Carl Pei, pengasas Nothing semalam dalam Nothing (event) telah mengumumkan secara rasmi tentang telefon pertama mereka, Nothing phone (1). Ini merupakan produk kedua daripada syarikat tersebut.
Terdahulu, Nothing telah mengambil alih Essential, sebuah pengeluar telefon yang diasaskan oleh Andy Rubin. Untuk yang tidak maklum, Andy Rubin ialah salah seorang daripada pencipta sistem operasi Android.
Bagi pengikut teknologi dan penggemar gadget, nama Carl Pei mempunyai level of respect yang agak tinggi kerana kaitannya dengan OnePlus. Daripada tindakannya keluar daripada OnePlus dan apa terjadi pada syarikat itu kini, kita dapat meneka bahawa beliau sudah tidak sehaluan dengan visi dan misi anak syarikat BKK itu.
Kembali pada Nothing, secara peribadi saya melihat kita atau mungkin Carl Pei, hanya seronok dibuai hype hanya kerana masih ada sentimen ‘OnePlus’ yang pernah diterajuinya dulu.
Semua peminat Android sekurang-kurangnya mengiktiraf kehebatan OxygenOS, mengagumi status ‘flagship’ killer seawal kemunculannya, tetapi Carl Pei ‘bukan lagi’ OnePlus.
Sejak Nothing ditubuhkan, apa produknya yang benar-benar berkualiti? Daripada ulasan pengulas seantero dunia, Nothing ear (1) memberikan kualiti audio agak baik, sesetengahnya berpendapat biasa-biasa sahaja, namun harganya boleh bikin mata terbeliak (RM499).
Ia sangat tidak munasabah kerana dengan harga sebegitu, kita dapati lebih banyak model daripada jenama lain boleh memberikan prestasi lebih baik pada harga yang sama.
Sebagai sebuah produk audio (antara yang ditekan Carl Pei semalam), kualiti audiolah sepatutnya menjadi keutamaan bersesuaian dengan harga namun daripada pengamatan saya, Nothing ear (1) hanya menjadikan rekaan lutsinar sebagai prioriti untuk menarik pembeli.
Dalam acara semalam, boleh saya katakan memang tidak ada apa-apa yang signifikan diumumkan, mereka benar-benar mengamalkan falsafah ‘nothing’. Dari satu sisi, ia kreatif namun dari sisi lain, ia merupakan perkara sia-sia dan sememangnya diberi tumpuan kerana hype semata-mata.
Kalau bukan Carl Pei yang mengasaskan Nothing, apakah kita akan mengambil peduli tentangnya?
Tiada sebarang spesifikasi penting, reka bentuk mahupun apa-apa yang penting untuk kita “Wah!”, sebaliknya Carl Pei hanya memberitahu tentang cip Snapdragon, sedikit perkongsian tangkap layar antara muka, ekosistem yang dikhabar lebih terbuka dan kerjasama dengan syarikat lain seperti Samsung, Sony.
Antara yang menarik mungkin launcher Nothing yang akan tersedia di Play Store bulan hadapan, tapi kalau tidak jauh beza daripada Android vanilla, maka lebih baik guna Nova dan yang lain-lain yang sudah terkemuka.
Namun, apa yang saya suka tentang Nothing ialah keseragaman tema dan rekaan mereka seperti penggunaan dot matriks. Ini konsisten sejak Nothing ear (1) dan dilihat hadir juga ke antara muka telefonnya.
Anda boleh baca di sini tentang apa yang berlaku dalam acara Nothing (event) semalam.
Berkenaan ciri-ciri diumumkan, kalau diberitakan sebagai ura-ura pun, ramai yang tidak berminat. Hal ini kerana semua telefon berkuasa mengguna Snapdragon, malah antara muka Nothing OS setakat ini pun kelihatan biasa-biasa, ekosistem dikatakan tidak diaplikasikan lagi, jadi apa yang benar-benar bermanfaat untuk diketahui?
Bukan hanya sentimen OnePlus, tetapi pasukan pemasaran Nothing sememangnya melakukan kerja yang baik dengan segala hint dan hype disebarkan seluruh dunia, namun apabila produk itu sendiri tidak mencapai kualiti setanding harga atau jangkaan pengguna, teknik pemasaran ini akan memakan diri, seperti yang terjadi pada Nothing ear (1).
Apabila kita bercakap soal harga produk Apple yang mahal, ia dijustifikasikan dengan kualiti dan khidmat pelanggan yang sukar dinafikan, bagus. Tapi dengan Nothing, ia dilihat menunggang hype tetapi tidak ada apa-apa ‘isi’ sebenar yang boleh dibangga mahupun diwajarkan untuk harga sebegitu.
Peminat OnePlus dan penyanjung Carl Pei, apakah pendapat anda tentang Nothing?
Baca juga: