Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Sebelum Semak Kelayakan BUDI Diesel, Ini Yang Perlu Diketahui

Posted on Jun 23, 2026Jun 23, 2026

Kerajaan kini mengumumkan pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) yang akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2026. Menerusi pelaksanaan ini, mekanisme subsidi diesel akan diseragamkan di seluruh negara dengan BUDI Diesel diintegrasikan bersama BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Di bawah mekanisme baharu ini, pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak akan menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter melalui pengesahan MyKad di semua stesen minyak di Malaysia.

Seiring dengan itu, semakan status kelayakan dan had kelayakan bulanan telah pun dibuka, manakala akses awal BUDI Diesel akan mula diberikan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia pada 27 Jun.

Namun begitu, sebelum membuat semakan, terdapat beberapa perkara penting yang perlu difahami terlebih dahulu mengenai mekanisme baharu ini, termasuk perubahan kaedah subsidi, syarat kelayakan dan cara penggunaannya.

BUDI Diesel tidak lagi menggunakan bantuan tunai

Perubahan paling besar di bawah mekanisme baharu ini melibatkan cara subsidi diesel disalurkan.

Bagi penerima sedia ada BUDI Diesel Individu, bantuan tunai bulanan RM400 akan digantikan dengan subsidi diesel secara langsung ketika pembelian di stesen minyak menggunakan MyKad. Peralihan ini dibuat secara automatik tanpa perlu mengemukakan permohonan baharu.

Siapa yang layak?

Bagi menikmati diesel pada harga bersubsidi, individu perlu merupakan warganegara Malaysia yang mempunyai MyKad dan lesen memandu yang masih aktif. Pengguna juga perlu memiliki kenderaan diesel persendirian yang didaftarkan atas nama sendiri dengan cukai jalan yang masih sah.

Status kelayakan akan dikemas kini secara automatik melalui semakan silang dengan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) secara mingguan. Oleh itu, pemilik kenderaan yang memenuhi syarat tidak perlu mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kelayakan asas.

Bagaimana had kelayakan digunakan?

Setiap individu yang layak akan menerima satu had kelayakan asas BUDI MADANI yang ketika ini ditetapkan sehingga 200 liter sebulan.

Had ini tidak diasingkan antara RON95 dan diesel. Sebaliknya, kedua-duanya berkongsi kuota yang sama. Sebagai contoh, jika seseorang layak menerima subsidi 200 liter sebulan, kuota itu boleh digunakan untuk membeli RON95, diesel atau gabungan kedua-duanya mengikut keperluan.

Walau bagaimanapun, penggunaan kuota secara fleksibel bagi pembelian RON95 dan diesel hanya terpakai kepada penerima BUDI MADANI yang memiliki kenderaan diesel persendirian serta kumpulan sasar selain kenderaan seperti nelayan, pengusaha bot, pengguna genset dan pam air.

Tambahan 100 liter untuk pemilik pikap/jip

Bagi pemilik kenderaan diesel persendirian jenis pikap atau jip, kelayakan tambahan sebanyak 100 liter sebulan boleh diperoleh, menjadikan jumlah keseluruhan sehingga 300 liter sebulan.

Pemilik yang merupakan penerima sedia ada BUDI Diesel Individu akan menerima kelayakan tambahan ini secara automatik, manakala pemilik pikap atau jip lain yang layak perlu mengemukakan permohonan melalui portal BUDI MADANI.

Apa berlaku jika had kelayakan habis atau tidak digunakan?

Sekiranya had kelayakan bulanan telah digunakan sepenuhnya, pembelian diesel atau RON95 seterusnya akan dikenakan pada harga tanpa subsidi sehingga had kelayakan diperbaharui pada awal bulan berikutnya.

Baki had kelayakan yang tidak digunakan pula tidak boleh dibawa ke bulan seterusnya dan akan luput pada penghujung bulan.

Bagaimana pembelian dibuat?

Pengguna yang layak boleh membeli diesel bersubsidi menggunakan MyKad di stesen minyak yang mengambil bahagian.

Selain MyKad, pembelian juga boleh dibuat melalui TNG eWallet atau aplikasi syarikat minyak yang menyokong BUDI MADANI selepas pengguna melengkapkan proses pengesahan identiti (e-KYC). Pembayaran pula boleh dibuat seperti biasa menggunakan wang tunai, kad debit, kad kredit atau e-dompet yang disokong..

Cara semak kelayakan

Semakan status dan had kelayakan bulanan boleh dibuat melalui portal rasmi BUDI MADANI bermula 22 Jun. Pengguna hanga perlu klik pada bahagian “Semak Kelayakan Individu” dan masukkan nombor MyKad.

Selain portal, pengguna juga boleh membuat semakan melalui TNG eWallet atau aplikasi syarikat minyak yang menyokong BUDI MADANI selepas melengkapkan proses e-KYC.

Bagi pemilik kenderaan diesel persendirian jenis pikap atau jip yang layak tetapi belum menerima kelayakan tambahan secara automatik, permohonan tambahan 100 liter sebulan turut boleh dibuat melalui portal BUDI MADANI bermula tarikh yang sama.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress