Ribut Solar Terburuk Diramalkan Akan Berlaku Pada 25 Julai 2025

Pada 9 Februari lalu telah dilaporkan tentang 40 buah satelit Starlink milik SpaceX yang terkesan dengan fenomena ribut solar sehingga menyebabkan kerosakan pada satelit-satelit tersebut.

Insiden itu berlaku hanya sehari selepas satelit-satelit itu dilancarkan ke angkasa lepas. Menurut SpaceX, ribut solar yang berlaku itu telah meningkatkan suhu dan ketumpatan atmosfera Bumi secara mendadak.

Sekaligus mengganggu keadaan orbit satelit Starlink yang berada pada jarak 210 kilometer dari Bumi

Akibatnya, pihak Starlink memaklumkan mereka terpaksa mengeluarkan satelit mereka itu dari kedudukan orbitnya dan dibawa masuk semula ke ruang atmosfera Bumi bagi memusnahkan satelit-satelit tersebut.

Insiden itu sekaligus merekodkan kerosakan satelit terbesar pernah berlaku akibat daripada satu kejadian ribut solar setakat ini.

Kerosakan akibat ribut solar seperti yang berlaku baru-baru ini bukanlah kali pertama.

Sebelum ini dalam bulan September 1859, sistem telegraf meliputi Amerika Utara dan Eropah telah gagal berfungsi kesan daripada kejadian ribut solar. Malah dilaporkan sebahagian operator yang bekerja pada masa kejadian telah mengalami kejutan elektrik.

Kejadian ribut solar dalam bulan Mac tahun 1989 pula telah menyebabkan kegagalan kuasa di Quebec, Kanada.

Manakala insiden ribut solar yang berlaku pada lewat bulan Oktober 2003 dahulu telah memberi kesan ke atas lebih separuh satelit yang mengorbit Bumi sehingga menggangu perkhidmatan Global Positioning System (GPS), industri penerbangan dan komunikasi antara Amerika Utara, Asia sehingga meliputi Kutub Utara.

Kejadian itu merupakan ribut solar ke-6 terbesar yang pernah direkodkan dalam tempoh lebih 70 tahun pernah dialami Bumi.

Ekoran daripada insiden ribut solar yang berlaku baru-baru ini, komuniti saintifik kini bertambah bimbang kerana kejadian ribut solar dijangka akan meningkat dalam tempoh beberapa tahun ini apabila Matahari kini semakin hampir lengkapi kitaran 11 tahun medan magnetiknya yang dikenali sebagai tompokan Matahari.

Menurut saintis, berdasarkan pemerhatian ke atas data yang diperolehi, mereka meramalkan kemuncak kitaran ribut solar akan berlaku dalam bulan Julai tahun 2025 nanti.

Sumber: Science Alert, Forbes, Space Weather Prediction Center, VOAnews, National Oceanic And Atmospheric Administration

Baca juga: