Snapdragon 8+ Gen 2 Mungkin Adalah Cip Samsung Galaxy S23 Ultra

Khabar angin akan kedatangan Snapdragon 8+ Gen 2 bermula daripada kehadiran RedMagic 8S Pro yang bakal hadir tidak lama lagi.



Terdapat pelbagai dakwaan yang mengatakan peranti itu menggunakan Snapdragon 8+ Gen 2. Dan ada juga yang mengatakan bahawa ia adalah Snapdragon 8 Gen 2 yang dipertingkatkan yang tidak diketahui nama rasminya lagi.



Namun, saya berpendapat bahawa ia adalah satu cip yang sama dan ia telah hadir lebih awal daripada sangkaan kita.

Tidak mustahil Snapdragon 8+ Gen 2 adalah cip Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy yang telah dijenamakan semula.

Ada beberapa sebab kenapa berpendapat sedemikian. Pertama sekali, Nubia telah mendedahkan cip Snapdragon 8 Gen 2 yang digunakan RedMagic 8S Pro mempunyai kelajuan 3.36GHz.



Sebagai perbandingan, Snapdragon 8 Gen 2 yang standard mempunyai kelajuan sekitar 3.2GHz sahaja. Dan cuba anda teka, apakah cip yang mempunyai kelajuan purata 3.36GHz dalam pasaran ketika ini?

Jawapannya adalah Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy yang dilengkapi dalam Galaxy S23 Ultra ketika ini. Tambahan lagi, kita tahu bahawa cip telefon S23 Ultra itu menawarkan peningkatan pemprosesan grafik berbanding Snapdragon 8 Gen 2 yang biasa.

Seperti siri cip Qualcomm sebelum ini, versi "plus / +" sentiasa menawarkan peningkatan kuasa grafik berbanding versi standard. Hal ini demikian kerana Qualcomm ingin menawarkan pengalaman mobile gaming yang lebih cekap.



Akhirnya, terdapat banyak sumber dan dakwaan kuat yang mengatakan cip Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy akan boleh digunakan oleh jenama selain Samsung pada waktu ini.

Oleh itu, tidak mustahil Qualcomm akan membawa cip yang sama dan menukar namanya kepada Snapdragon 8+ Gen 2. Cara tersebut lebih senang, jimat dan memudahkan Qualcomm untuk menjalankan perniagaan mereka.

Berbanding mereka perlu menghasilkan satu cip baharu tetapi menawarkan kuasa pemprosesan yang tidak jauh bezanya dengan 8 Gen 2 for Galaxy itu.

{suggest}

Walau bagaimanapun, ini adalah pendapat saya sendiri sebagai pencinta teknologi dan gajet dalam industri telefon pintar ini. Tidak mustahil pendapat saya ini akan berlawanan dengan fakta yang bakal kita ketahui tidak lama lagi.

Oleh itu, sama-sama kita nantikan pengesahan sebenar daripada pihak terlibat seperti Nubia dan Qualcomm terutamanya.

Gambar utama: SamMobile