Salah Sebuah Syarikat Pembekal Peralatan Untuk Pesawat Pejuang F-35 Dicurigai Mungkin Melakukan Aktiviti Pengintipan

Dakwaan tersebut timbul selepas didapati ia mempunyai kaitan dengan syarikat dari China yang disyaki mampu mengintip data pesawat pejuang tersebut yang digunakan oleh tentera A.S dan U.K.


Jika sebelum ini syarikat-syarikat teknologi dari China, khususnya Huawei yang dikatakan mengintip kerajaan A.S menerusi peranti keluaran mereka. Kini timbul pula dakwaan yang mengatakan bahawa syarikat pembekal peralatan yang digunakan dalam pesawat pejuang F-35 dicurigai mempunyai kaitan dengan kerajaan China.

Dakwaan tersebut timbul selepas Exception PCB yang berpangkalan di U.K telah dibeli oleh syarikat Shenzhen Fastprint Circuit Tech Co., Ltd. yang berpangkalan di China pada tahun 2013 lalu.

Mereka merupakan salah satu syarikat yang membekalkan papan litar elektronik bagi mengawal pelbagai sistem keupayaan pesawat F-35.

Antara sistem yang dikawal oleh peralatan elektronik syarikat tersebut adalah seperti sistem enjin, lampu, minyak dan sistem navigasi bagi F-35.

Menurut Clarke Ince, Pengarah Hallmark Electronics, ia adalah sesuatu yang tidak mustahil untuk sesebuah syarikat pembekal memuatkan teknologi seperti cip pemprosesan asing tanpa pengetahuan pelanggan mereka ke atas papan litar yang boleh mempengaruhi cara sesebuah produk berfungsi.

Malah beliau berpendapat, adalah suatu yang berisiko dengan membenarkan syarikat yang punya kaitan dengan kerajaan China terlibat sama dalam pembangunan pesawat F-35.

Respon terhadap dakwaan tersebut, jurucakap bagi pihak Exception PCB menegaskan bahawa penghasilan papan litar yang dibekalkan mereka kepada pesawat tersebut adalah bebas daripada rantaian risiko intipan.

F-35 dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin yang membangunkan pelbagai teknologi khususnya untuk peralatan perang yang berpangkalan di A.S. F-35 merupakan program pembangunan pesawat pejuang termaju yang pernah dibangunkan A.S yang mana ia turut melibatkan kerjasama dari beberapa buah negara seperti UK, Itali, Belanda, Australia, Kanada, Denmark, Norway, Turkey, Israel, Jepun dan Korea Selatan.

Pesawat F-35 bukan sahaja yang termaju, tetapi juga merupakan yang ternahal di dunia. Dilaporkan, harga bagi sebuah F-35 adalah berharga dari USD148 juta (harga tahun 2015).

Kapsyen: Info model terbaru pesawat pejuang F-35B yang dibeli oleh kerajaan U.K. Sumber: The Sun.Co.UK


Antara tentera udara negara yang memiliki pesawat ini pula adalah seperti A.S, U.K, Jepun dan Israel. Baru-baru ini telah berlaku kemalangan melibatkan pesawat tersebut yang telah meragut nyawa seorang juruterbang tentera Jepun.

Laporan berkenaan kemalangan itu juga telah dikeluarkan dan didapati kemalangan itu berpunca daripada kesilapan juruterbangnya, bukan disebabkan oleh kegagalan mekanikal pesawat tersebut.

Sumber: The Sun.Co.UK

Berkaitan