Rekaan Galaxy Tab S5e Dikatakan Penyebab Kepada Masalah Sambungan WiFi

Galaxy Tab S5e merupakan sebuah tablet yang dilancarkan oleh Samsung pada Februari yang lalu. Ia hadir dengan skrin paparan Super AMOLED berukuran 10.5 inci, pembesar suara quad AKG serta rekaan yang nipis.

Namun begitu, rekaan tablet ini dilaporkan mendatangkan masalah kepada pemilik yang menyebabkan gangguan sambungan WiFi.

Menurut penelitian beberapa pengguna, ia terjadi disebabkan penerima isyarat yang dikatakan berada pada kedudukan bucu kiri tablet (paparan melintang dengan kamera hadapan berada sebelah kiri). Dalam kedudukan ini, isyarat yang diterima terhalang oleh pegangan tangan dan menyebabkan gangguan sambungan.



Oleh disebabkan itu, pengguna disarankan untuk memegang pada kedudukan lain (kamera hadapan berada disebelah kanan) untuk mengelakkan masalah itu dari terjadi.

Ini mungkin bukan isu besar tetapi ia boleh mendatangkan keresahan kepada pengguna yang mungkin menyangka ia berlaku disebabkan perkara lain.

Galaxy Tab S5e sudah mula dijual dipasaran Malaysia dengan harga RM 1999.

Sumber: David Waner