Tips Berkenaan Penggunaan Telefon Mudah Alih Bagi Jemaah Haji

Umum sudah mengetahui bahawa musim haji sudahpun bermula. Bagi bakal jemaah haji, pelbagai persiapan perlu dilaksanakan sebelum tiba di Tanah Suci supaya aktiviti ibadah berjalan dengan lancar.

Kebanyakkan jemaah haji Malaysia kini memiliki telefon pintar, dan sudah pasti mereka ingin menggunakannya ketika berada di Tanah Suci.

Bagi mengelakkan jemaah haji dikenakan caj yang tinggi oleh syarikat telco dan mengalami masalah berkaitan dengan perayauan antarabangsa, Forum pengguna komunikasi dan multimedia malaysia atau lebih dikenali sebagai CFM telah berkongsi 9 tips melibatkan penggunaan telefon mudah alih untuk jemaah haji Malaysia.

Berikut merupakan tips-tips yang dikongsikan oleh CFM:

1. Sebelum bertolak, sila buat rujukan dengan penyedia perkhidmatan dahulu.

Ini adalah untuk memastikan anda mendapat maklumat yang tepat mengenai caj yang akan dikenakan. Anda tidak akan dikecualikan daripada membayar caj tersebut walaupun anda benar-benar tidak tahu.

 

2. Buat salinan senarai kenalan dan maklumat penting.

Sebagai langkah keselamatan, sekiranya anda kehilangan telefon ketika berada di sana. Anda juga boleh memuatnaik maklumat-maklumat penting ini dan menyimpannya dalam ‘storan’ atas talian untuk capaian mudah dan dari mana-mana sahaja.

 

3. Tidak digalakkan menggunakan dua kad sim dalam satu telefon bimbit.

Jika anda tidak biasa dgn Settings’ / Penetapan yang perlu diubah, gunakan telefon bimbit yang lain bagi setiap kad sim. Selain itu, disarankan agar anda dapat membawa telefon bimbit kedua yang lebih murah untuk penggunaan kad sim tempatan bagi anda menerima atau membuat panggilan penting. Anda boleh menggunakan telefon pintar anda untuk sambungan WiFi sahaja.

 

4. Anda juga boleh membeli kad sim antarabangsa yang dijual di Malaysia melalui dalam talian atau di lapangan terbang.

Ia mungkin mempunyai pakej yang memenuhi keperluan anda selain dapat mengurangkan kerumitan anda untuk mendaftar kad sim semasa di luar negara.

 

5. Sebagai alternatif untuk mendapatkan pilihan yang lebih murah, anda boleh dapatkan kad sim tempatan sebaik tiba di Arab Saudi.

Lakukan sedikit kajian mengenai pelan yang disediakan dan pilih pakej kad sim yang terbaik dan sesuai dengan penggunaan anda sepanjang berada di sana.

 

6. Nyahaktifkan “SAMBUNGAN AUTOMATIK KE RANGKAIAN”

Kebanyakan penyedia perkhidmatan di Malaysia mempunyai rakan perayauan antarabangsa  di semua negara yang anda lawati dan biasanya mereka menyediakan pakej khas kadar rata bagi panggilan suara dan data apabila disambungkan kepada mereka. Nyahaktifkan “SAMBUNGAN AUTOMATIK KE RANGKAIAN” dan pastikan anda sentiasa disambungkan kepada rakan perayauan penyedia perkhidmatan anda untuk menikmati pakej khas ini.

 

7. Tukar mod “Airplane” atau “ Kapal Terbang” dan gunakan WiFi

Jika anda ingin terus berhubung dengan hanya menggunakan WiFi , anda boleh memilih untuk menukar mod telefon pintar anda ke mod “AIRPLANE” atau “KAPAL TERBANG” dan gunakan sepenuhnya WiFi awam yang anda boleh dapati. 

 

8. Gunakan aplikasi ketika menerima panggilan semasa berada di luar negara

Jika anda hanya mahu menerima panggilan dan SMS semasa berada di luar negara, anda boleh memilih untuk menggunakan aplikasi seperti “whatsapp call/ video call” dan gunakan WiFi sahaja.

 

dan yang tips yang terakhir...

9.  Ingatlah …“ Tiada panggilan sepenting panggilan Ilahi. Jangan biarkan masalah komunikasi mengganggu ibadah haji anda” 

Kepada yang bakal menunaikan ibadah haji pada tahun ini, Wiser.my mendoakan anda semua diberikan kesihatan dan ketenangan dalam melakukan ibadah. Semoga mendapat haji yang mabrur.

Sumber: Forum pengguna komunikasi dan multimedia malaysia (CFM)