Annuar: Tiada Guna Telco Untung RM1 Bilion Jika 'Line' Masih Perlahan

Syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) mungkin berjaya mencatatkan keuntungan sebanyak RM1 bilion tetapi pencapaian ini tidak patut dibanggakan sekiranya mereka masih memberikan perkhidmatan yang tidak memuaskan kepada rakyat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata beliau tiada bantahan untuk telco mengaut keuntungan besar, namun haruslah bertanggungjawab dengan melabur sebahagian daripada keuntungan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka, selaras dengan pembangunan infrastruktur yang dilaksanakan kerajaan.

Katanya lagi, kerajaan telah melabur RM4 bilion untuk menyediakan infrastruktur telekomunikasi gentian optik untuk rakyat, tanpa mengharapkan sebarang pulangan kewangan.

Infrastruktur disediakan oleh kerajaan, Telekom Malaysia dan lain-lain, tetapi perkakasan 'akhir' disediakan oleh telco, bergantung kepada peralatan yang mereka pasang di menara, tambahnya lagi.

Jika terdapat ramai pelanggan di sesuatu kawasan, telco seharusnya menumpukan perhatian di kawasan tersebut dan di tempat lain yang peralatannya masih tidak dinaik taraf.

Annuar berkata itulah sebabnya kerajaan menyediakan kelajuan internet 4G boleh berjulat dari 10Mbps hingga 100Mbps, bergantung kepada perkakasan 'akhir' yang disediakan oleh telco.

Annuar juga menyeru syarikat telco untuk bersama-sama dengan kerajaan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat.

Bercakap dalam satu majlis di Kepayan, Sabah, Annuar berkata liputan 4G di Sabah adalah pada 86% bagi kawasan berpenduduk. Akan tetapi, kualiti internet di beberapa kawasan masih tidak mencapai kelajuan yang diperlukan.

Terdapat tempat dengan hanya kelajuan 10Mbps dan 20Mbps tetapi kualiti minimum yang ditetapkan untuk 4G LTE mestilah 35Mbps.

Menurut Annuar lagi, jika hendak mencapai tahap itu, kawasan berpenduduk mesti mencapai 60, 70 atau 100Mbps kerana apabila ramai orang, kelajuannya akan menurun.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu juga menggesa syarikat telekomunikasi untuk menubuhkan menara hibrid, dengan bekalan kuasa sandaran daripada panel solar dan penjana supaya perkhidmatan internet tidak lagi terganggu.

Sumber: Bernama

Baca juga: