Semak Status Halal Lebih Mudah Dengan Imbas Kod QR Pada Aplikasi SmartHalal

Bagi rakyat yang beragama Islam terutama di Malaysia amat menitik beratkan status halal bagi sesuatu produk makanan.

Kita boleh lihat sejak dari dulu lagi hingga sekarang, setiap produk yang dikatakan tidak halal pasti akan tular dengan begitu pantas dan menjadi topik perbualan hangat wargamaya.

Namun, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hari ini telah melancarkan kod QR yang mana ia boleh diimbas menerusi aplikasi SmartHalal untuk mengetahui status produk makanan tersebut.



Selain itu, dengan sekali imbas kod QR itu, pengguna juga dapat memperoleh pelbagai maklumat pensijilan halal yang dikongsikan.

Pengguna tidak perlu risau kerana aplikasi ini dibangunkan berdasarkan Sistem Pensijilan Halal Malaysia (MYeHALAL) serta hasil kerjasama SKMM, JAKIM dan Jabatan Agama Negeri (JAIN).

Tambahan lagi, aplikasi ini turut memberikan maklumat berkaitan industri halal, carian lokasi melalui google map, waze dan carian dengan kod QR.

Di samping itu, JAKIM juga akan terus komited dalam mengemaskini dan menambah baik sistem ini bagi memastikan ia kekal relevan pada masa akan datang.

Aplikasi SmartHalal boleh dimuat turun di Google Play Store dan juga App Store.

Sumber: Bernama