Samsung Kekal Sebagai Peneraju Pasaran Telefon Pintar, Apple Sedikit Menurun

Walaupun dilanda dengan pelbagai masalah terutama sekali berkaitan model Note 7 yang meletup tahun lalu, Samsung tampak yakin dengan kekal sebagai peneraju pasaran telefon pintar dunia bagi tahun ini.

Berdasarkan data baru yang diperoleh, Samsung meningkat pegangan saham pada tahun ini lebih baik berbanding tahun sebelumnya. Pesaing utama, Apple, mengalami sedikit kemerosotan sementara jenama dari China, OPPO semakin bertambah baik.

Dilaporkan juga, sejumlah 334.3 juta unit telefon pintar telah dihantar ke pasaran seluruh dunia antara bulan Januari dan Mac 2017. Pada hakikatnya pasaran telefon pintar dunia sedikit lembap tetapi permintaan tinggi bagi peranti mudah alih terutama model flagship.

Faktor lain yang turut menyumbang kepada kejayaan Samsung adalah model Galaxy S8, telefon pintar terbaik dipasaran setakat ini. Model ini berjaya mengembalikan kepercayaan pengguna selepas insiden memalukan tahun lalu yang melibatkan Note 7.



Ibarat musuh tradisi kepada Samsung, jumlah penghantaran iPhone menyaksikan penurunan daripada 51.2 juta suku pertama tahun lalu kepada 50.7 juta bagi tahun ini. Tetapi mungkin angka ini akan berubah apabila syarikat berpengkalan dari Cupertino itu sedang giat dalam usaha menyiapkan flagship terbaru bersempena dengan ulangtahun ke 10 iPhone dipasarkan.

Menduduki tangga ke-3, Huawei diekori syarikat dari negara yang sama, OPPO. Kedua-dua jenama dari China ini dilihat terus memperkukuhkan pegangan pasaran global.

Bagi sistem operasi pula, sudah tentu Android mendominasi dengan 85% pegangan pasaran, meningkat 1.6% berbanding tahun lalu. IOS pula menurun daripada 15.4% (suku pertama 2016) kepada 14.7 untuk tahun ini.

Sepertimana yang telah diberitakan beberapa hari yang lalu, pasaran Windows Phone yang dihentikan pemasarannya terus merosot dan pelbagai pihak beranggapan, masa depan Microsoft dalam pasaran mudah alih ini tidak begitu baik.

Sumber: IBTimes