Apabila anda mendengar tentang panel solar, secara tidak langsung kita berfikir bahawa ia berfungsi pada waktu siang dimana Matahari telah terbit. Tetapi sekumpulan jurutera dari Stanford University, California telah berjaya mencipta panel solar yang mampu menjana tenaga pada waktu malam.
Setiap objek atau organisma yang mempunyai haba seperti manusia, pokok, haiwan dan bangunan akan melalui proses penyejukan badan. Salah satu caranya adalah melalui proses penyejukan sinaran. Penyejukan sinaran adalah proses di mana objek atau organisma melepaskan haba daripada tubuh melalui sinaran elektromagnetik yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar.
Pada asasnya, fenomena ini berlaku pada waktu malam di mana haba-haba ini bebas keluar ke atmosfera dan secara tidak langsung menyejukan planet kita.
Jurutera di Stanford University telah mencipta sel fotovoltaik (PV) yang unik di mana ia mampu menyerap tenaga haba yang dipancarkan melalui proses penyejukan sinaran ini. Tambahan lagi, sel fotovoltaik baharu ini mempunyai jangka hayat dan tempoh penggunaan yang jauh lebih panjang berbanding panel konvensional.
Prosesnya memang mudah tetapi pelaksanaannya yang mencabar. Sel fotovoltaik baharu ini mempunyai satu bahan penebat utama yang dipanggil modul termoelektrik di mana ia akan memerangkap sinaran haba yang bergerak di atmosfera dan menukarnya kepada tenaga elektrik.
Walau bagaimanapun, tenaga yang dapat dijanakan agak sedikit jika dibandingkan dengan panel solar biasa. Namun, ia adalah satu pencapaian yang baik bagi prototaip pertama. Buat masa ini panel solar ini masih di dalam fasa awal kerana terdapat banyak perkara yang perlu diselesaikan supaya ia lebih murah dan efektif.
Sumber: Daily Beast
Foto utama: Eco Watch
Baca juga: