22 April pada setiap tahun merupakan hari yang istimewa kerana dunia telah mewartakan hari ini sebagai Hari Bumi sedunia. Sempena hari yang istimewa ini, saya berkongsi fakta-fakta menarik tentang planet biru ‘kecil’ kita ini.
1. Planet Bumi Bukan Berbentuk Sfera Yang Sempurna
Saya yakin mungkin tidak ramai daripada anda menyedari akan perkara ini dan memikirkan Bumi berbentuk bulat seperti saya. Namun, National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) menyatakan graviti bergerak ke arah pusat ketika Bumi berputar.
Sementara itu, daya sentrifugal yang berserenjang dengan paksi Bumi bergerak ke arah luar. Oleh itu, ini menghasilkan bentuk yang sedikit senget atau berbentuk ellipsoid.
2. Bumi Berumur 4.54 Bilion Tahun.
Rupanya planet kita ini sudah begitu tua dan menyambut berkali-kali hari lahirnya. National Center for Science Education telah berjaya menentukan anggaran umur Bumi melalui pentarikhan batu dan meteorit yang ditemui di Bumi.
3. Ukur Lilit Bumi Adalah 40,075km
Jumlah ukur lilit khatulistiwa Bumi melebihi 40 ribu kilometer. Hal ini terjadi kerana graviti Bumi dan daya sentrifugal telah membuatkan saiznya berbentuk seperti bulat yang tidak sempurna atau sfera yang terhimpit.
4. Bumi Mempunyai Graviti dan Medan Graviti Yang Tidak Sekata.
Disebabkan Bumi mempunyai bentuk yang tidak sempurna dan tidak sekata, jadi jisim yang teragih juga menjadi tidak sempurna. Oleh itu, sesetengah kawasan mempunyai anomali graviti seperti tarikan graviti yang rendah berbanding kawasan lain. Sebagai contohnya di Hudson Bay, Kanada.
5. Tempoh Sehari Di Bumi Semakin Meningkat
Berbilion tahun terdahulu, tempoh sehari di Bumi hanya 6 jam sahaja. Pada masa kini, kita mengalami tempoh masa selama 24 jam sehari dan ia akan meningkat sedikit demi sedikit. Bumi akan mengalami peningkatan hari sebanyak 1.7 milisaat setiap abad.
6. Manusia Mempunyai Berat Yang Berbeza Bergantung Di Mana Mereka Berada
Sekiranya anda menimbang jisim anda di khatulistiwa, berat yang tercatat lebih rendah berbanding jika anda berada di kutub Bumi. Walau pun begitu, perbezaannya tidaklah besar kerana jisim anda di khatulistiwa lebih ringan 0.5 peratus berbanding di kutub Bumi.
7. Purata 6,000 Petir Menyambar Bumi Setiap Minit
Anggaran tersebut diambil dari data seluruh dunia dan bukan dari satu tempat sahaja. Ertinya, ada suatu tempat di Bumi ini sedang disambar petir ketika anda sedang membaca penulisan saya ini.
8. Cahaya Matahari Memerlukan 8 Minit Dan 19 saat Untuk Tiba Di Bumi.
Secara purata, cahaya bergerak pada kelajuan 300,000 km sesaat. Tetapi, dek kerana jarak 150 juta kilometer yang jauh diantara Matahari dan Bumi, cahaya Matahari memerlukan sekitar 8 minit untuk sampai ke planet kita ini.
9. Aurora Merupakan Fenomena Bumi Yang Paling Cantik.
Aurora juga dikenali sebagai Cahaya Selatan, Cahaya Utara, Aurora Borealis atau Aurora Australias. Aurora berlaku apabila zarah dari Matahari berlanggar dengan atmosfera Bumi di kawasan kutub. Oleh itu, perlanggaran tersebut menghasilkan cahaya pelbagai warna yang seakan menari-nari dilangit.
10. Bumi Mengalami Pembalikan Kutub Setiap 200,000 hingga 300,000 Tahun.
Secara purata, kutub di Bumi akan mengalami pembalikan setiap 200,000 hingga 300,000 sekali. Fenomena ini dicatatkan bermula sejak 20 juta tahun dahulu.
Pada tahun 2012 lepas, ia telah menandakan 2 kali ganda lebih lama sejak Bumi mengalami pembalikan terakhir. Di samping itu, NASA telah mengesahkan bahawa Kutub Utara Bumi perlahan-lahan bergerak ke arah Utara.
Sejak awal abad ke 19, Kutub Utara telah bergerak lebih 966 km ke arah Utara. Kini, ia sedang bergerak dengan anggaran jarak sebanyak 64 km setiap tahun.
Sumber: Parade
Baca juga: