Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Ulasan Pixel 10 & Pixel 10 Pro XL — Bukan Pixel Yang Anda Kenal

Posted on Ogos 29, 2025

Google baru sahaja melancarkan siri Pixel 10, yang hadir dengan empat model utama – Pixel 10, Pixel 10 Pro, Pixel 10 Pro XL dan Pixel 10 Pro Fold.

Seperti biasa, setiap kali Pixel baharu diperkenalkan, ramai yang menanti dengan harapan ia akan membawa pembaharuan besar, sama ada dari segi kamera, prestasi, mahupun kecerdasan buatan (AI) yang kini menjadi fokus utama industri telefon pintar.

Namun, selepas beberapa minggu menguji kedua-dua model Pixel 10 dan Pixel 10 Pro XL, jelas bahawa siri Pixel 10 bukan lagi tentang siapa ada kamera terbaik seperti mana yang ramai kenal satu ketika dahulu, tetapi lebih kepada siapa yang boleh tawarkan pengalaman AI paling menyeluruh dalam sebuah telefon.

Reka Bentuk – Masih Ikonik

Rekaan Pixel 10 masih mengekalkan bar kamera ikonik di bahagian belakang, ciri yang sejak beberapa tahun lalu menjadi tanda pengenalan telefon Pixel.

Dari jauh, orang akan tahu ini sebuah Pixel hanya dengan melihat modul kameranya. Anda mahu kecam Google sebab bagi rekaan sama? Tidak boleh.

Lihat sahaja jenama Samsung, Apple, Huawei, HONOR, malah Xiaomi pun hadir dengan rekaan lebih kurang.

Walaupun begitu, ada beberapa perkara menarik yang menjadikan Pixel 10 terasa lebih moden. Fungsi PixelSnap contohnya, adalah satu ciri unik yang tidak ada pada Android lain.

Mungkin bagi anda di luar sana rasa ciri tersebut biasa atau mengarut tetapi pengguna iPhone sendiri cukup gemar ciri yang sudah ditawarkan sejak sekian lama itu.

Anda boleh padankan banyak aksesori magnetik seperti dompet, powerbank, SSD, gimbal DJI Osmo Mobile bahkan car phone holder di dalam kereta. Tak perlukan selongsong (case) khas pun boleh guna.

Tambahan pula, buat pertama kalinya, Google memperkenalkan sokongan pengecasan tanpa wayar Qi2 yang lebih laju dan lebih menarik lagi, ia serasi dengan aksesori MagSafe daripada Apple.

Dari segi bahan binaan, Google menekankan aspek kelestarian dengan menggunakan 32% bahan kitar semula untuk Pixel 10, manakala Pro XL pula menggunakan 29%.

Aluminium yang digunakan untuk kerangka luar pula sepenuhnya daripada sumber kitar semula. Dari segi ketahanan pula, kedua-dua model dilindungi dengan Corning Gorilla Glass Victus 2 serta pensijilan IP68.

Bezanya antara kedua-dua model lebih ketara pada skrin. Pixel 10 hanya menggunakan panel dengan kadar segar semula 60 hingga 120Hz tanpa teknologi LTPO, manakala Pixel 10 Pro XL hadir dengan LTPO penuh 1 hingga 120Hz yang lebih menjimatkan bateri.

Secara keseluruhan, reka bentuk siri Pixel 10 masih kemas, elegan dan premium, tetapi tidak lagi membawa rasa “wow” seperti generasi pertama Pixel yang pernah menjadi trendsetter.

Prestasi – CPU Elit, GPU Sulit

Di bahagian prestasi, kedua-dua model menggunakan cip yang sama. Buat pertama kali, Google bekerjasama dengan TSMC untuk menghasilkan cip baharu ini, menggantikan Samsung yang sebelum ini menjadi punca cip Tensor sering dikritik panas dan tidak efisien.

Hasilnya memang terasa – prestasi CPU meningkat sebanyak 35% berbanding generasi terdahulu, dan kini berada pada tahap hampir setaraf dengan Snapdragon 8 Gen 3.

Pixel 10 CPU Geekbench
Pixel 10 CPU Geekbench
Pixel 10 CPU Geekbench
Pixel 10 Pro XL CPU Geekbench
Pixel 10 Pro XL CPU Geekbench

Bermakna, saya tak boleh nak kata yang cip Pixel kali ini midrange tetapi saya letakkannya di flagship permulaan kerana 8 Gen 3 cip flagship tahun lalu.

Namun, kelemahan paling ketara ialah GPU. Dari segi grafik, Pixel 10 masih ketinggalan jauh berbanding pesaing.

Pixel 10 GPU Geekbench

Malah, prestasinya lebih kurang sama atau rendah dari Pixel 7, dan dalam beberapa keadaan, hampir setanding dengan GPU yang digunakan pada telefon kelas pertengahan seperti Samsung Galaxy A54.

Ini bermakna, untuk gaming berat atau penggunaan grafik intensif, siri Pixel 10 bukanlah pilihan terbaik.

Ia lebih sesuai untuk kegunaan harian, media sosial, atau fotografi ringan, tetapi bukan untuk mereka yang mencari telefon gaming.

Memang benar pun, Pixel tidak sesuai untuk gaming. Ibarat kita kata komputer Mac tak sedap main game. Pixel adalah khusus untuk orang yang mahukan pengalaman Android asli yang lancar.

Bateri – Cas Masih Perlahan

Bahagian bateri juga menimbulkan perasaan bercampur. Kapasiti bateri memadai, tetapi kelajuan pengecasan masih ketinggalan berbanding jenama lain.

Orang selalu kata iPhone cas perlahan. Tapi pengalaman saya sendiri, telefon Samsung dan Pixel jauh lebih perlahan dari iPhone.

Salah satu faktor iPhone “cas laju” sebab baterinya tidak sebesar Pixel atau Samsung Galaxy. Namun, dalam keluarga Android, pengecasan perlahan tidak boleh diterima.

Anda rasa saya ada masa nak tunggu penuh?

Apa-apa pun, Google sudah ada sistem baharu yang dinamakan Battery Health Assistance. Sistem ini akan memperlahankan kelajuan pengecasan selepas 200 kitaran cas, dengan tujuan memanjangkan jangka hayat bateri dan mengurangkan risiko overheating.

battery health assistance sepatutnya di tetapan battery health

Ia kedengaran positif, tetapi ada kelemahan yang mana anda tidak boleh memilih untuk mematikan fungsi ini. Google buat begini sejak Pixel 9a.

Kalau dibandingkan dengan Samsung yang mendakwa bateri mereka boleh kekal 80% kapasiti sehingga 2,000 kitaran, pendekatan Google kelihatan lebih ketat.

Namun, logiknya, Google mungkin cuba mengelakkan isu panas melampau yang pernah menghantui Pixel generasi lama. Walau bagaimanapun, kesan sebenar strategi ini hanya akan dapat dilihat selepas pengguna jangka panjang berkongsi pengalaman mereka.

AI – Tarikan Sebenar Pixel 10

Bagi saya, kamera bukan lagi titik tumpuan utama, apa yang Google cuba tonjolkan dengan Pixel 10? Jawapannya ialah kecerdasan buatan.

Hampir setiap fungsi baharu dalam Pixel 10 berkait rapat dengan AI, menjadikannya salah satu telefon paling “AI-first” dalam pasaran sekarang.

Magic Cue

Magic Cue adalah antara ciri paling menarik. Ia boleh menarik maklumat terus daripada e-mel, kalendar atau malah screenshot.

Contohnya, jika seseorang bertanya tentang tiket penerbangan, maklumat itu boleh terus dipaparkan pada skrin tanpa perlu anda mencarinya sendiri.

Voice Translate pula membolehkan terjemahan masa nyata dilakukan sambil mengekalkan tona suara asal, walaupun malangnya Bahasa Melayu masih belum disokong.

Gemini Live juga menerima penambahbaikan dengan lebih visual dan interaktif, menjadikannya lebih daripada sekadar chatbot berasaskan teks.

Gboard kini mempunyai Writing Tools yang membolehkan pengguna menukar gaya penulisan sama ada formal, mesra atau santai hanya dengan satu sentuhan.

Pixel Journal pula berfungsi seperti diari digital automatik yang merekod aktiviti harian dan sesekali memberi cadangan aktiviti tambahan. Lebih kurang aplikasi Journal di iPhone tetapi hadir dengan ciri AI.

Satu lagi ciri menarik ialah Recorder baharu yang membolehkan pengguna humming atau menyanyi sedikit melodi, lalu Pixel akan menukarkannya menjadi muzik lengkap dalam pelbagai gaya, daripada chill beats hinggalah ke romantik.

Untuk pengguna Pixel 10 Pro, Pro XL dan Pro Fold, Google turut menawarkan langganan percuma Google AI Pro selama setahun, yang membuka akses kepada alat premium seperti Imagen 4 untuk imej dan Veo 3 untuk video.

Kamera – Cantik Tapi China Lagi Maju

Sekiranya anda mahu membeli Pixel 10 kerana reputasinya sebagai “kamera Android yang cantik”, mungkin anda akan kecewa. Walaupun kualiti gambar masih baik, ia tidak lagi berada pada tahap flagship yang menakjubkan.

Gambar-gambar yang dihasilkan kelihatan cantik, tetapi tidak lagi membawa faktor “wow” yang pernah menjadikan Pixel pilihan utama jurugambar mudah alih.

pixel 10
pixel 10
pixel 10
pixel 10
pixel 10
pixel 10

SOOC Pixel bukanlah buruk tetapi ia tidak secukup rasa. Faham yang cantik itu subjektif tetapi memang ini pandangan peribadi saya setelah mencuba banyak telefon Android yang fokus fotografi.

pixel 10 Pro XL
pixel 10 Pro XL
pixel 10 Pro XL
pixel 10 Pro XL
pixel 10 Pro XL
pixel 10 Pro XL
pixel 10 Pro XL

Secara jujur, hasil gambar siri Pixel 10 kini lebih setaraf dengan telefon kelas pertengahan premium daripada China. Sementara itu, pesaing seperti Xiaomi, OPPO, Huawei, vivo dan Honor sudah pun melangkah jauh dengan sensor lebih besar, mod pro lebih canggih dan sistem kamera yang lebih versatil.

AI semata-mata tidak cukup untuk menyelamatkan prestasi gambar. Ya, telefon dari China pun ada AI pada kamera. Bezanya, mereka turut memfokuskan saiz sensor dan color science yang tersendiri.

Saya pernah ulas benda ini dalam artikel ulasan HONOR Magic V5 dan Samsung hilang inovasi.

Video – Masih Kalah Dengan iPhone

Dari segi video, keadaan lebih kurang sama. Pixel 10 boleh merakam pada resolusi 4K 60fps, manakala Pixel 10 Pro XL menawarkan 8K 30fps serta fungsi Video Boost.

Malangnya, Video Boost mengambil masa terlalu lama untuk memproses.

Kualiti video masih belum menyaingi iPhone. Night mode pada Pixel 10 agak teruk dengan noise yang jelas kelihatan, sementara Pro XL sedikit lebih baik disebabkan sensor lebih besar dan sokongan Video Boost.

Google turut menambah format rakaman AVI selain H.264 dan H.265, yang menawarkan kualiti lebih baik. Secara lalai, Pixel 10 merakam dalam 10-bit HDR seperti iPhone, tetapi fungsi ini boleh dimatikan.

Namun, satu kelemahan ketara ialah ketiadaan mod log dan pro mode. Telefon-telefon dari China sudah lama menawarkan ciri ini untuk pengguna yang lebih serius dalam videografi. Pixel, sebaliknya, masih ketinggalan.

Kesimpulan – Ini Telefon AI

Keseluruhannya, siri Pixel 10 adalah telefon yang jelas mahu mengubah imej Google. Ia bukan lagi tentang kamera terbaik di pasaran, sebaliknya tentang bagaimana AI boleh menjadikan telefon lebih pintar dan lebih berguna dalam kehidupan seharian.

Pixel 10 lebih sesuai untuk pengguna biasa yang mahukan pengalaman Android asli dengan ciri-ciri AI yang memudahkan hidup.

Pixel 10 Pro XL pula lebih ditujukan kepada power user dengan skrin LTPO, sensor kamera lebih besar, sokongan Video Boost dan bonus langganan AI Pro.

Namun, bagi mereka yang mengutamakan fotografi atau gaming, pilihan lain seperti iPhone atau telefon flagship dari China mungkin lebih memuaskan.

Aku yang dulu bukanlah yang sekarang

Siri Pixel 10 bukan lagi telefon yang anda pernah kenal dahulu. Ia adalah untuk mereka yang mahu pembantu pintar sebenar dalam poket.

Inilah identiti Pixel sekarang — kecerdasan buatan (AI). Saya yang juga menggunakan iPhone turut memuji AI pada telefon Pixel. Apple Intelligence? No komen.

Sekiranya anda berminat ulasan ini dalam bentuk video, boleh tonton di YouTube WiserMY.

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress