Sebut sahaja Apple, semua pasti rasa ‘seriau’ bila fikirkan harga produknya. Walaupun dijual dengan harga yang tersangatlah mahal, masih tetap akan ada pengikut setia jenama ini.
Bahkan, ada yang menganggap – “once an Apple user, always an Apple user“.
Tapi apakah sebab produk Apple ini semuanya mahal? Adakah iPhone benar-benar menjustifikasi harganya? Dan kenapa syarikat ini perlu letakkan harga dengan begitu tinggi?
Jom kita teliti.
1. Perisian
Umum tahu kesemua produk Apple menggunakan perisian Apple sendiri, dan tak mungkin untuk kita temuinya menggunakan perisian pihak ketiga.
Ini adalah salah satu faktor perbezaan yang paling ketara antara peranti iPhone dan peranti Android. Malah, perbezaan yang sama juga boleh dilihat antara komputer riba Macbook dan Windows.
Apple perlu membangunkan versi OS baharu dari awal setiap kali mereka mengemaskini atau menaik taraf perisian mereka. Tidak seperti peranti Android dan peranti Windows yang masing-masing memperoleh OS yang tersedia daripada Google dan Microsoft.
Pengeluar peranti Android menerima perisian daripada Google dan Microsoft yang telah diuji dan dipersiapkan terlebih dahulu. Para pengeluar seperti Samsung atau Xiaomi, hanya perlu membayar lesen untuk menggunakan perkhidmatan Google seperti Google Play Store pada peranti mereka.
Hal yang sebaliknya untuk Apple. Disebabkan mereka mengeluarkan perisian sendiri, Apple perlu mereka bentuk dan menguji perisian iOSnya sendiri.
Pada masa yang sama, ada sesetengah komponen peranti mereka pula tidak seperti yang biasa ada pada peranti lain jadi perisiannya perlu diolah mengikut kesesuaian peranti Apple.
Untuk menjual, pengeluar peranti Android dan Windows serta Apple tentunya perlu mengambil kira kos perisian ke dalam harga pasaran untuk peranti masing-masing.
Dalam hal ini, OS Android adalah sumber terbuka di mana ia tidak memerlukan pengurusan dari Google jadi kos yang diambil kira pastinya tidak begitu tinggi.
Berbeza dengan Apple, mereka perlu mengenakan bayaran terus kepada pengguna untuk menguruskan dan mengawal perisian iOS, lantas meningkatkan harga jualan produk mereka sendiri.
2. Penggunaan komponen mahal dan kemasan produk kualiti tinggi
Suatu ketika dulu, Steve Jobs pernah menguji prototaip iPod pertama dengan melemparkan iPod tersebut ke dalam akuarium untuk membuktikan bahawa saiznya boleh dikecilkan.
Pasukan jurutera yang menghasilkan iPod pertama tersebut datang untuk membentangkan prototaip kepada Steve Jobs, yang terus menolaknya, menyatakan bahawa saiznya terlalu besar.
Pada awalnya, pasukan jurutera Apple tersebut berkata ia adalah mustahil untuk mencipta peranti yang lebih kecil. Nak membuktikan rasa tak setuju, Steve terus menjatuhkannya ke dalam akuarium.
Menariknya, sebaik sahaja peranti tersebut dilihat menghasilkan buih udara dari dalam akuarium, Steve mendakwa buih udara itu bermaksud masih ada ruang lagi dalam peranti itu dan boleh dikecilkan lagi.
Dari kisah ini, Apple dari dulu lagi sangat mementingkan kualiti sesuatu produk yang dihasilkan. Untuk mencapai tahap kualiti sedemikian pula memang memerlukan banyak masa, penyelidikan, dan inovasi.
Ketiga-tiga faktor ini pastinya boleh dilakukan dengan adanya wang. Bahkan, kita sendiri boleh lihat pada kemasan akhir setiap peranti Apple yang memang menakjubkan. Malah, walaupun tanpa logo, sangat mudah untuk kita mengenali kemasan bezel Apple pada setiap perantinya, seperti Mac, Apple Watch, dan iPhone.
Tambahan lagi, komponen yang digunakan pada peranti Apple adalah antara yang paling tahan lama dan premium di pasaran. Apple juga jarang mempunyai masalah dengan pepijat dan produknya juga jarang perlu dibaiki.
Anda boleh cuba tanya mana-mana pengguna Mac, pasti ada yang pernah memiliki sebuah peranti Mac yang telah bertahan selama lebih dari 10 tahun.
3. Penyelidikan dan pembangunan
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Apple perlu banyak membuat penyelidikan dan pembangunan kerana mereka perlu mengeluarkan perisian dan perantinya sendiri dari awal.
Disebabkan itu, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya meniru atau menduplikasi peranti yang lain.
Dipercayai apabila sesuatu peranti Apple dilihat berbaloi dan disukai pengguna, Apple perlu terlebih dahulu mengusahakan perkakasan (hardware) sendiri kemudian perisian. Setelah itu, Apple juga perlu memastikan bahawa setiap produk telah dioptimumkan sepenuhnya dengan ekosistem Apple.
Salah satu contoh ialah pelayar Safarinya sendiri. Apple pernah cuba mengusahakan Safari versi Windowsnya namun terpaksa membatalkan keseluruhan pembangunan pada tahun 2012.
Walaupun puncanya tidak diketahui, jelas bahawa jika Apple adalah mana-mana syarikat yang menggunakan ekosistem Windows, pasti tidak akan menghadapi masalah yang sama.
Ini terbukti Apple sangat berhati-hati dan produknya bukanlah sesuatu yang mudah dan murah untuk dihasilkan.
4. Ekosistem
Seperti semua tahu, Apple mempunyai rantaian ekosistem yang luas dan besar. Setiap produk yang dikeluarkan serasi dengan satu sama lain.
Sebagai contoh, pengguna iPhone akan dapat membaca artikel internet yang sama dengan hanya beralih kepada pelayar tablet, iPad.
Selain itu, jika anda menyambungkan Apple Watch anda dengan iPhone anda, anda boleh menerima panggilan dan notifikasi dari jam tangan anda sekali.
Bukan hanya pada perkakasan tetapi aplikasi dan perisian juga turut sama dioptimumkan. Sesiapa sahaja yang memerlukan produktiviti yang tinggi pasti akan ketagih dengan ekosistem Apple.
Secara harfiah, semua peranti Apple boleh disambungkan antara satu sama lain – iPhone, Mac, Apple Watch, iPad, iTunes, dan sebagainya. Oleh itu, setiap data dapat disegerakkan antara satu sama lain dan pastinya pengguna akan merasa keajaiban keserasian pada setiap peranti.
Ini tidak berlaku sepenuhnya pada Android dan Windows oleh kerana kedua-dua ini dimiliki oleh syarikat yang berbeza. Maka berlakunya percanggahan antara ekosistem.
Sebagai pengguna Apple, saya akui memang sangat mudah untuk saya beralih kerja dari Macbook ke iMac kerana sudah menyambungkan akaun iCloud yang sama pada setiap peranti.
Tak dapat dinafikan lagi, kelebihan ini membuatkan Apple cukup yakin bahawa orang masih tetap akan membeli produk mereka walaupun masih mengekalkan harga jualan yang tinggi.
5. Kedai yang ikonik dan futuristik
Kedai Apple pastinya merupakan cerminan jenama Apple. Apple Store masih lagi tiada di Malaysia tapi anda boleh lihat bagaimana megahnya Apple Store yang ada di negara lain.
Secara ringkasnya, Apple berbelanja besar untuk membangunkan setiap kedainya. Bukan itu sahaja, setiap Apple Store pasti terletak di tempat paling premium di bandar-bandar mewah.
Apple kini memiliki lebih 500 kedai Apple yang sangat menarik di seluruh dunia. Jika anda lihat, tiada satu pun daripada mereka yang kelihatan biasa.
Keindahan seni bina Apple Store tentunya memerlukan pelaburan besar dalam pembinaan dan penyelenggaraan.
Jadi, siapa yang membayarnya? Tentulah pelanggan dan pengguna yang membeli peranti dari syarikat Apple.
Kesimpulan
Akhir kata, pastinya faktor keuntungan menjadi faktor yang paling jelas sekali. Seperti yang saya katakan tadi, Apple tahu bahawa walaupun harga produk mereka kekal mahal, masih akan ada orang yang akan membelinya.
Apple sendiri adalah pengeluar produk yang unik sehinggakan ia masih akan mendapatkan pangkalan pengguna yang luas, menjadikannya berani untuk memaksimumkan keuntungan.
Jadi, jika anda masih tertanya-tanya kenapa produk Apple tersangatlah mahal, anda kini sudah tahu jawapannya.
Sumber: The Cold Wire, Insider
Baca juga: