Setiap Kali Peranti Gagal Berfungsi Anda Mesti Disuruh "Restart", Ini Sebabnya

Pasti anda tertanya-tanya mengapa setiap kali telefon pintar, komputer, modem dan apa jua peranti elektronik lain gagal berfungsi (aplikasi serta perisian juga), anda akan dinasihatkan supaya melakukan restart terhadap peralatan itu.

Seperti contoh telefon pintar anda beroperasi dengan kadar yang perlahan dan anda bertanya kepada rakan. Sudah tentu antara jawapan yang keluar dari mulut rakan anda adalah, "Kau dah cuba restart telefon?"

Kadang kala dengan hanya sekali restart, peranti yang gagal berfungsi mampu kembali beroperasi seperti keadaan asal. Jadi apakah 'misteri' disebalik perkara itu?

Sebelum kita ulas lanjut mengenai perkara itu, kita ambil contoh komputer dan bayangkan apa yang berlaku terhadap komputer seharian seperti...

  • anda buka komputer

  • lakukan tugasan tidak kira berat atau ringan

  • pasang dan nyahpasang perisian dan aplikasi

  • kadangkala perisian seperti pelayar web beroperasi selama berjam-jam lamanya, mungkin lebih dari satu hari.

  • Banyak perisian yang beroperasi tidak kira dilatarbelakang ataupun latardepan, yang anda nampak dan program yang berlaku tanpa pengetahuan anda.


Sekarang bolehkah anda bayangkan betapa banyaknya tugasan yang dilaksanakan oleh sebuah komputer?

Apa yang mungkin tidak disedari anda adalah, sistem operasi anda meninggalkan sejenis jejak; biasanya dalam bentuk proses yang beroperasi pada latarbelakang bagi program yang anda...

  • tidak perlukan lagi ataupun

  • program yang tidak ditutup secara betul.


Program-program yang tidak diperlukan itulah yang membebankan sumber sistem komputer, sebagai contoh RAM.

Jika terlalu banyak, sistem komputer anda akan mula menjadi berat, gagal membuka aplikasi, mesej ralat mula terpapar dan beberapa perkara lain yang dibenci anda sebagai pengguna.

Apabila anda melakukan restart kepada komputer, program dan proses akan terhenti dan apabila komputer hidup semula, sistem akan bermula dari awal (keadaan sebelum ia bermasalah) kerana proses restart akan "membersihkan" semula kod-kod yang menyebabkan komputer gagal berfungsi.

Ibarat anda penat bekerja seharian dan tidur sebentar di waktu tengahari, ketika bangun anda akan berasa segar semula bukan?

Tetapi harus diingat, tidak semua ralat atau masalah boleh diselesaikan dengan restart sahaja. Anda mungkin memerlukan bantuan pakar dalam menanganinya.

Sumber: How To Geek