Sedikit demi sedikit perkhabaran mengenai model baru dari Redmi dikongsikan di internet, ia kini akhirnya sudah rasmi diumumkan pada sebuah acara berlangsung di China sebentar tadi.
Diberikan nama sebagai Redmi K20 dan Redmi K20 Pro, kedua-dua model ini dibezakan dari segi spesifikasi yang disertakan padanya.
Bermula dengan peranti flagship, Redmi K20 Pro, memiliki panel belakang kaca, ia dipasang dengan skrin paparan 6.39 inci OLED beresolusi 2340 x 1080 piksel. Skrin paparannya bebas takuk dimana kamera hadapan 20MP terangkat digunakan.
Komponen dalaman pula terdiri daripada cip pemprosesan Snapdragon 855, RAM 6/8GB serta storan pilihan antara 64GB sehingga 256GB. Menemani kamera hadapan terangkat adalah tiga kamera belakang gabungan lensa 48MP (f/1.75, Sony IMX586), 8MP (f/2.4) 2x telefoto, 13MP (f/2.4) ultra lebar. Dari segi janaan kuasa pula, ia dibekalkan dengan bateri 4000mAh beserta pengecasan pantas 27W dan dikatakan mengambil masa lebih kurang 1 jam 13 minit untuk isian penuh. Ciri lain yang boleh didapati adalah bicu audio 3.5mm, sokongan NFC dan Game Turbo 2.0.
Harga untuk pasaran China bermula dari 2499 yuan (~RM1517) hingga 2999 yuan (~RM1820).
Sebuah lagi model, Redmi K20, mempunyai fizikal hampir sama dengan versi Pro tetapi membawakan spesifikasi lebih rendah seperti Snapdragon 730, tiga kamera; 48MP (Sony IMX582)+13MP ultra lebar+8MP depth dan kapasiti bateri masih sama seperti K20 Pro, tetapi dengan sokongan pengecasan 18W.
Tawaran dibahagian memori pula memperlihatkan RAM 6GB dengan pilihan antara 64GB serta 128GB yang masing-masing dijual dari harga 1999 yuan (~RM1213) hingga 2099 yuan (~RM1274).
Kedua model diatas menggunapakai kamera selfie 20MP dan belum dapat dipastikan sama ada ia akan dibawa masuk kedalam pasaran tanah air ataupun tidak.