Seperti yang dijangka, Nothing kini mengumumkan produk kedua mereka, iaitu sebuah telefon pintar yang digelar Nothing Phone (1). Ada aura POCO Phone F1? Mungkin juga.
Imbas kembali, Nothing merupakan sebuah syarikat yang ditubuhkan bekas pengasas OnePlus, iaitu Carl Pei. Melaluinya, produk pertamanya akhirnya diperkenalkan kepada umum menerusi Nothing ear (1).
Kini, Nothing meneruskan langkah kanannya yang mana mencuba perkara baharu dan mungkin boleh membuatkan peminat teruja dengan pengumuman Nothing Phone (1).
Biarpun Carl Pei tidak mendedahkan sebarang spesifikasi atau rupa peranti tersebut tetapi ia memberikan gambaran bahawa Nothing Phone (1) seperti cuba memberi nafas baharu dalam arena telefon pintar.
Semasa acaranya tadi, Carl Pei mengatakan telefon pintar pertama Nothing akan menerima ‘jantung’ kuasa daripada Qualcomm Snapdragon. Sistem operasinya pula, ia bakal menjalankan Nothing OS yang mana ia berasaskan Android daripada Google.
Selain Google dan Qualcomm, Nothing juga bekerjasama dengan Sony, Samsung, Visionox dan BYD.
Nothing menjanjikan pengalaman jauh lebih lancar dan menawarkan antara muka lebih menarik seperti font bespoke, warna, elemen-elemen lain serta bunyi audio.
Tambahan lagi, Nothing OS ini juga hadir dengan ekosistem mereka sendiri yang mungkin akan diperluaskan pada masa hadapan. Tidak terhenti di situ, ia turut menyokong aksesori pihak ketiga seperti AirPods dan Tesla di mana pengguna mudah mengaksesnya melalui fungsi quick settings.
Berita baiknya, pengguna dapat menikmati pengalaman menggunakan Nothing OS kerana Nothing Launcher bakal ditawarkan bermula April nanti buat peranti terpilih.
Di samping itu, Nothing Phone (1) turut akan menerima kemas kini sistem operasi (OS) selama 3 tahun dan 4 tahun bagi sekuriti.
Untuk rupa bentuk telefon ini, berkemungkinan ia sudah pun diacah menerusi ilustrasi acara The Truth. Dikhabarkan, apa yang Evan Blass twit tempoh hari itu adalah benar.
Sekiranya ada dalam kalangan anda teruja, terutama peminat OnePlus yang masih belum “setel”, Nothing Phone (1) akan dilancarkan pada musim panas tahun 2022.
Walau bagaimanapun, jangan meletakkan harapan terlalu tinggi terhadapnya. Namun, tetap diharap agar Nothing Phone (1) ini benar-benar memberi revolusi baharu serta mampu mencabar dominasi Apple dan Samsung.