Beberapa minggu lalu, Google secara rasmi melancarkan telefon kelas pertengahan baharu mereka iaitu Google Pixel 10a. Peranti tersebut kini sudah tersedia di Malaysia dengan harga bermula RM2,299.
Walaupun hadir sebagai model generasi baharu, Pixel 10a sebenarnya tidak membawa perubahan besar berbanding model sebelumnya.
Reka Bentuk
![]()
Dari segi reka bentuk, Pixel 10a masih mengekalkan identiti yang hampir sama seperti Google Pixel 9a.
Jika dilihat sekali imbas, kedua-dua peranti ini agak sukar dibezakan. Namun begitu, terdapat beberapa perubahan kecil pada model terbaharu ini.
Antara yang boleh diperhatikan ialah modul kamera yang kini betul-betul rata dengan badan peranti, menjadikannya kelihatan lebih kemas berbanding sebelumnya.
Selain itu, bezel pada skrin juga sedikit lebih nipis, walaupun perbezaannya tidak begitu ketara dalam penggunaan harian.
Paparan
![]()
Pixel 10a dilengkapi dengan skrin 6.3 inci yang masih mengekalkan kebanyakan spesifikasi daripada generasi sebelumnya.
Perubahan utama terletak pada kecerahan maksimum paparan yang kini mencecah 3,000 nits, meningkat daripada 2,700 nits pada Pixel 9a.
Peningkatan ini membantu memberikan paparan yang lebih jelas terutama ketika digunakan di bawah cahaya terang.
Selain itu, skrin ini juga dilindungi oleh Corning Gorilla Glass 7i yang menawarkan ketahanan lebih baik terhadap calar dan penggunaan harian.
Prestasi dan Kamera
Dari segi prestasi, Pixel 10a dikuasakan oleh cip Google Tensor G4 bersama 8GB RAM serta pilihan storan 128GB dan 256GB.
Namun begitu, peningkatan prestasi yang dibawakan boleh dikatakan tidak begitu ketara berbanding Pixel 9a.
Bahagian kamera juga tidak menerima perubahan dari segi perkakasan. Pixel 10a masih mengekalkan konfigurasi 48MP kamera utama, 13MP ultra lebar, serta 13MP kamera hadapan.
![]()
Walaupun begitu, Google menambah beberapa ciri fotografi berasaskan AI bagi membantu meningkatkan pengalaman mengambil gambar.
Bateri dan Pengecasan
Untuk bateri, Pixel 10a masih menggunakan kapasiti 5,100mAh seperti generasi sebelumnya.
Perubahan yang lebih ketara hadir pada bahagian pengecasan. Peranti ini kini menyokong pengecasan berwayar sehingga 30W, meningkat daripada 23W sebelum ini. Pengecasan tanpa wayar juga dipertingkat kepada 10W berbanding 7.5W pada Pixel 9a.
Walaupun peningkatan ini dialu-alukan, kelajuan pengecasannya masih boleh dianggap sederhana jika dibandingkan dengan beberapa peranti lain dalam kelas yang sama.
Kesimpulan
![]()
Secara keseluruhan, Pixel 10a boleh dianggap sebagai kemas kini kecil daripada Pixel 9a.
Dengan harga yang saya boleh katakan sangat premium dalam kelasnya, mungkin sukar juga untuk orang ramai membeli telefon ini.
Walaupun begitu, ia masih menawarkan pengalaman Android yang bersih, sokongan kemas kini sehingga tujuh tahun, serta beberapa penambahbaikan kecil seperti pengecasan yang lebih pantas.
Bagi pengguna Pixel sedia ada, peningkatan ini mungkin tidak cukup signifikan untuk menaik taraf. Namun, bagi mereka yang ingin mencuba peranti Pixel buat pertama kali, Pixel 10a masih merupakan pilihan yang menarik dalam segmen telefon pintar kelas pertengahan.
Ia sangat sesuai kepada pengguna yang mahukan peranti Android yang simple, banyak ciri AI dan kerap serta laju menerima kemas kini Android.
{suggest}
