Shark Tank ialah sebuah rancangan realiti TV yang menampilkan beberapa orang juri daripada industri dan peserta yang perlu membentangkan idea mereka untuk mendapatkan pelaburan.
Seperti perniagaan yang lain di mana-mana pun, ia memerlukan modal dan di sinilah Shark Tank hadir, mempertontonkan kepada khalayak bagaimana sesi pitching berjalan.
Pada tahun 2009, iaitu tahun pertama Shark Tank diudarakan, pencipta logo Android iaitu Irina Blok merupakan salah seorang peserta yang cuba mendapatkan keyakinan daripada pelabur iaitu juri.
Juri pada ketika itu terdiri daripada Barbara Corcoran, Kevin O’Leary, Daymond John, Robert Herjavec dan Kevin Harrington. Masing-masing mempunyai nama besar dalam perniagaan dan bidang lain seperti media dan politik.
Membentangkan rekaan pelitup mukanya, Irina meminta dana sehingga $50K dengan pulangan pegangan sebanyak 30%. Dinamakan sebagai Face Blok, ia adalah untuk mereka yang memiliki rasa humor (sense of humour) yang mahu mengekspresikan diri.
{suggest}
Dengan melabel pelitup mukanya sebagai “fashioned surgical mask”, ia ditampilkan dengan beberapa corak seperti hidung khinzir, tengkorak, zip, jambang, tulisan ‘oink’ dan pelbagai lagi. Namun, itu hanyalah contoh awal kerana ia akan dikembangkan lagi pada masa akan datang.
Barbara langsung menolak pelawaan untuk memakai Face Blok manakala Daymond memakai pada kepalanya yang botak. Kevin bagaimanapun memakai Face Blok bercorakkan hidung khinzir tetapi ragu-ragu jika doktor di hospital berminat untuk menggunakannya.
Ditanya berkenaan unsur perubatan dalam pelitup mukanya untuk melindungi pemakai, Irina berkata ciri tersebut akan disertakan selepas mendapat dana atau pelaburan.
Pelbagai soalan lain lagi ditanya untuk memastikan nilai kebolehpasaran pelitup muka Face Blok ini namun jawapan yang diberi tidak cukup menyakinkan.
Hal ini kerana tidak ada senario atau situasi yang benar-benar boleh membuatkan Face Blok menjadi “fashion statement” atau mudahnya fesyen yang signifikan, seperti dijawab Daymond.
Namun, Irina cuba meyakinkan juri dengan memberitahu bahawa terdapat doktor pediatrik yang memuji rekaannya dengan melabel ‘genius’ serta berminat mendapatkan Face Blok. Bahkan, seminggu selepas dilancarkan, ia ditayangkan di Fox News, Sydney Morning Herald serta berjaya dijual beratus-ratus unit.
Beliau juga berkongsi tentang statistik laman webnya di mana ia mencapai 700 ribu lawatan namun O’Leary berpendapat ia disebabkan selsema babi yang menular selama 2 minggu tetapi keadaan telah kembali normal. Ini mungkin merujuk pada flu H1N1 yang menggemparkan dunia pada tahun itu.
Kevin Harrington pula mengakui ia merupakan idea baharu tetapi tidak cukup serius untuk mendapatkan pelaburan atau mendapat tempat penting dalam pasaran.
“Awak perlukan epidemik baharu untuk mendapat sambutan hangat seperti itu lagi,” jelas Kevin O’Leary yang kenyataannya seperti doa jika ditonton pasca 2020.
O’Leary juga mengakui idea tersebut unik tetapi konsepnya tidak cukup meyakinkan untuk mendapat pelaburan.
Kesemua juri akhirnya menolak idea Irina dan beliau pulang dengan tangan kosong.
Robert Herjavec bagaimanapun memberi kata-kata semangat agar Face Blok dijadikan pendapatan sampingan.
“Sasaran saya ialah mereka yang berani untuk mengekspresikan diri dan ada sedikit sense of humour,” jawab Irina dalam wawancara selepas gagal mendapatkan pelaburan.
Bercakap pada Vulture pada 2020, Irina tidak menunjukkan sebarang kesal walaupun dunia hari ini seakan-akan setuju dengan ideanya lebih sedekad lalu.
Dia faham dengan komen juri dan berkata “Kalau kita boleh meramal masa depan, semua orang boleh jadi kaya. Mengeluarkannya secara berskala memerlukan pelaburan masa dan wang yang besar seperti mencetak corak pada pelitup muka, ia bukan perkara mudah.”
Irina mengakui pengalamannya di Shark Tank menyeronokkan walaupun tidak mendapat sebarang dana.
Untuk waktu pandemik yang menuntut manusia memakai pelitup muka, Irina berkongsi hasrat untuk menjualnya semula tetapi masih mencari rakan kongsi untuk penghasilannya secara fizikal.
Anda boleh lawati laman sesawangnya irinablok.com untuk melihat karya-karyanya yang lain.