Samsung Mengumumkan Secara Rasmi Peranti Mampu Milik Dengan Skrin AMOLED

Syarikat telekomunikasi Korea Selatan, Samsung hari ini telah mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan peranti Samsung Galaxy A6 dan A6+ tidak lama lagi. Kedua-dua peranti ini akan menggunakan paparan skrin Super AMOLED yang biasanya memberikan kualiti paparan yang mengagumkan dengan harga yang mampu milik.



Peranti yang menggunakan paparan skrin jenis ini biasanya akan mempunyai harga yang agak tinggi berikutan kos menggunakan skrin tersebut agak mahal berbanding skrin LCD. Peranti lain yang menggunakan skrin Super AMOLED sebelum ini antaranya ialah Samsung Galaxy S9 dan Apple iPhone X. Antara ciri istimewa skrin ini ialah penggunaan kuasa yang lebih bijak selain paparan yang lebih cerah.

Selain daripada itu, kedua-dua peranti ini akan menggunakan sistem operasi Android 8.0 Oreo. Berkaitan kapasiti memori pula, Galaxy A6 akan mempunyai dua pilihan variasi iaitu 3GB RAM + 32GB ROM atau 4GB RAM + 64GB ROM. Kedua-duanya akan menyokong fungsi kad mikroSD sehingga 256GB untuk ruang simpanan tambahan .



Dari segi spesifikasi lain pula, terdapat perbezaan di antara keduanya dengan spesifikasi bagi Samsung Galaxy A6+ ternyata lebih baik berbanding Galaxy A6. Bermula dengan cip pemprosesan, model A6 akan disokong oleh cip Exynos 7870 dengan Octa-core 1.6GHz sementara A6+ pula akan menggunakan cip Qualcomm Snapdragon 625 dengan Octa-core 1.8GHz.

Berkenaan dengan saiz paparan pula, Galaxy A6+ adalah peranti yang lebih besar berbanding Galaxy A6 dengan masing-masing mempunyai saiz paparan 6.0 inci dan 5.6 inci. Kedua-duanya adalah merupakan paparan dengan nisbah 18.5:9, namun Galaxy A6 hanya mempunyai paparan definisi tinggi(HD) berbanding definisi tinggi penuh(Full HD) pada model Galaxy A6+. Tidak lupa juga kedua-dua peranti menggunapakai paparan Infinity Display.



Dari segi kamera pula, peranti Galaxy A6 akan hadir dengan kamera utama 16MP dengan bukaan aperture f/1.7 dan kamera hadapan 16MP dengan f/1.9 bukaan aperture. Manakala bagi peranti Galaxy A6+ pula, ia akan menggunakan dwi-kamera utama yang menggabungkan lensa 16MP + 5MP Live Focus yang menyokong fungsi bokeh. Bagi kamera hadapan pula, model peranti ini akan mempunyai kamera 24MP dengan bukaan aperture f/1.9.

Samsung Galaxy A6+ turut akan memiliki kapasiti bateri yang lebih besar iaitu 3,500 mAh berbanding peranti Galaxy A6 yang cuma memliki bateri berkapsiti 3,000 mAh sahaja. Kedua-dua peranti ini dijangka akan menembusi pasaran beberapa buah negara di Asia, Eropah dan Amerika Selatan terlebih dahulu pada bulan ini sebelum memasuki pasaran Korea Selatan, Afrika dan China.



Buat masa ini, masih belum ada maklumat berkenaan harga pasaran kedua-dua peranti ini serta tarikh kemasukannya ke pasaran Malaysia. Samsung pasti akan mengumumkan berkenaan perkara ini dalam majlis memperkenalkan peranti ini kelak. Teruskan mengikuti laman sesawang rasmi Samsung dan akaun Facebook mereka untuk maklumat lanjut.

Sumber