Syarikat Apple yang menjadi anak kelahiran Steve Jobs telah menyaksikan jatuh bangunnya yang dengan pantas mendaki puncak kejayaan sebagai syarikat teknologi terkemuka di dunia. Walau bagaimanapun, biarpun luar tampak indah, Apple juga mempunyai sisi gelap yang tidak ramai ketahui.
Penguasaan produk Apple dalam industri teknologi terkenal disebabkan permintaan dan sambutan yang luar biasa setiap kali pelancaran produk baharu dari Apple.
Tiada peranti lain yang boleh menghasilkan permintaan dan sambutan pengguna seperti Apple yang sentiasa berkembang selama bertahun-tahun.
Tapi pastinya, Apple juga tidak lari dari kontroversi dek kerana kebenaran pahitnya. Jadi, jom kita teliti 8 sisi gelap tentang syarikat tersohor Apple.
1. Logo Apple
Logo “Apple yang digigit” telah digunakan sebagai simbol syarikat sejak tahun 1977. Pada awalnya, logonya memaparkan epal pelangi dengan gigitan di sebelah kanan.
Dipercayai logo itu melambangkan sesuatu yang gelap seperti simbolik dosa asal Adam dan Hawa dan keinginan mereka untuk memakan buah terlarang dari pohon di syurga.
Justeru, ia seolah-olah melambangkan anarki dan nafsu yang mungkin boleh menggambarkan nafsu peminat Apple yang sentiasa menginginkan produk dari Apple.
2. iHamba
Seperti yang disebutkan tadi, Apple juga tidak lari dari kontroversi kerana pernah heboh tentang syarikat tersebut tidak mematuhi piawaian kesihatan dan keselamatan untuk pekerja.
Khususnya isu ini melibatkan pekerja dalam bidang alat di kilang pembuatan mereka. Pada tahun 2010, 14 kematian bunuh diri dilaporkan di Foxconn (pengilang Apple di China) di mana keadaan kerja dilaporkan serupa dengan kem buruh.
Dipercayai pekerja di kilang Apple dikerah untuk bekerja syif 12 jam dengan bayaran hanya US$2 (~RM8.43) sehari dengan hanya satu cuti setiap 13 hari. Ditambah pula dengan situasi bekerja seperti kem buruh dengan asrama yang sesak dan pengawasan 24 jam.
3. iElak Cukai
Menurut pelbagai laporan, Apple menggunakan rangkaian syarikat luar pesisir (offshore) untuk mengelak daripada membayar cukai berjumlah berbilion dolar.
Pada tahun 2013, jawatankuasa senat Eropah mendapati bahawa Apple telah mengelak hampir US$44 bilion (~RM185 bilion) cukai dalam tempoh 4 tahun.
Syarikat itu juga telah menubuhkan 3 entiti di Ireland yang tidak melaksanakan pembayaran cukai. Situ sahaja sudah memegang lebih daripada 60% daripada keuntungan Apple.
Skim “elak cukai” Apple ini telah membolehkan syarikat itu untuk mengumpul hampir US$165 bilion (~RM695.4 bilion) tunai dan sekuriti.
4. Steve Jobs Kurang Bertimbang Rasa
Tak dapat dinafikan Steve Jobs melahirkan antara inovasi yang terhebat pada zaman milenial kini. Namun, jangan sangka Steve juga seorang yang hebat seperti yang diperkatakan.
Apabila melibatkan Apple, dilaporkan Steve Jobs adalah seorang ahli perniagaan yang kurang bertimbang rasa malah pernah merampas keuntungan dari rakan dan rakan kongsinya sendiri.
Pada hari-hari awal Apple, dia tidak melunaskan bahagian rakan kongsinya, Steve Wozniak sebanyak US$5,000 (~RM21,072) dan juga pernah menghalang rakannya, Dan Kottke dari memperoleh sahamnya.
5. Polis Apple
Percaya atau tidak, Apple mempunyai pasukan polis rahsia yang dipanggil “Worldwide Loyalty Team”. Pasukan itu diamanahkan untuk melindungi kerahsiaan produk Apple dan menghalang kebocoran dan pengintipan korporat.
Walau bagaimanapun, dalam berbuat demikian, pasukan itu telah melanggar etika dan dituduh melakukan pemeriksaan yang tidak kondusif.
Untuk pengetahuan anda, setiap pekerja yang bekerja dalam pembuatan produk perlu menyerahkan telefon mereka untuk diperiksa semasa pelbagai peringkat pengeluaran.
Terdapat juga bukti dan saksi yang menyatakan bahawa pasukan “Loyalty” ini malah menyamar sebagai polis San Francisco untuk menyerbu rumah yang dipercayai menyembunyikan prototaip iPhone.
6. Buang Sisa Toksik ke Alam Sekitar
Sebelum ini, telah disebut tentang persekitaran kerja yang toksik dan tidak berperikemanusiaan di kilang Foxconn di China.
Lebih menarik lagi, syarikat Apple di China itu dan juga Umricron, pernah menerima kritikan teruk daripada persatuan pencinta alam sekitar China kerana membuang sisa kimia ke dalam sungai Hanputang dan Huangcangjing sekurang-kurangnya dua kali sehari.
Mereka juga dituduh membuang logam toksik ke dalam kawasan sekeliling yang boleh mengancam kesihatan orang awam. Hal ini berlaku pada tahun 2011. Diharap Apple sudah berhenti melakukan hal yang sedemikian.
7. Produk yang Menyebabkan Kanser
Apple sering menegaskan pekerjanya dijaga dengan baik. Malangnya, sekurang-kurangnya 13 orang pekerja berumur awal 20-an telah disahkan menghidap leukemia selepas jatuh sakit di kilang Apple di Shenzhen sejak tahun 2010.
Lima dari mereka telah meninggal dunia – dan pada usia yang doktor katakan kes kanser darah jarang berlaku.
Hal ini dipercayai kerana mereka terdedah kepada bahan kimia yang digunakan dalam pengeluaran iPhone.
Anda boleh baca laporan penuh di sini.
8. Steve Jobs Berhenti Derma ke Badan Kebajikan
Selepas kembali mengetuai syarikat pada tahun 1997, Steve Jobs memberhentikan semua program amal kebajikan dari Apple.
Dilaporkan sehingga kematiannya pada tahun 2007, Apple tidak mempunyai rekod sebarang sumbangan kepada mana-mana badan amal dan organisasi bukan kerajaan.
Waktu itu, Apple telah mengumpul nilai bersih sejumlah US$7 bilion (~RM29.5 bilion) namun tiada sesen pun didermakan ke badan kebajikan.
Dengan penuh harapan, mungkin Tim Cook, Ketua Pegawai Eksekutif Apple kini lebih baik dari Steve Jobs. Walaupun ada sisi gelap, tak dapat dinafikan Apple sentiasa mengeluarkan produk yang berkualiti dan tahan lama.
Sumber: All That’s Interesting, The New York Times, Forbes
Baca juga: