Scrut Membantu Pengguna Mengetahui Status Sebenar Kenderaan Import Terpakai Dari Jepun

Kini anda tidak lagi mudah tertipu apabila membeli kereta import terpakai dari Jepun.


Sebuah laman terbaru bernama Scrut.my telah dilancarkan oleh pembangun Ifcon Technology Sdn. Bhd.

Ia merupakan sebuah laman sesawang yang membolehkan orang ramai, khususnya bagi mereka yang mahu mendapatkan laporan asal dari proses lelongan berkaitan kenderaan terpakai (recond) yang dieksport keluar dari negara Jepun.

Jika sebelum ini, laporan lengkap keadaan kenderaan lelong dari Jepun ini hanya mampu diakses oleh syarikat pembida berdaftar ketika sesi bidaan sahaja.

Tetapi kini dengan hanya melayari laman Scrut.my, pembeli awam juga sudah boleh mendapatkan laporan lengkap status sesebuah kenderaan import dari Jepun.

Sekaligus akan membantu pembeli mengenali kenderaan terpakai itu mengikut gred kesempurnaan, sama ada ia adalah dari Gred A sehingga Gred E.

Jadi, pembeli juga tidak lagi tertipu dengan penjual yang tidak bertanggungjawab seperti menyatakan bahawa kenderaan import Jepun tersebut tidak pernah mengalami kemalangan, kononnya jumlah perbatuan yang rendah serta harga yang lebih berpatutan berdasarkan keadaan kenderaan import terpakai tersebut.

Untuk menyemak laporan lengkap terhadap model kenderaan yang dikehendaki, anda hanya perlu memasukkan nombor chasis kenderaan atau nombor pengenalan kenderaan (VIN) pada laman Scrut.my.

Setiap laporan pula adalah berharga 50 kredit atau bersamaan dengan RM50.

Buat masa ini, anda hanya boleh menyemak kenderaan terpakai yang diimport dari Jepun sahaja. Model tahun kenderaan yang boleh disemak pula adalah kenderaan dari keluaran tahun 2007 dan terbaru sahaja.

Anda boleh dapatkan info lanjut tentang Scrut.my dengan melayari laman sesawang tersebut.