Sejumlah 2706 Pelanggan Streamyx Menolak Untuk Dinaik Taraf Kepada Rangkaian Gentian Optik Sepanjang 2020 Lalu






Telekom Malaysia Berhad (TM) telah dianugerahkan untuk melaksanakan Projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara 5 (NFCP 5).

Pelan tersebut bertujuan untuk menaik taraf pengguna jalur lebar Streamyx (tembaga) TM kepada akses rangkaian jalur lebar gentian optik di kawasan Sasaran Perkhidmatan Sejagat (UST) di seluruh negara.





Sehingga 31 Disember 2020, TM telah menaik taraf sejumlah 22,398 pelanggan Streamyx mereka kepada rangkaian jalur lebar gentian optik.

Jumlah itu hanyalah sebahagian kecil sahaja daripada pelanggan Streamyx yang berjumlah 933,724 pelanggan kesemuanya.

Pihak TM dijadualkan perlu menyiapkan projek NFCP 5 ini dalam tempoh 2 tahun iaitu bermula dari 15 Mac 2020.

Walaubagaimanapun, tidak semua pelanggan mereka memilih untuk menaik taraf kepada rangkaian tersebut.

Hasil laporan yang dibentangkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam Laporan Tahunan 2020, Pemberian Perkhidmatan Sejagat, sejumlah 2,706 pelanggan Streamyx telah menolak untuk dinaik taraf.

Malah terdapat sejumlah kecil pelanggan Streamyx iaitu 102 pelanggan telah memilih untuk beralih kepada perkhidmatan lain.



Sumber: Laporan Tahunan 2020, Pemberian Perkhidmatan Sejagat