Ujian Rintis Bike Hailing Akan Bermula Januari 2020 Selama Enam Bulan

Terdahulu kita telah diperdengarkan dengan berita mengenai kelulusan konsep e-hailing motosikal oleh kabinet yang memungkinkan syarikat seperti Dego Ride dan Gojek menawarkan perkhidmatan dalam negara.

Dalam perkembangan seterusnya, ketika sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, YB Nik Nazmi Nik Ahmad telah bertanyakan perihal mengenai perkhidmatan ride hailing itu, sama ada Kementerian Pengangkutan telah siap merangka perundangan perkhidmatan tersebut.

Bagi menjawab pertanyaan tersebut, Menteri Pengangkutan YB Anthony Loke Siew Fook telah menyatakan pelaksanaan program rintis bike hailing itu akan dimulakan pada Januari tahun hadapan.

Bakal dijalankan dalam tempoh enam bulan, syarikat pengendali serta kerajaan akan mengumpulkan data, penilaian terhadap permintaan dan penerimaan serta lain-lain hal yang berkaitan dengan perkhidmatan tersebut.

Dalam pada itu, mana-mana syarikat yang mahu menyertai program rintis bike hailing ini perlu mematuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan seperti lokasi hanyalah di Lembah Klang namun kawasan lain akan dipertimbangkan jika terdapatnya permohonan.

Selain daripada memiliki lesen memandu penuh, penunggang mestilah berumur 18 tahun dan keatas begitu juga dengan umur penumpang. Menteri Pengangkutan juga menyatakan perkhidmatan hanya boleh membawa seorang sahaja penumpang dalam satu-satu masa selain penunggang perlu memakai tanda pakaian dan tanda pada motosikal dengan jelas selain mematuhi undang-undang jalanraya.

Ketika ini, undang-undang serta syarat perkhidmatan bike hailing masih dalam proses perangkaan.

Sumber: FrontDesk