Twitter dilaporkan telah didenda sejumlah $150 juta (~RM660 juta) untuk menyelesaikan tuntutan privasi dengan Department of Justice (DOJ) dan Federal Trade Commission (FTC).
Saman itu berpunca dari aduan bahawa Twitter menyalahgunakan alamat e-mel dan nombor telefon pengguna untuk pengiklanan yang disasarkan (targeted advertising).
Twitter juga didakwa menyalahtafsir dasarnya kepada pengguna antara 2013 dan 2019, melanggar kedua-dua Akta FTC dan perintah daripada penyelesaian sebelumnya pada tahun 2011.
Twitter menggalakkan pengguna menambah nombor telefon atau alamat e-mel untuk membolehkan langkah keselamatan seperti pengesahan dua langkah.
Walau bagaimanapun, pada hakikatnya, Twitter turut memasukkan maklumat yang diperoleh ke dalam data penyasaran iklannya.
Twitter pernah memohon maaf pada tahun 2019, mengatakan mereka telah “secara tidak sengaja” menyalurkan alamat dan nombor ke dalam sistem iklannya.
Tuntutan ini juga mendakwa dalam tempoh itu, Twitter secara palsu mendakwa mematuhi Rangka Kerja Perisai Privasi Kesatuan Eropah-AS dan Swiss-AS, yang menyekat cara syarikat boleh menggunakan semula data pengguna.
Peguam Negara Bersekutu, Vanita Gupta berkata langkah pematuhan baharu yang besar akan dikenakan untuk membantu mencegah taktik mengelirukan selanjutnya yang mengancam privasi pengguna.
Langkah ini juga nanti memerlukan Twitter untuk mengekalkan program privasi dan keselamatan maklumat yang menyeluruh, dan mesti menjalankan ujian dan audit tetap terhadap perlindungannya.
Sumber: Variety
Baca juga: