Apabila kita mendengar perkataan ‘ribut’, apa yang terlintas di fikiran kita adalah langit yang gelap, guruh berdentum-dentam, kilat sambar-menyambar dan petir sabung-menyabung. Tetapi pernah tak anda terfikir akan ribut suria dan apa sebenarnya ia?
Pada Isnin 14 Mac hari itu, terdapat pengumuman daripada NASA bahawa planet kita akan berlanggar dengan ribut suria agak kuat dan kawasan yang berada di latitud tengah berpeluang untuk menyaksikan kejadian aurora. Kesan ribut suria itu dapat dilihat pada sekitar waktu malam yakni dari senja membawa ke subuh.
Matahari merupakan bintang yang terdekat dengan planet kita dan merupakan pusat kepada sistem suria kita. Selain itu, terdapat banyak kejadian kosmik yang dihasilkan oleh bintang terdekat kita ini.
Apakah itu Ribut Suria (Solar Storm).
Ribut suria adalah istilah yang digunakan oleh para cendekiawan terhadap kesan atmosfera yang dirasai oleh planet kita apabila terkena dengan aktiviti-aktivit Matahari.
Secara ringkas, ribut suria berlaku apabila matahari mengeluarkan satu letupan tenaga yang besar dalam bentuk suar suria (solar flare) dan coronal mass ejection (CME).
Kedua-dua fenomena ini mempercepatkan partikel subatomik yang dipanggil sebagai solar energetic particle (SEP). Ketiga-tiga kejadian inilah yang menghasil dan membentuk ribut suria.
Apakah itu Pelepasan Jisim Koronal (CME).
Atmosfera luar Matahari mempunyai binaan medan magnet yang kuat, kadangkala di situ akan terhasil satu letusan yang sangat kuat ke arah luar angkasa. Letusan ini terdiri daripada gas, plasma dan medan magnetik yang dipanggil sebagai CME.
Dalam sesetengah kes, letusan ini sangat besar sehingga mempunyai berbillion ton jirim padanya dan boleh memecut pada kelajuan berjuta kilometer per jam. Kebiasaannya CME terhasil bersama dengan suar suria tetapi ia juga boleh meletus dengan sendiri.
Apakah itu Suar Suria (Solar Flare).
Suar suria adalah satu letupan yang sangat kuat yang terjadi pada matahari dimana ia menukarkan tenaga magnetik Matahari kepada haba dan cahaya. Selain itu, suar suria juga mempercepatkan kelajuan partikel yang terdapat di sana seperti proton, elektron dan partikel berat yang lain.
Jangan memandang rendah akan fenomena ini kerana satu nyalaan suria mempunyai kuasa letupan berbillion kali ganda kuatnya berbanding bom nuklear kita. Jadi, suar suria merupakan kejadian letupan paling berkuasa yang ada di sistem suria kita ini.
Tambahan lagi, nyalaan suria mampu memanaskan plasma dengan cepat sehingga mencecah suhu 60 juta darjah celsius dan mampu bergerak pada kelajuan mencecah jutaan kilometer per jam.
Apakah itu Partikel Bertenaga Suria (SEP).
Partikel bertenaga suria ini adalah partikel plasma yang bergerak laju hasil daripada tenaga besar yang di lepaskan daripada fenomena nyalaan suria. Jangan terkejut bahawa partikel ini benar-benar laju dan ia boleh mencecah kelajuan sehingga 80% daripada kelajuan penuh cahaya bergerak.
Di samping itu, seperti yang saya ceritakan tadi bahawa CME boleh bergerak dengan pantas dan apabila ia berlaku, CME boleh menghasilkan kejutan besar dan seterusnya menghasilkan partikel bertenaga suria.
Apa yang terjadi apabila fenomena ini melanggar Bumi?
Planet Bumi kita ini mempunyai medan magnet yang bertindak sebagai perisai untuk melindungi kita daripada partikel yang berbahaya ini. Medan magnet ini menapis dan memantul partikel-partikel yang berbahaya kepada hidupan di sini.
Tanpa medan magnetik ini, semua hidupan di planet ini akan mati dek kerana sinaran radiasi yang tinggi dan berbahaya daripada Matahari.
Apabila partikel-partikel ini berlanggar dengan medan magnetik Bumi, tenaga yang terhasil bergerak di sepanjang sempadan perlanggaran di antara partikel ini dan medan magnetik Bumi.
Untuk pengetahuan anda, medan magnetik Bumi agak lemah di Kutub Utara dan Selatan dan sesetengah partikel mampu memasuki atmosfera Bumi dan berinteraksi dengan partikel gas kita seperti oksigen dan nitrogen. Hasil interaksi tersebut terjadilah cahaya yang menari-nari yang kita panggil sebagai aurora.
Dalam sesetengah kes, kesan ribut suria ini agak besar sehingga ia boleh mengganggu satelit kita di angkasa, gangguan komunikasi, kegagalan kuasa dan peningkatan kadar radiasi.
Saya berharap penulisan ini sedikit sebanyak dapat membantu anda memahami kejadian angkasa yang berlaku di Matahari kita.
Sumber: Nasa, The Science Times, YouTube, Kosmo
Baca juga: