Telefon Masuk Air? Jangan Panik, Lakukan 5 Perkara Ini Terlebih Dahulu

Meskipun jumlah model yang mempunyai pengiktirafan kalis air IP68 semakin meningkat hari ini, masih banyak lagi peranti yang tiada pengiktirafan berkenaan.

Ia bermakna masih terdapat banyak lagi model yang tidak "kebal" dengan air. Pernahkah anda terjatuhkan telefon anda ke dalam air? Atau tertumpahkan air ke atasnya? Pasti kebanyakan daripada anda berasa panik ketika itu, kan?

Oleh itu, pada kali ini kami akan kongsikan bersama anda 5 langkah awal yang perlu dilakukan sekiranya ia berlaku lagi di masa akan datang.

1. Jangan cuba hidupkan peranti

Kapsyen: Wired


Langkah pertama ini adalah sangat penting bagi menjaga komponen-komponen elektrik di dalam peranti daripada rosak.

Malah, sekiranya peranti anda masih hidup selepas terkena air, anda dinasihatkan untuk mematikan peranti secepat mungkin.

2. Keluarkan kad mikroSD dan kad SIM sekiranya ada

Kapsyen: LifeWire


Jika anda menggunakan kad SIM dan kad mikroSD, pastikan anda keluarkan keduanya daripada slot masing-masing.

Ini bagi membantu peranti dikeringkan dengan sempurna selain mengelakkan kerosakan berlaku pada kad mikroSD atau kad SIM.

3. Cuci peranti anda dengan air bersih

Kapsyen: Oddity Central


Langkah ketiga ini perlu dilakukan sekiranya anda tertumpahkan air manis, kuah masakan, terendam peranti dalam air laut dan sebagainya.

Bagaimanapun, pastikan anda hanya mengalirkan air pada peranti sahaja serta elakkan untuk melakukannya secara berlebihan dan bukannya merendamkan peranti dalam bekas air.

4. Keringkan kawasan luaran peranti dengan kain lembut atau kertas tisu

Kapsyen: Gadget Hacks


Keringkan peranti anda menggunakan sebarang bahan yang sesuai seperti kain lembut atau kertas tisu, namun jangan sesekali gunakan bahan seperti kapas atau putik kapas.

Selain itu, elakkan daripada memasukkan sebarang objek ke dalam lubang atau port yang ada pada peranti seperti bicu audio dan port pengecasan.

5. Biarkan peranti kering selama sekurang-kurangnya 24 jam



Langkah yang terakhir ialah biarkan peranti anda kering dengan sendiri untuk tempoh sekurang-kurangnya satu hari.

Anda juga boleh menggunakan penyedut habuk berkuasa rendah untuk menyedut keluar air dari dalam peranti namun dilarang sama sekali untuk mengeringkan peranti menggunakan pengering rambut.

Anda mungkin pernah mendengar mengenai cadangan untuk merendamkan telefon dalam beras bagi menyerap air dari peranti. Mungkin cara itu berkesan dan mungkin juga tidak.

Kapsyen: GineersNow


Cara ini juga ada dicadangkan oleh beberapa portal atas talian, namun ada juga yang mengatakan ia tidak lagi berkesan bagi peranti keluaran kini dan hanya berguna jika peranti anda masih menggunakan bateri boleh tanggal.

Sekiranya telah melakukan 5 langkah di atas dan peranti anda masih juga tidak boleh digunakan, barulah anda perlu ke pengedar sah atau pusat servis jenama peranti anda untuk mendapatkan bantuan mereka yang lebih arif.

Diharapkan dengan perkongsian kali ini, dapat membantu pembaca sekiranya berlaku perkara yang tidak ingini pada telefon pintar kesayangan anda.

 

Sumber: LifeWire    Whistle Out    wikiHow

Berkaitan