Bila kali terakhir anda matikan telefon pintar? Apakah hanya setiap kali telefon mengalamiĀ lag? Ibaratkannya seperti tidur, begitulah peri penting untuk melakukan restart pada telefon anda secara berkala.
Aktiviti restart sering dikaitkan sebagai penyelesaian masalah kerana pengguna selalunya akan melakukannya apabila telefon tidak memberi respons seperti screen freeze, menekan butang tidak memberi apa-apa tindak balas atau lag yang teruk.
Maka, kita akan restart dan masalah-masalah ini akan selesai, sekurang-kurang dalam jangka masa pendek. Tapi, apakah ia hanya perlu dilakukan apabila telefon bermasalah?
Menurut pakar, dengan hanya semudah restart secara berkala, ia dapat memberi kesan drastik dan mengekalkan prestasi peranti pada tahap terbaik. Ia dapat mengelak daripada aplikasi crash, membuatkan keseluruhan operasi sistem berjalan lancar dan memanjangkan hayat bateri.
Untuk jangka masa panjang, ia dapat menjimatkan wang juga kerana anda tidak perlu menukar telefon setiap beberapa tahun hanya disebabkan masalah perisian yang tiada solusi.
Mengapa perlu hidupkan semula (restart)?
Seperti tidur, setiap kali kita bangun, minda kita kosong dan segar, kita bersedia untuk lakukan aktiviti dengan tenaga yang penuh. Sama juga peranti elektronik seperti telefon pintar.
Setiap kali kita mati dan hidupkannya, operasi sistemnya akan berjalan daripada kosong. Jadi, segala keserabutan, glitch dan huru-hara kecil yang terjadi di sebalik tabir juga hilang. Maka, telefon dapat memproses semua data seperti membuka aplikasi dengan lancar.
Terang Bob Motamedi, seorang konsultan teknologi, “Dalam kebanyakan situasi, aplikasi tidak betul-betul ditutup tetapi dalam keadaan bersedia supaya ia dapat dimuatkan lebih pantas selepas itu.”
Ini bukan sahaja memakan RAM tetapi juga bateri tanpa kita sedar.
Bukan itu sahaja, sisa aplikasi selepas nyahpasang yang tidak sempurna juga masih berbaki dalam memori namun tidak dikesan secara kasar.
Selain itu, disebabkan kita tidak dapat melihat proses pengaturcaraan atauĀ coding berlaku di sebalik tabir, mungkin setiap kemas kini, pasang dan nyahpasang aplikasi akan meninggalkan kesan pada proses tersebut lantas mengganggu kelancaran sistem.
{suggest}
Sekerap manakah perlu kita hidupkan semula (restart) telefon?
Sebenarnya, tidak ada kekerapan yang spesifik untuk anda ikuti. Ada yang berpendapat perlu dilakukan sebulan atau seminggu kali. Ada juga berkongsi pengalaman peranti mereka berfungsi pada tahap tertinggi dengan mengamalkannya 2-3 kali sehari.
Namun, pada pandangan kami, ia tidaklah perlu terlalu ekstrem sehingga perlu dilakukan 2-3 kali setiap hari. Jadi, seminggu sekali atau sebulan sekali sudah memadai.
Sumber: Reader’s Digest, Lifehacker