Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Sistem Tracker Sumud Nusantara Pantau Kapal GSF Secara ‘Real-Time’ – Ini Teknologi Di Sebaliknya

Posted on Oktober 3, 2025Oktober 3, 2025

Di sebalik tumpuan dunia terhadap operasi Global Sumud Flotilla (GSF), sebuah sistem tracker inovatif dibangunkan bagi membolehkan masyarakat dunia mengikuti perkembangan pelayaran misi kemanusiaan ini.

Pada asalnya, pergerakan kapal dipantau melalui sistem tracker rasmi yang dibangunkan oleh pasukan GSF. Ia memberikan capaian masa nyata (real-time) termasuk lokasi dan kelajuan kapal.

tracker Global Sumud Flotilla

Sistem ini kemudian menjadi asas kepada versi tempatan yang dibangunkan oleh sukarelawan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Sistem Tracker Sumud Nusantara

Dengan akses API (Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi) sistem tracker GSF, sukarelawan MAPIM Dr Mohd Hafiz Md Hanif bersama pasukannya telah membangunkan versi Sumud Nusantara.

Versi ini menampilkan pelbagai penambahbaikan, memudahkan pengguna mengikuti perkembangan terkini setiap kapal dengan lebih interaktif.

Siapa di sebalik sistem ini?

Dr Mohd Hafiz Md Hanif merupakan Pengarah Strategik MAPIM dan pensyarah kanan di Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam bidang Teknologi Pendidikan.

Minatnya dalam pengaturcaraan bermula semasa pengajian Doktor Falsafah (PhD) di University of Warwick, UK. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Academic Technology Project Developer di Digital Humanities, University of Warwick bagi membantu penyelidik membangunkan laman berorientasikan data dan dapatan penyelidikan.

Bagi sistem tracker Sumud Nusantara, ia dihasilkan secara berkumpulan, dengan Dr Hafiz sebagai ketua pembangun bersama dua pembantu penyelidik.

Menurut beliau, pembangunan versi pertama hanya mengambil masa 3-4 hari sahaja. Sehingga kini, sistem tracker ini telah dinaik taraf ke versi V2.2.25.

Ciri-ciri Sistem Tracker Sumud Nusantara

Antara ciri baharu dalam versi Sumud Nusantara termasuk garis masa, main balik perjalanan kapal, serta data sejarah dan koordinat terkini setiap kapal yang dikemas kini setiap 15 minit (mengikut laporan Bernama).

antara muka sistem tracker Sumud Nusantara
laporan insiden

Sistem ini juga menambah ciri zon, membolehkan pengguna melihat kapal berada di zon tertentu seperti kuning atau merah.

Selain itu, ia turut menyediakan pengiraan automatik dari kapal ke point of interest, termasuk jarak kapal ke lokasi, jarak dari lokasi ke daratan, dan anggaran masa ketibaan.

Menurut data Google Analytics, sejak pelancaran kira-kira sebulan lalu, tracker Sumud Nusantara mencatatkan 1.7 juta pengguna aktif dan 14 juta paparan, menandakan sambutan luar biasa daripada pengguna.

Akses internet & CCTV ‘Live’

Dr Hafiz menjelaskan bahawa setiap kapal GSF dilengkapi dengan sistem internet satelit yang menggunakan peranti Starlink. Ia kemudian membolehkan kamera CCTV di kapal dihubungkan ke pusat kawalan yang dikendalikan pasukan GSF untuk pemantauan, perekodan dan penyiaran semula sebagai siaran langsung ke pelbagai saluran media.

Dengan penggunaan teknologi yang ada, termasuk sistem tracker ini, ia menunjukkan bahawa teknologi bukan sekadar alat, tetapi boleh menjadi ‘jambatan’ bagi masyarakat untuk lebih dekat dengan misi penting seperti Global Sumud Flotilla.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress