Satu Lagi Penyiar TV Satelit Mungkin Dilancarkan Pada Jun Hadapan

Terdahulu, penyiaran saluran TV secara satelit hanya eksklusif diberikan kepada Astro dan ia telahpun tamat pada 28 Februari 2017.

Syarikat pengendali terbabit masih berhak meneruskan aktiviti penyiaran, berdasarkan lesen-lesen yang dimiliki dibawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang sah sehingga 1 Februari 2020.

Berita pada November tahun lalu, ada menyebut empat syarikat lain telah diberikan lesen perkhidmatan penyiaran TV platform satelit selain Astro iaitu, Ansa Broadcast Sdn Bhd, Jaringan Mega Sdn Bhd, Smart Digital International (M) Sdn Bhd dan High End Net Sdn Bhd.

Salah satu daripadanya, Smart Digital dilihat sedang bersiap sedia membuat pra-pelancaran pada bulan Jun hadapan. Berdasarkan laman web, ia bakal dikenali sebagai Sirius TV dan akan menyediakan 30 saluran serta 60 program video harian.



Selain itu, turut dimaklumkan bahawa tarikh baru pelancaran tertakluk kepada kelulusan jenis Set-Top-Box dan ujian akan dijalankan pada pertengahan Mei tanpa sebarang kos dikenakan.

Namun begitu, laman web itu tidak menyediakan sebarang platform komunikasi atau Q&A untuk pengguna mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan ini. Untuk itu, sama-sama kita nantikan Smart Digital International (M) Sdn Bhd perkongsian lebih terperinci menjelang pra-pelancaran tersebut.

via: Lowyat.net