Redmi Dilapor Bakal Lancarkan Peranti Snapdragon 855 Dengan Harga Mampu Milik

Sub-jenama Xiaomi, Redmi baru sahaja memperkenalkan model keluaran pertama mereka, Redmi Note 7 beberapa hari lepas. Kini, timbul pula dakwaan menyatakan mereka sedang membangunkan sebuah peranti flagship baharu.

Ia mula muncul selepas CEO Xiaomi, Lei Jun membalas komen di saluran Weibo-nya dengan menyatakan Redmi Note 7 bukanlah peranti flagship bagi Redmi, namun sebuah peranti lain dengan Snapdragon 855 akan diperkenalkan.

Perkara ini dapat dikesan oleh pihak ITHome, namun selepas kami periksa, kiriman tersebut sudah pun dibawa keluar.

Kapsyen: Gadgets Now


Menurut laporan GizChina, semasa majlis pelancaran Redmi Note 7 yang lalu, Xiaomi telah mengesahkan bahawa model Redmi Note 7 Pro bakal diperkenalkan dalam satu acara selepas Tahun Baru Cina nanti.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan samada peranti kelas perdana yang dimaksudkan oleh Lei Jun tersebut adalah Redmi Note 7 Pro ataupun bukan.

Xiaomi sebelum ini mengumumkan bahawa jenama Xiaomi itu sendiri akan lebih fokus kepada penghasilan peranti berkuasa tinggi seperti siri Mi dan Mi Mix, sambil Redmi akan lebih cenderung untuk penawaran peranti pada harga lebih mampu milik.

Kapsyen: Poco


Berita ini jelas agak mengejutkan kerana Xiaomi telah mempunyai satu sub-jenama yang turut menawarkan peranti dengan sistem cip canggih pada harga berbaloi iaitu Pocophone.

Dengan berita-berita sebegini, kami jangkakan Xiaomi akan terus mengorak langkah dan menjadi pilihan lebih ramai pengguna pada tahun 2019.

 

Sumber: BGR India

Berkaitan