Syarikat Israel Temui Cara Nyahkunci Hampir Kesemua Model iPhone

Sebuah syarikat perisian dari Israel, Cellebrite, dikatakan sudah menemui cara untuk "memecah masuk" ke dalam iPhone.

Cellebrite adalah sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan nyahkunci telefon pintar untuk pihak berkuasa diseluruh dunia.

Menurut syarikat berkenaan, teknik yang baru dicipta itu boleh membantu petugas forensik mengakses kepada sistem fail untuk mendapatkan semula emel yang dimuat turun, data aplikasi pihak ketiga, data lokasi, log sistem dan ia boleh dilakukan tanpa perlu jailbreak peranti.

Difahamkan hampir kesemua model iPhone yang menjalankan sistem operasi iOS 11 boleh ditembusi melalui cara itu.

Dengan adanya crack tersebut, ia bakal memudahkan tugasan forensik pihak berkuasa Amerika Syarikat dan FBI  yang mana sebelum ini mereka gagal dalam mengakses iPhone 5C kepunyaan seorang penjenayah. Penjenayah itu menembak mati 14 orang termasuk dua orang pihak berkuasa terlibat dalam kes tembakan di San Bernadino.

Diawal penyiasatan kes, pihak berkuasa Amerika Syarikat ada meminta Apple untuk memberikan  akses backdoor supaya siasatan dapat dibuat keatas iPhone si penembak, tetapi Apple enggan berbuat demikian kerana takut pihak tersebut memanipulasi sistem berkenaan untuk kepentingan mereka.