Siri Masih Belum Di Tahap Hebat Dan Speaker Pintar Apple Tidak Akan Mengubah Perkara Itu

Jika diikutkan tentang khabar angin mengenai Apple, mereka dijangka akan mengeluarkan speaker dengan fungsi Siri terbina di dalamnya.

Ia merupakan langkah Apple untuk bersaing dalam ruangan pembantu pintar seperti Amazon Echo dan Google Home.

Peranti tersebut dikhabarkan akan berada di dalam kategori harga premium dan speaker yang lebih berkuasa bagi mengatasi pesaing-pesaing sedia ada.

Seperti sebelum ini apabila Apple mahu mengeluarkan sesuatu produk, hype yang dibina pasti akan membuatkan orang ramai terutama peminatnya ternanti-nanti kemunculan produk itu.

Tetapi jika bercakap mengenai Siri, pembantu digital yang sinonim dengan peranti iPhone dan iPad Apple, mungkin masih banyak yang perlu diperbaiki lagi.

Siri merupakan satu inovasi pertama Apple dalam ruangan pembantu digital.

Mereka mengeluarkannya 3 tahun sebelum Amazon melancarkan Alexa.

Dalam tempoh 3 tahun itu, Apple berkemampuan meletakkan Siri sebagai pilihan terbaik dalam bentuk pembantu digital.

Malangnya apabila Alexa secara rasmi menemui pengguna, Siri kelihatan agak usang dengan fungsi yang terhad berbanding pesaing terbaru mereka.

Yang terbaru, Amazon telah membuat kerjasama dengan General Motors, Ford dan syarikat besar lain bagi mengintegrasi Alexa ke keluaran produk syarikat-syarikat ini.

Dari segi fungsi, kedua-duanya mungkin agak sama tetapi ada sesetengah fungsi seperti Spotify dimana Alexa lebih dominan berbandin Siri.

Alexa mampu memainkan sebarang lagu yang dipinta dari senarai musik anda tetapi Siri hanya mampu untuk membuka aplikasi Spotify sahaja.

Dan sikap Apple hanya mementingkan aplikasi mereka dari aplikasi pihak ketiga memburukkan keadaan.

Seolah-olah pengguna tidak mempunyai pilihan selain daripada pihak mereka sahaja.

Pertarungan yang bakal berlangsung antara Apple dan pesaing mereka mungkin akan memperlihatkan satu pertarungan yang menarik.

Sebagai pengguna adalah menjadi satu perkara baik kerana mungkin pengguna boleh mendapat manfaat dari persaingan mereka ini.

Sumber