputer riba yang tebal dan berat amatlah leceh untuk dibawa ke mana-mana.
Untuk Zenbook 14X OLED ini, ia memenuhi cita rasa yang saya idamkan. Pada luarannya, ia cukup kemas dan menampakkan rupa estetik serta premium. Biarpun ia kelihatan nipis, tapi komputer riba ini tidaklah terlalu ringan sebenarnya. Kalau anda pernah menggunakan siri Acer Swift misalnya, pasti anda akan terasa Zenbook 14X OLED ini berat.
Tidak mengapa, kita bukan melakukan kerja sambil memegang komputer riba kan?
Dari segi port I/O, ASUS tidak kedekut. Pada bahagian sisi kirinya, terdapat 1 port USB-A 3.2 Gen2 yang menawarkan kelajuan sehingga 10Gbps. Dengan ini, tidak perlu risau untuk menyambungkan dongle atau sebarang aksesori tambahan. Sisi kanannya pula, terdapat 1x HDMI, 1x bicu audio 3.5mm, 2x Thunderbolt 4 dan juga pembaca kad microSD.
Papan kekuncinya bukanlah jenis full size, bermakna, anda tidak akan menerima butang numpad padanya. Namun, pengalaman menggunakan papan kekunci komputer riba ini, tidak ada masalah dan sangat selesa.
Apabila menaip, terasa solid, kekuncinya juga tactile dan kalau mahu main game pun tidaklah terasa kekok. Pada butang kuasanya, ia dilengkapi pengimbas cap jari. Bagi saya, kebanyakan komputer riba zaman sekarang patut menawarkan pengimbas cap jari pada butang kuasa.
Bukan sahaja ia memudahkan tetapi juga boleh menjimatkan ruang pada sekitar papan kekunci. Beralih pada pad sesentuh atau ASUS gelarkannya ScreenPad 2.0.
Buat anda yang pertama kali mendengarnya, ScreenPad 2.0 ini juga merangkap kepada skrin kedua. Ia mirip pada barisan ‘laptop’ ASUS Duo. Biarpun permukaan matte memberikan kelancaran ketika menggunakannya, tapi saya perlu menguncinya terlebih dahulu sebelum masuk ke mod ‘trackpad’. Kalau tidak, pasti saya akan tertekan shortcut yang telah wujud pada skrin ini.
Kalau anda tertanya-tanya, bolehkah untuk menambah RAM? Jawapannya adalah tidak. Mengapa? Sebabnya kesemua komponen telah dipatri (soldered). Hanya slot M.2 NVMe SSD sahaja yang boleh dicabut.
Oleh itu, anda boleh terus batalkan niat kalau terasa nak naik taraf RAM. Apa yang anda bayar, itulah yang anda dapat.
Skrin Umpama Tonton TV
Ini perkara yang paling saya gemar dalam ASUS Zenbook 14x OLED. Yalah, namanya pun sudah cukup memberitahu bahawa ia menampilkan paparan OLED.
Jujur saya katakan, skrin OLED pada komputer riba memang cukup puas. Kalau tengah melakukan kerja pun terasa enak, apa lagi untuk kegunaan hiburan. Lagilah terasa keasyikannya.
Saya telah ‘menguji’ ketepatan warna yang dihasilkan Zenbook 14X OLED dengan MacBook Air M1, boleh saya katakan perbezaan amatlah ketara terutama ‘kegelapan’ warna hitam. Secara terperinci, skrinnya mempunyai 100% sRGB, 97.9% Adobe RGB, 100% DCI-P3 serta menerima penarafan Pantone.
Cumanya, saya pun tidak pasti mengapa saya terasa kecerahan skrinnya tidak begitu cerah meskipun ditetapkan pada kadar 50%.
Seperkara yang menarik lagi dalam skrinnya adalah penawaran kadar segar semula 90Hz. Mungkin ada yang berasakan tidak perlu pun kadar segar semula yang tinggi kalau mahu melakukan tugasan Microsoft Office atau melayari internet sahaja.
Namun, bagi saya, anda akan terasa kepuasan apabila melihat kadar segar semula yang tinggi apabila sedang melayari internet dan sebagainya. Sebab itu juga, golongan PC Master Race sering mengatakan “once you go higher refresh rate, you never go back”. Perkara ini memang benar.
Sebelum terlupa, paparannya turut boleh “dikepakkan” sehingga 180 darjah. Malah, lebih seronok apabila skrinnya menyokong sentuhan jari jemari anda serta pen stylus. Mudah kata, skrin boleh sentuh.
Tak lengkap kalau menonton Netflix tanpa bunyi audio bukan? Pembesar suara Zenbook 14X OLED ditala oleh Harman Kardon. Audio yang dilontarkan cukup jelas didengari biarpun ia bukanlah terbaik jika hendak dibandingkan dengan model yang jauh lebih premium. Akan tetapi, pembesar suaranya sudah secukup rasa.
Memandangkan Zenbook 14X OLED yang berada dengan saya ini dikuasakan cip Intel Core i7 Gen-11 bersama memori 16GB RAM, saya tidak mengalami sebarang masalah untuk menjalankan tugasan-tugasan harian. Pada awalnya, ia menjalankan Windows 10 tetapi boleh terus dinaiktaraf ke Windows 11. Gandingan spesifikasi dengan Windows 11, memang terasa lancar seperti mentega.
Ada yang ingin bermain game?
Walaupun komputer riba ini bukan dicipta khusus untuk gaming tetapi saya tetap mahu mencubanya juga. Ini kerana pasti ada dalam kalangan anda yang mahu mengisi masa lapang dengan bermain game.
Seperti Apex Legends, saya mencuba mengubah beberapa tetapan agar ia boleh mencapai kadar bingkai 60fps. Untuk permainan video lain, ia masih boleh dimainkan. Pun begitu, saya menasihatkan anda untuk main sekadar mengisi masa lapang sahaja. Ini kerana prestasinya bukanlah yang terbaik untuk bermain game.
Kelebihan Dan Kekurangan
Kelebihan yang saya nampak terhadap ASUS Zenbook 14X OLED ini sudah semestinya skrin. Apa lagi yang anda mahukan dari panel OLED? Warna cukup cantik, lebih vibran dan kadar segar semula 90Hz yang terasa lancar ketika menatal.
Malah, semua skrinnya boleh disentuh. Baik pada paparan utama mahupun di ScreenPad 2.0. Skrin kedua ini juga boleh memaparkan video. Umpama anda sedang menyiapkan tugasan sambil melihat video pada trackpad.
Bagaimanapun, pada pandangan saya, ScreenPad 2.0 agak kurang praktikal terutama golongan yang tidak biasa. Pasti mereka akan terasa sedikit leceh kerana terlalu “advance”. Pun begitu, pad sentuhnya masih sedap digunakan.
Rekaan yang ditampilkan bersama penawaran port juga bagi saya cukup cemerlang. Apa yang anda mahu, semuanya ada di situ kecuali ketiadaan port ethernet.
Seperti yang saya nyatakan tadi, prestasi tugasan biasa sememangnya tidak menjadi masalah. Namun, bagi anda yang mahu main game, saya tidak menggalakkan anda untuk bermainnya di komputer riba ini.
Pertamanya, prestasi gaming tidak cukup cemerlang biarpun ia masih mampu menjalankannya. Yalah, grafik MX450 ini pun hanyalah kelas permulaan. Malahan, ini bukan komputer riba yang mengkhususkan gaming.
Tapi sekiranya gaming ringan-ringan seperti The Sims atau PC Building Simulator contohnya, tiada masalah. Kalau game e-sukan seperti Apex Legends, Dota atau Valorant, kurang digalakkan.
Keduanya, jikalau anda menggunakannya untuk gaming, suhu yang dikeluarkan amatlah panas. Ini apa yang saya alami.
Bercakap tentang panas, ada kala saya terasa kipas berpusing dan mengeluarkan haba walaupun saya hanya melayari internet sambil menonton YouTube. Ini antara kekurangan yang saya kurang berkenan.
Akan tetapi, kekurangan paling ketara adalah bateri umpama air. Jujur saya katakan, pengecas perlu dibawa kemana-mana sahaja. Ini kerana, Zenbook 14X OLED ini pasti akan kehabisan bateri dalam masa 1 jam lebih penggunaan.
Bagi saya, apa gunanya komputer riba yang cepat kehabisan bateri? Lebih baik gunakan PC sahaja begitu.
Akhir sekali, terdapat beberapa bloatware atau aplikasi yang telah di pra-pasangkan dalam komputer riba ini. Yang paling saya tidak tahan ialah McAfee.
Rumusan
Dengan tanda harga RM5699 bagi varian tertinggi, adakah ia berbaloi? Pada pendapat saya berbaloi jika anda mahukan sebuah ‘laptop’ yang hadir dengan prestasi agak baik, skrin OLED yang cantik serta ciri ekstra skrin kedua.
Tambahan lagi, rekaannya juga lebih elegan dan tampak premium. Cumanya, kalau anda mahu membelinya, mungkin ScreenPad 2.0 akan terasa sedikit kekok apabila menggunakannya nanti.
Bagi saya, kerja-kerja harian seperti menggunakan Zoom pun tiada masalah kerana kamera web turut cantik. Pun begitu, anda mungkin perlu sentiasa berada dekat dengan tempat mengecas memandangkan ia cepat kehabisan bateri.
Namun, sekiranya anda masih lagi mahukan ‘laptop’ OLED, ASUS turut hadir dengan siri vivobook OLED yang mana boleh didapati serendah RM2589 sahaja. Akan tetapi, model dengan harga lebih murah ini mempunyai beberapa kekurangan dari segi spesifikasinya.
Baca juga: