Aplikasi Weibo merupakan aplikasi seperti Twitter yang digunakan secara meluas di China. Terdapat juga aplikasi lain yang serupa Weibo seperti Douyin yang menggantikan TikTok dan WeChat yang menggantikan WhatsApp.
Isunya bukan mengenai aplikasi ini tetapi berkenaan ribuan pengguna aplikasi tersebut telah disekat. Hal ini berikutan dengan hantaran berunsur kesat dan kebencian dengan mempersendakan pencerobohan yang berlaku di Ukraine.
Justeru, sebanyak 10,000 akaun telah disekat dan lebih 4,000 hantaran yang mempersendakan dan mengejek kejadian yang berlaku di Ukraine telah dipadam.
Hal ini bermula ketika perbincangan sedang dilakukan dalam aplikasi tersebut. Kemudian muncul satu hantaran berunsur jenaka kasar yang mereka akan menerima gadis pelarian Ukraine sahaja. Dari sinilah mula tersebarnya topik “bersedia lindungi gadis Ukraine berumur 18-24 tahun“.
Pihak Weibo masih menyiasat dan akan terus menangani segala kenyataan berkenaan “gadis Ukraine” ini kerana ia telah menyebarkan kebencian dan seksisme dalam kalangan tertentu. Weibo juga merayu agar penggunanya sentiasa objektif dan rasional ketika perbincangan mengenai berita antarabangsa sedang dibincangkan.
Beralih kepada aplikasi Tiktok China, Douyin juga turut menyekat pengguna mereka, memadam lebih 6,400 video dan sebanyak 1,620 siaran langsung (live) telah disekat atas alasan yang sama.
Memetik daripada kenyataan Douyin, terdapat beberapa pengguna telah mengambil kesempatan ini untuk menyebarkan kebencian terhadap Ukraine. Mereka menjadikan kesengsaraan oleh warga Ukraine sebagai bahan ketawa dan perkara ini boleh merosakkan suasana platform.
Kedutaan China di Ukraine juga merayu dalam surat terbuka kepada warga China agar dapat memahami dan tidak memprovokasi warga Ukraine ketika mereka sedang mengalami kesukaran.
Ahad lalu, White House telah menyeru China untuk mengecam tindakan Rusia dan Putin terhadap Ukraine namun sehingga kini, Beijing enggan menggelar serangan Rusia ke atas Ukraine sebagai “pencerobohan“.
Berbalik kepada isu pengguna disekat, kerajaan China buat masa ini sedang berusaha untuk membersihkan semula platform media sosial mereka untuk mengekalkan ketenteraman awam dalam talian. Perkara ini disebabkan Weibo dan Douyin telah menandatangani deklarasi kolektif untuk menguakuasakan “displin diri” di ruang siber negara tersebut pada bulan September tahun lalu.
Sumber: Insider
Baca juga: